Dr Amit dilahirkan normal dan boleh melihat. Ketika beliau menjadi doktor di Jabatan Kecemasan, tiba-tiba matanya mengalami masalah. Beliau mencuba beberapa jenis rawatan tapi matanya masih tidak sembuh. Beliau menjalani pembedahan pemindahan kornea dengan harapan badannya tidak akan menolak kornea baru dan penglihatannya kembali pulih. Dalam pada itu, beliau berkahwin dengan Sheema. Tidak lama selepas kahwin, tiba-tiba pada satu hari, matanya berdarah. Beliau dikejarkan ke hospital. Salur darah di sekeliling mata beliau pecah dan berlaku pendarahan. Dr Amit terpaksa menerima kenyataan bahawa beliau telah hilang penglihatan. Beliau bernasib baik kerana mendapat sokongan kuat daripada isteri dan ibu bapanya. Walaupun ada sokongan tapi bukan mudah untuk menerima kenyataan tersebut. Lama juga beliau rasa "down" dan hilang keyakinan diri.


Apa yang membuatkan beliau bangkit semula setelah beberapa tahun berdukacita. Sudah tentu dorongan daripada isterinya yang tidak pernah hilang kasih dan sayang kepada beliau walaupun sekarang sang suami OKU.


Berbekalkan semangat itu, Dr Amit mencari jalan untuk teruskan hidup. Dia ingin bekerja, menjadi suami dan mungkin menjadi seorang ayah yang baik. Buku ini selanjutnya menceritakan perjalanan beliau mencari semula dirinya yang hilang dan berusaha menyesuaikan diri tanpa penglihatan.


Perkara pertama yang beliau lakukan adalah belajar berdikari. Tidak terlalu bergantung kepada isteri atau ibu bapanya. Dengan bantuan isterinya, beliau boleh melakukan banyak perkara di dalam rumah. Waktu isterinya keluar bekerja, beliau boleh menjaga dirinya sendiri, boleh ambil makanan sendiri, bancuh air sendiri dan lain-lain.


Kemudian timbul keinginan untuk keluar dari rumah. Beliau berlatih mengguna tongkat khas untuk orang buta. Beliau pernah dibuli oleh beberapa orang remaja. Tidak ramai orang yang sudi membantu orang buta di jalanan


Idea untuk mengambil "guide dog" datang dari isterinya. Untuk mencari seekor anjing yang sesuai pulak bukannya mudah. Bila dah dapat anjing yang sesuai, beberapa sesi latihan diadakan oleh syarikat yang menyediakan kemudahan tersebut.


Akhirnya Kika didapati sesuai menjadi guide dog beliau. Dengan adanya guide dog, Dr Amit menjadi bertambah yakin untuk bergerak ke sana sini. Kika sentiasa menemaninya. Banyak pengalaman suka duka bersama Kika diceritakan dalam buku ini. Kika bukan setakat guide dog tapi sudah menjadi sebahagian daripada keluarga Dr Amit, Sheema dan dua orang anak mereka. Dr Amit tidak meneruskan kerjayanya sebagai seorang doktor disebabkan buta. Namun tenaganya masih diperlukan dalam bidang lain. Beliau merupakan seorang konsultan DEI (Diversity, Equity, and Inclusion), penulis, penceramah dan activist. Beliau percaya.."everything happens for a reason". Kepercayaan itu yang menaikkan semula semangat beliau untuk bangkit dari rasa kecewa.


Sesungguhnya buku ini sangat menarik dan memberi inspirasi. Cara buku ini ditulis boleh menaikkan semangat. Saya suka!