Buku ini pertama kali diterbitkan pada tahun 2002, dapat rating yang agak tinggi di Goodreads. Ramai pembaca yang bagi 5*. Diterjemah ke dalam beberapa bahasa. Versi Bahasa Inggeris mengguna perkataan yang mudah untuk dibaca dan difahami.


Buku ini saya bahagikan kepada dua bahagian. Bahagian pertama cerita tentang Mende waktu tinggal bersama keluarganya di kawasan Pergunungan Nuba, Sudan. Masa ni dia masih kecil. Hidup mereka sekeluarga serba serbi kekurangan, jauh dari segala yang moden, letrik dan air paip pun tak ada. Rumah pun dibina dari tanah. Tandas yang moden memang jauh sekali. Penduduk di situ buang air kecil dan besar dalam belukar. Walaupun begitu, hidup mereka sekeluarga bahagia. Mak ayah Mende memang bertanggung-jawab, jalankan peranan masing-masing. Kemiskinan bukan menjadi penghalang untuk mereka hidup dalam keadaan berkasih sayang dan aman.


Bahagian kedua pula kehidupan Mende setelah dia ditangkap dan dijadikan hamba abdi oleh sebuah keluarga Arab di bandar Khartoum. Di bandar itu, ada letrik, air paip dan tandas tapi tidak bahagia juga sebab dia tak bebas. Hidup terkurung dan pantang buat silap, pasti dia dipukul dan diherdik. Kerjanya bermula awal pagi sehingga jauh malam, 7 hari seminggu, tak ada cuti rehat dan tak ada gaji. Tempat tidurnya pula di dalam stor belakang rumah. Hanya ada tilam usang dan tak ada selimut. Bila Mende kesejukan di malam hari, dia hanya ada guni untuk menutup tubuhnya. 


Waktu Mende berusia 8 tahun, kampungnya telah didatangi oleh pengganas (orang Arab) untuk membuat huru hara. Pondok-pondok penduduk di Pergunungan Nuba telah dibakar. Ada penduduk yang terbunuh. Kanak-kanak lelaki dan perempuan telah ditangkap dan dibawa lari termasuklah Mende. Kanak-kanak ini dibawa ke Khartoum untuk dijual sebagai hamba abdi. Dalam perjalanan ke Khartoum inilah, Mende diperkosa oleh beberapa orang pengganas. Sampai di bandar Khartoum, Mende telah dijual kepada sebuah keluarga Arab. Jadilah dia sebagai hamba abdi kepada keluarga tersebut selama 7 tahun. Selepas 7 tahun, dia dihantar ke London untuk tinggal bersama keluarga diplomat Sudan di sana. 


Layanan yang diterimanya sama saja. Kerja teruk, tak ada cuti dan tak ada gaji. Nak keluar rumah pun tak boleh. Namun keluarga diplomat ini baik sikit dari keluarga di Khartoum. Di London, Mende dibenarkan solat oleh keluarga berkenaan sedangkan waktu di Khartoum, dia tidak dibenarkan solat  sebab masternya kata..agama Islam bukan untuk orang kulit hitam. 


Ada satu waktu, keluarga diplomat pulang ke Sudan untuk bercuti. Mende ditinggalkan buat sementara di rumah rakan sekerja diplomat tersebut. Waktu ini barulah Mende tahu bahawa undang-undang di London tidak membenarkan pekerja dilayan sebagai hamba abdi. Orang gaji berhak dapat gaji, dapat cuti dan keluar rumah. Tak ada istilah hamba abdi di London. Bermula saat itu, Mende menyimpan niat untuk melarikan diri. Waktu ketiadaan masternya selama beberapa minggu itu digunakan untuk mencari kawan-kawan yang berasal dari Sudan. Akhirnya dia bertemu dengan dua orang Sudan yang baik hati dan sedia membantunya untuk melarikan diri. 


Dua orang Sudan ini membawa Mende bertemu dengan Damien Lewis (co author buku ini dan seorang journalist). Mereka membawanya bertemu dengan seorang lawyer bagi mendapat permit untuk tinggal di London. Dua tahun dia menunggu tapi akhirnya dia tidak dapat permit tersebut, bermakna dia akan dihantar pulang ke Sudan. Pulang ke Sudan bermakna Mende akan dihukum dan mungkin juga akan dibunuh. Damien Lewis menggunakan kepakarannya untuk menulis cerita tentang Mende dan disebarkan melalui akhbar. Bersama itu juga buku ini ditulis dan diterbitkan. Kisah Mende mendapat perhatian seluruh Europe. Dengan bantuan lawyer, rayuan Mende untuk mendapat asylum berjaya juga akhirnya.


Mende bercita-cita untuk pulang ke Sudan bagi menemui keluarganya. Sehingga buku ini diterbitkan, dia masih berharap. Namun dari info yang saya cari di internet, cita-citanya itu telah tercapai. Saya macam tak percaya, dalam keadaan kita yang serba moden sekarang ini, masih ada orang yang dijadikan hamba abdi. Kisah Mende ini bukan kisah zaman dulu kala. Ia berlaku dalam tahun 90an. Kini Mende berusia 40 tahun dan berusaha untuk membantu penduduk-penduduk di Pergunungan Nuba.