Sejenak kenangan di waktu persekolahan dulu saya imbau kembali. Ketika itu saya di tingkatan empat, baru memulakan sesi persekolahan dalam aliran Sains. Keputusan PMR (waktu itu SRP) tidaklah secemerlang mana namun saya bertekad untuk mengikut aliran Sains Tulin. Maka mata pelajaran Sains yang perlu saya ambil ialah Biologi, Kimia, Fizik dan Matematik Tambahan. Empat matapelajaran ini baru bagi saya. Menghadapi sesuatu yang baru tentulah ada masalah pada mulanya.


Ujian bulanan pertama, saya tidak lulus dalam Matematik Tambahan sementara subjek Biologi, Kimia dan Fizik sekadar mendapat kepujian (bukan cemerlang). Saya dipanggil oleh guru yang mengajar Matematik Tambahan. Sebenarnya bukan saya seorang yang tidak lulus tapi entah kenapa saya seorang sahaja yang dipanggil untuk berjumpa dengannya. Biarlah saya rahsiakan nama guru tersebut walaupun sebenarnya saya masih ingat nama dan rupa beliau, seorang guru lelaki yang kacak dan masih muda ketika itu.


Dalam pertemuan itu, cikgu L tidak marah. Tidak ada nada suara tinggi. Suaranya mendatar sahaja tapi perkataan yang digunakan cukup pedas. Marah dalam kelembutan sesuai dengan rupanya yang kacak itu. Pelbagai sindirannya sehingga menitis airmata saya. Di akhirnya saya diminta membuang subjek Matematik Tambahan dari senarai matapelajaran yang akan saya ambil untuk SPM nanti bermakna saya akan dipindahkan ke kelas Sains Dua (kelas ini bagi murid-murid sains tulin yang tidak mengambil Matematik Tambahan).


Saya merayu kepada cikgu L agar memberi saya peluang sekali lagi, bukanlah disebabkan saya malu untuk berpindah keluar dari kelas Sains Satu tetapi disebabkan subjek Matematik Tambahan adalah subjek penting seiring dengan tiga subjek sains yang lain. Saya terpaksa merah telinga mendengar sindiran yang pedas, tajam dan menyakitkan dan juga tebal muka merayu. Akhirnya cikgu L bersetuju untuk memberi peluang kedua.


Balik ke rumah pada petang itu, saya terus membuka buku teks Matematik Tambahan, meneliti sub topik yang terkandung dalam silibus tingkatan empat. Saya tandakan topik-topik yang diajar oleh cikgu L dan membuat ulangkaji dan latihan secara intensif. Hasilnya, dalam ujian bulanan kedua, saya menjadi murid yang mendapat markah kedua tertinggi. Dari "F" pada ujian bulanan pertama naik terus ke "A" pada ujian bulanan kedua dan kekal di tahap itu sehingga SPM.


Semasa saya di tingkatan lima, ada seorang adik dari tingkatan empat memberitahu saya bahawa Cikgu L ada menceritakan kisah seorang murid perempuan yang fail matematik tambahan pada mulanya, berkat usaha yang gigih, dia telah dapat menguasai subjek itu dengan baik. Adik tersebut bertanya samada saya kenal atau tidak murid perempuan tersebut kerana cikgu L tidak menyebut namanya di hadapan kelas mereka. Saya cuma tersenyum dan kisah ini sebenarnya tiada siapa yang tahu sehinggalah saat saya menulis cerita ini.


Cerita ini ditulis bukanlah dengan tujuan untuk membanggakan diri tapi sekadar untuk renungan bahawa tingkah laku, perkataan dan perbuatan kita kadang-kadang boleh meninggalkan impak yang besar dalam kehidupan orang lain. Bila saya terbaca kata-kata "They may forget what you have said, but they will never forget how you made them feel", saya terkenang kepada cikgu L.


Andainya saya ditakdirkan dapat berjumpa dengan cikgu L, saya ingin bertanya samada beliau masih ingat atau tidak segala sindirannya kepada saya. Mungkin beliau sudah lupa dan saya sendiri pun sudah lupa ayat-ayat sindiran yang keluar daripada mulut cikgu L namun apa yang saya RASAkan di saat itu, masih saya ingat hingga kini. Saya berterimakasih kepada cikgu L, disebabkan ayat-ayat pedas yang beliau lontarkan kepada saya maka saya cemerlang dalam Matematik Tambahan.


Kita mungkin lupa apa yang kita katakan tetapi orang lain mungkin tidak akan melupakan apa yang mereka rasakan disebabkan perkataan yang keluar dari mulut kita itu. Mulai saat ini, ada baiknya kita berhati-hati ketika berkata-kata. Perkataan kita boleh menjadi sumber motivasi kepada orang lain, boleh menggerakkan mereka ke arah positif tetapi andainya kita tidak berhati-hati dalam memilih perkataan, ia boleh membuatkan orang lain kecewa dan sedih. Tidak kira apa sekali pun profession kita samada sebagai guru, pengarah, penyambut tetamu, setiausaha atau sebagai ibubapa, perkataan yang keluar dari mulut kita boleh memberi impak kepada orang-orang di sekeliling kita. Semoga kita mampu memilih apa yang sebaiknya keluar dari mulut kita agar ia memberi kesan yang positif kepada persekitaran.