“Mak, kenapa kita kena sembahyang?”

“Allah tu siapa?”
Di mana Allah tinggal?”
“Bagaimana rupa Allah?”

Itu di antara pertanyaan yang pernah saya tanya kepada ibu sewaktu saya kecil dulu. Ibu pula menjawab dengan sabar. Selagi saya tidak berpuas hati, selagi itulah saya bertanya dan ibu pula tidak pernah jemu menjawab sekadar yang dia terdaya.
.
Apabila saya mempunyai anak-anak, mereka pulak bertanya soalan yang sama kepada saya. Selagi mereka tak berpuas hati dengan jawapan, mereka akan terus bertanya. Kadang-kadang kita berasa ragu-ragu untuk menjawab soalan-soalan yang berkait rapat dengan ketuhanan, bimbang jawapan yang kita berikan itu tidak tepat atau disalah ertikan oleh anak-anak kita yang masih kecil. Kita tidak bersedia untuk menjawab dalam bahasa yang mudah difahami oleh mereka. Sudahnya kita mengabaikan saja keinginan mereka untuk tahu dan menunggu mereka masuk sekolah dengan harapan ustaz dan ustazah di sekolah akan memberi jawapan. Alangkah ruginya tahun-tahun yang tertinggal sebelum itu di mana tahun-tahun tersebut merupakan usia yang paling kritikal untuk kita mendidik mereka termasuk bab-bab agama dan ketuhanan. 
.
Kehadiran buku ‘DIDIK ANAK CONNECT DENGAN ALLAH’ yang ditulis oleh Puan Ainizal Abdul Latifsedikit sebanyak boleh membantu ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang masih kecil bagi membuat persediaan untuk menjawab soalan-soalan anak yang berkait rapat dengan ketuhanan. Tidak perlu tunggu mereka masuk sekolah. 
.
Apabila anak mula bertanya soalan-soalan seperti “Siapa Allah?” “Bagaimana rupa Allah?” “Allah tinggal di mana?”, itu menunjukkan bahawa mereka telah bersedia untuk dididik tentang ketuhanan dan hubungan manusia dengan Tuhan. Cuma yang menjadi masalah kepada ibu bapa ialah untuk menerangkan konsep ketuhanan itu kepada anak yang berusia di bawah 6 tahun. Itu merupakan satu cabaran kerana pemikiran anak-anak ini belum mampu menerima penerangan yang bersifat abstrak.
.
Buku ini dipenuhi dengan contoh-contoh dialog di antara ibu dan anak berdasarkan pengalaman penulis sendiri. Dialog tersebut In Shaa Allah dapat memberi idea kepada ibu bapa bagaimana untuk menerangkan konsep berhubung dengan Allah kepada anak-anak yang masih kecil.
.
Saya cadangkan buku ini dimiliki oleh ibu bapa yang masih muda (yang mempunyai anak yang masih kecil) dan pasangan yang bakal menimang cahaya mata. Buatlah persediaan sebelum tiba waktunya dan lengkapkan diri dengan ilmu supaya apabila waktunya telah tiba, kita tidak berasa ragu-ragu lagi untuk menjawab segala persoalan yang ditanya oleh anak-anak kecil tentang konsep ketuhanan.