Aku bangun awal hari ini dan merancang dengan teliti apa yang harus ku buat sebelum tiba waktu tidurku malam nanti. Aku mempunyai tanggungjawab yang wajib ku tunaikan hari ini. Di sini..di dunia ini, aku diberi pilihan untuk menentukan perjalanan hidupku hari demi hari...


Hari ini aku boleh memilih untuk merungut tentang hujan yang turun tidak henti-henti sejak petang semalam atau aku boleh bersyukur, disebabkan hujan yang turun itu, flora dan fauna mendapat sumber air yang percuma.


Hari ini aku boleh memilih untuk merasa sedih dan susah hati kerana kesempitan wang perbelanjaan atau aku boleh merasa gembira kerana itu akan membuatkan aku belajar untuk berjimat cermat.


Hari ini aku boleh memilih untuk merungut tentang keletihan dan kelelahan yang aku alami atau aku boleh bersyukur kerana aku masih lagi sihat dan bernafas.


Hari ini aku boleh memilih untuk menangis kerana kegagalan yang aku hadapi atau aku boleh bangun dengan kegagalan itu untuk mencapai kejayaan.


Hari ini aku boleh memilih untuk bersedih dan merasa kesunyian kerana suamiku tiada di sisiku atau aku boleh bergembira kerana itu akan memberi peluang dan memberi aku lebih banyak masa untuk melakukan hobiku.


Hari ini aku boleh memilih untuk merungut kerana terpaksa melakukan kerja-kerja rumah yang banyak atau aku boleh bersyukur kerana Allah memberi rezeki padaku yang berupa tempat tinggal yang melindungi aku dari hujan dan panas.


Hari ini bagaikan sekeping kanvas yang terhampar di hadapanku.. menunggu untuk diwarnai. Dan aku bagaikan pelukis yang bakal melukis di atas kanvas itu mengikut corak dan warna pilihan ku. Walaupun aku bukan pelukis yang mahir tapi aku akan berusaha mewarnai kanvas itu dengan corak-corak dan warna-warna yang boleh mendatangkan keselesaaan pada diriku dan pada persekitaranku..