Novel Ar-Raudhah  ini sesuai dibaca oleh remaja. Saya suka watak Raudhah, sorang gadis yang matang, berwawasan dan bercita-cita tinggi walaupun usianya baru 15 tahun. Pertama, mungkin sebab dia dibesarkan dan bersekolah di sekolah antarabangsa di Dubai. Sejak dari kecil lagi Raudhah terdedah kepada suasana sekolah elit yang murid-muridnya terdiri dari pelbagai bangsa yang datang dari pelbagai negara. Ayah dan ibunya bekerja di Dubai. Kedua, mungkin ayah dan ibunya mendidik Raudhah dengan baik. Raudhah adalah seorang anak kacukan Melayu dan Cina. Ayahnya berbangsa Melayu dan ibunya berbangsa Cina.


Walaupun keluarga Raudhah mewah dan berada tapi mereka tidak sombong. Mereka juga tidak jadi seperti kacang lupakan kulit. Setahun sekali ayah dan ibunya akan membawa Raudhah dan dua orang adiknya bercuti di Malaysia. Dengan itu Raudhah dan adik-adiknya tahu asal usul mereka dan rapat juga dengan saudara mara sebelah ibu dan bapa mereka.


Selepas tamat persekolahan, Raudhah bercita-cita untuk masuk kolej dan mengambil A-level  di Malaysia. Dia mahu mengenali negara kelahirannya dengan lebih dekat.  Raudhah sangat tertarik dengan bidang pertanian dan bercita-cita untuk jadi petani moden.


Bapa saudara sebelah ibunya menjalankan perusahaan penternakan udang galah. Setiap kali cuti, Raudhah akan berkunjung ke tempat bapa saudaranya itu untuk meninjau cara penternakan udang galah yang dijalankan.


Lawatan mereka ke Belanda pada satu ketika juga telah membangkitkan semangat untuk menjalankan pertaniah akuaponik. Di Belanda, mereka telah melawat ke beberapa tempat yang menjalankan kegiatan tersebut. Raudhah dan bapa saudaranya sangat teruja dan ingin mencuba. Disebabkan anak perempuannya itu menunjukkan minat yang amat mendalam, bapanya telah menghadiahkan lapan ekar tanah untuk Raudhah dan bapa saudaranya  memulakan pertanian akuaponik  tersebut. 


Hadiahkan novel ini kepada anak-anak remaja kita. Mudah-mudahan mereka akan termotivasi dan terinspirasi dengan watak Raudhah dalam novel ini. Banyak nilai murni yang boleh dipelajari. Dari segi bahasa pula, novel ini menjadi contoh yang baik dalam penggunaan bahasa tinggi. 


Tahniah kepada penulis!