Petang semalam, sempat menonton filem yang diterbitkan pada tahun 2017, "Ayla". Filem dalam bahasa Turki tapi ada subtitle dalam Bahasa Inggeris. Filem ini berdasarkan kisah benar. Kisah Suleyman (askar) yang dihantar sebagai tentera pengaman ke Korea Selatan. Korea Selatan waktu itu (dalam tahun 1950an) sedang bergolak dengan Korea Utara. Serangan hendap pihak Korea Utara mengakibatkan ramai yang terbunuh termasuklah ibu bapa kepada seorang budak perempuan.


Suleyman menemui budak perempuan tersebut di satu tempat pembuangan mayat. Dia tidak sampai hati untuk membiarkan budak yang berusia lebih kurang 5 tahun itu di situ lalu dibawa pulang ke markas. Budak perempuan tersebut diberi nama AYLA.


Setelah tamat tempoh bertugas, Suleyman diarah untuk pulang ke Turki. Dia cuba untuk menyeludup AYLA keluar dari Korea Selatan tapi tidak berjaya. Ayla terpaksa ditinggalkan di rumah anak-anak yatim yang dibina oleh tentera pengaman dengan janji bahawa dia akan datang semula mengambil Ayla.


Peperangan berterusan, usaha untuk membawa Ayla ke Turki sebagai anak angkat tidak berjaya. Kedutaan Korea Selatan di Turki pun tidak dapat membantu. Namun begitu, Suleyman sentiasa merindui Ayla. Selepas lima puluh tahun, baru Suleyman dapat bertemu dengan Ayla.