The Raqqa Diaries - Escape From Islamic State
Published - 9th March 2017


Ceritanya tidak panjang tapi cukup untuk membuatkan hati berdebar ketika membacanya. Boleh jadi trauma juga.


Penduduk Raqqa umpama keluar mulut harimau, masuk mulut buaya. Regime Assad berundur, Daesh (tentera IS) ambik alih. Sama aje kejam. Dalam seminggu akan ada yang dikenakan hukuman samada hukuman sebat, rejam dan pancung kepala. Kononnya Daesh menjalankan Shari'a Law tapi undang-undang itu ikut kepala otak mereka sendiri. Yang menentang Daesh dan yang menyokong Regime Assad akan di pancung kepala kerana menurut IS, itu dikira murtad. Yang simpan handphone dan TV akan disebat. Begitu juga yang menghisap rokok dan meninggalkan solat Jumaat. Perempuan yang tidak menutup muka dan tangan ketika keluar rumah juga akan disoal siasat. Semua hukuman dijalankan di khalayak ramai, anak dipancung/disebat di hadapan mak ayah, suami dipancung di hadapan isteri, ayah dipancung di hadapan anak-anak. Memang trauma.

Tidak cukup dengan penindasan penduduk Raqqa oleh tentera Daesh, Raqqa diceroboh pula oleh regime Assad dari udara. Tentera regime dan sekutunya menjatuhkan bom untuk menghancurkan Daesh tapi penduduk Raqqa yang jadi mangsa. Gajah sama gajah berjuang, pelandok mati di tengah-tengah. Sengsara sungguh hidup mereka tanpa pembelaan. Daesh menyekat semua bantuan dari luar untuk penduduk Raqqa. Kesengsaraan itu tidak dapat diterjemahkan melalui kata-kata. Penduduk yang cuba menghubungi dunia luar akan dihukum sekiranya dapat dikesan.


Buku ini ditulis oleh seorang pemuda yang berusia 24 tahun yang berjaya melarikan diri dari Raqqa dan berlindung di kem pelarian. Kem pelarian ini berada dalam kawasan dan di kawal oleh FSA (Free Syrian Army). FSA berdepan dengan 3 tentangan iaitu, Regime Assad, Daesh (IS) dan tentera Khurds tanpa bantuan dari mana-mana pihak.