Cabin Fever
Kisah kapal persiaran Zaandam Holland America yang terkandas di awal pandemik Covid-19.
Kisah yang mendebarkan tentang para penumpang dan krew kapał Zaandam ini ditulis oleh dua orang wartawan iaitu Smith dan Franklin. Pada awal Mac 2020, kapal itu akan berlepas dari Buenos Aires dalam perjalanan kira-kira sebulan sebelum berakhir di Port Everglades, Florida. Majoriti (lebih daripada 1,200) penumpang adalah warga emas dari seluruh dunia—tiga perempat lebih 65 tahun, dan ramai yang berumur 80-an. Kapal itu juga membawa kira-kira 600 orang krew kapal dari pelbagai negara. Lebih kurang sejam sebelum Zaandam berlepas, Jabatan Negara A.S. menyiarkan amaran tentang COVID-19. 'Warganegara Amerika, terutamanya warga emas, tidak boleh melakukan perjalanan dengan mana-mana kapal pesiaran ” Walaupun berita tentang virus itu telah tersebar, pihak Holland America tidak mahu memulangkan wang penumpang yang telah mereka ambil. Mereka berjanji untuk mengikut protokol keselamatan dengan sebaiknya walaupun sebaliknya yang berlaku. Pada pelabuhan pertama yang disinggahi, penduduk tempatan tidak benarkan penumpang turun dari kapal kerana mereka khuatir penumpang akan sebarkan virus. Dalam pada itu kebanyakan pelabuhan telah ditutup apabila virus semakin merebak dan kapal Zaandam menghadapi bekalan yang semakin berkurangan. Kekalutan mula berlaku apabila ada di antara penumpang yang mula jatuh sakit dan memerlukan kuarantin. Pihak Holland America memohon supaya sebuah pelabuhan dibuka untuk mereka mendarat dan menurunkan penumpang. Penumpang yang sakit mesti dibawa ke hospital manakala yang sihat akan dihantar pulang ke negara asal. Pihak Holland America terpaksa menyediakan pengangkutan peribadi untuk tujuan itu. Namun masalah timbul apabila negara Argentina tidak mahu menerima rakyatnya yang keluar untuk masuk semula kerana bimbang tersebarnya virus tersebut. Jadi penumpang dari Argentina terpaksa meneruskan perjalanan mereka dengan Zaandam ke Florida.
Penulis berjaya menimbulkan rasa ketakutan dan klaustrofobia di hati saya apabila jumlah penumpang dan krew kapał yang dijangkiti virus semakin meningkat sedangkan kelengkapan perubatan amat terhad. Zaandam cuma ada satu ventilator. Bayangkan penumpang terpaksa dikuarantin dalam bilik yang lebih kecil dari bilik penjara. Penumpang yang terkena jangkitan hanya dirawat oleh dua orang doktor dan empat orang jururawat yang tidak mempunyai kelengkapan yang boleh melindung mereka dari terkena jangkitan. Ada penumpang yang langsung tidak mendapat rawatan dan mereka terbiar di bilik sendiri. Virus covid meragut nyawa empat orang terrasuk nyawa seorang krew kapał.
0 Comments