Dua minggu lepas, sebelum suami saya pulang semula ke tempat kerjanya di luar negeri, dia membawa saya dan anak-anak makan tengahari di hotel (saya rahsiakan nama hotelnya). Itulah kebiasaan yang dia lakukan.

Anak-anak saya sungguh gembira maklumlah bukan selalu dapat makan di hotel. Daddy tidak selalu pulang bercuti ke tanahair untuk bersama dengan keluarga. Mengharapkan Mummy bawa anak-anak makan di hotel adalah seperti mengharapkan buah yang tidak gugur (lol). Saya tidak biasa ke tempat-tempat begitu tanpa kehadiran suami saya. Saya hanya membawa anak-anak makan di restoren biasa sahaja seandainya mereka ingin sesekali makan di luar.

Kami sekeluarga adalah di antara pelanggan yang paling awal tiba di hotel itu. Cuma ada satu couple yang saya nampak ada di sana. Kami memilih buffet set. Selalunya kalau makan di tempat-tempat begitu, kami memilih set ini. Tujuannya untuk merasa semua jenis makanan yang disediakan. Melihat kepada makanan yang tersedia, perut serta merta berkeroncong. Nampak macam lazat dan membuka selera untuk makan. Tanpa membuang masa saya dan anak-anak meninjau segala makanan yang disediakan. Memang banyak pilihan. Tiba-tiba saya terpandang ke satu sudut yang berlabel "Pasembor". Sudah lama saya tidak makan pasembor, jadi saya mengambil keputusan untuk merasanya. Rasa macam tidak sabar nak makan.. Nampak macam sedap.. Anak perempuan saya pun teringin pasembor jadi kami berdua memilih menu itu sebagai pembuka tirai.

Oleh kerana tidak ramai pelanggan (lebih ramai pelayan dari pelanggan), kami dilayan macam raja (lol). Kadang-kadang rasa kekok, sebab dua tiga orang pelayan asyik berdiri berdekatan dengan meja kami dan sentiasa meninjau sekiranya kami memerlukan sesuatu. Nak makan pun rasa kekok bila orang asyik perhatikan kita. Tetapi nasib baik keadaan seperti itu tidak berterusan kerana pelanggan semakin ramai yang datang.

Berbalik kepada cerita pasembor, bila sampai di meja, saya pun duduk. Dalam hati berkata, "Ohhhh...sedapnya". Dah siap baca bismillah dan doa makan, saya pun menyuap pasembor itu ke mulut... Alangkah kecewanya hati saya, pasembor yang saya harapkan sedap rupanya indah rupa dari rasa.... Pasembor yang paling sedap pernah saya rasa ialah di Pulau Pinang, bukan dijual di hotel tapi di gerai tepi jalan. Mahu tidak mahu, sedap tidak sedap, saya terpaksa menelan untuk mengelakkan pembaziran. Nasib baik tidak banyak yang saya ambil..tapi saya terpaksa habiskan yang anak perempuan saya ambil juga. Dia cuma sempat makan sesuap, lepas tu, dia tolak pinggannya kepada saya. Kelazatan pasembor biasanya bergantung pada kuah. Kalau kuahnya sedap, memang akan jadi sedaplah pasembor itu. Kuah yang disediakan nampak sedap tapi tiada rasa. Sejuk pulak tu..Saya biasa makan pasembor, kuahnya kalau tidak panas pun, suam-suam kuku kata orang, baru sedap.

Sebenarnya bukan pasembor sahaja, kebanyakan makanan di situ memang tiada rasa terutamanya makanan melayu. Anak-anak lelaki saya makan makanan barat, diorang kata sedap. Sate pun tidak ada rasa sebab kuahnya tidak sedap. Anak perempuan saya kata, "Mummy, your cooking is better than here. All foods here are tasteless". Amboi..pandai dia bagi komen. Suami saya kata oxtail soap agak sedap tapi perut saya sudah penuh ketika itu. Apa tidaknya, saya terpaksa habiskan dua pinggan pasembor, sepinggan sate dan lain-lain makanan yang diambil oleh anak perempuan saya. Dia cuma rasa makanan itu. Kalau sedap dia makan. Kalau tidak, dia tolak kepada saya. Cerdik dia....!

Menu yang disediakan memang banyak tapi yang betul-betul sedap cuma ada satu dua saja. Cara mereka menghidang, memang nampak menyelerakan tapi bila makan, tiada rasa. Lebih baik makan di restoren biasa, walaupun cara menghidang, biasa-biasa saja tapi rasanya ada ummmph (lol). Di hotel, tempat exclusive, bayarannya tinggi. Memang nampak ada class la makan di situ tapi bagi saya, kalau makanan tiada rasa, rugi saja bayar mahal-mahal. Tapi yang komen makanan di situ tiada rasa cuma saya dan anak perempuan saya. Suami saya tak komen apa-apa dan anak-anak lelaki saya kata sedap.. Selera masing-masing berbeza....