Sesungguhnya Allah menciptakan sesuatu di sekeliling kita yang terdiri dari binatang, tumbuhan dan benda-benda ialah untuk kegunaan manusia. Semua yang Allah jadikan, pasti ada manfaatnya pada kita. Sekurang-kurangnya kita boleh belajar dan mengambil pengajaran dari setiap kejadian itu. Tapi kita, manusia selalunya malas untuk duduk berfikir dan merenung akan manfaat dan pengajaran yang Allah turunkan bersama setiap kejadian itu. Kali ini mari kita belajar sesuatu dari pokok buluh.


Ada seorang pemuda yang ingin mempelajari ilmu silat. Dia mengembara dari satu tempat ke satu tempat untuk mencari seorang guru silat yang mempunyai kebolehan yang luar biasa. Akhirnya dia bertemu dengan seorang guru silat yang terkenal di sebuah kampung. Pemuda tersebut bermohon untuk menjadi anak murid kepada guru itu. Guru itu meletakkan satu syarat iaitu pemuda tersebut harus menuruti apa saja yang diajar dan disuruh tanpa banyak soal. Pemuda itupun bersetuju. Maka bermulalah sesi pelajaran ilmu silat.


Guru itu menyuruh pemuda tersebut menimba air dari dalam perigi, mencuci baju, memanjat pokok dan lain-lain pekerjaan yang biasa. Tidak ada satu pun langkah silat yang diajar oleh guru tersebut. Namun pemuda itu menurut apa saja suruhan gurunya tanpa banyak soal. Setelah lebih dua tahun, keadaannya masih sama. Akhirnya pemuda tersebut merasai bosan. Masuk tahun ketiga, pemuda tersebut memberitahu gurunya bahawa dia ingin berhenti daripada menjadi murid kepada guru tersebut kerana tidak ada satu pun langkah silat yang diajar. Menurut pemuda itu, masanya banyak terbuang di situ. Dia ingin mencari guru silat yang lain.


Guru silat tersebut dapat menyelami perasaan pemuda itu lantas dibawanya pemuda itu ke pinggir sebuah hutan di mana di situ terdapat serumpun pokok buluh. Beliau menyuruh pemuda itu mencabut sebatang buluh. Pemuda itu cuba untuk mencabut pokok buluh tersebut tapi gagal. Dicubanya berkali-kali tetapi tetap gagal.


"Buluh ini adalah tumbuhan yang unik. Sewaktu ia ditanam sehingga lebih kurang empat tahun pertama, buluh belum menampakkan pertumbuhannya, bermakna kita tidak nampak tunasnya tumbuh di atas tanah. Sebab itulah sering kali kita tersilap dengan mengatakan bahawa buluh itu tidak menjadi. Namun sebenarnya apa yang berlaku pada waktu itu ialah akar-akar buluh itu tumbuh subur di bawah tanah. Pada tahun kelima, setelah pertumbuhan akar itu selesai, barulah kita nampak tunasnya menjulur keluar di permukaan bumi. Buluh itu akan tumbuh sehingga menjulang ke udara. Itulah ilmu yang harus kamu pelajari. Jika kamu ingin menjadi orang yang hebat, kamu harus membina asasnya terlebih dahulu. Itulah yang saya lakukan terhadap kamu selama tiga tahun ini, iaitu latihan membina asas di dalam diri kamu."


Pemuda itu mula menyedari maksud gurunya dan mengambil keputusan untuk meneruskan niatnya belajar silat dari guru tersebut.


Untuk menjadi hebat dan berjaya, kita perlu gigih dan tekun berusaha di samping menanam sikap-sikap yang positif dalam diri sendiri. Namun, kebanyakan kita malas berusaha dan lekas berputus asa apalagi jika proses menanam asas itu sarat dengan kesulitan, kerja keras, titisan keringat dan airmata dan segala macam bentuk kesusahan dan penderitaan yang lainnya sedangkan hasilnya tidak kelihatan di mata kasar. Untuk memperolehi kejayaan, tidak ada jalan singkat. Ia memakan masa bertahun-tahun.


Buluh adalah satu-satunya tanaman di Asia Pasifik yang mempunyai banyak fungsi. Ia dapat bertahan dan hidup dalam pelbagai keadaan cuaca. Buluh termasuk dalam kategori rumput namun ia amat berbeza dari kalangan rumput yang lain. Ketinggiannya boleh mencecah sehingga 30 meter. Meski pun ia termasuk dalam kategori rumput, buluh berbeza dari rumput-rumput yang lain kerana sifat dan karakternya. Kegunaan dan cara buluh mempamerkan dirinya juga menjadikan ia berbeza. Dalam kehidupan kita, latar belakang sebenarnya bukan penentu. Yang menjadi penentunya ialah sikap kita dan bagaimana kita berupaya mempamerkan potensi diri. Itulah sebenarnya yang menjadikan kita luar biasa.


Ketika Hiroshima dan Nagasaki dihujani bom atom, boleh dikatakan keseluruhan kehidupan musnah dan hancur lebur, Namun tidak lama selepas itu ada sejenis makhluk Allah yang menunjukkan tanda-tanda untuk hidup kembali, iaitu buluh. Ini menjadi pengajaran kepada kita bahawa jangan jadikan diri kita terkongkong oleh kegagalan di masa lalu. Bangun dan bangkit untuk terus berusaha. Inilah yang dinamakan kegigihan dan keinginan untuk terus hidup walaupun dalam situasi yang amat sulit.


Satu lagi sifat buluh yang boleh kita contohi ialah fleksibel. Jarang kita jumpa pokok buluh yang ranap ditiup angin. Selain dari akarnya yang kuat mencengkam tanah, batang buluh juga mudah melentur bersama tiupan angin. Ada ketikanya kita juga perlu jadi fleksibel seperti buluh dalam menghadapi dugaan dan kesulitan. Dengan menjadi begitu, kita akan tetap hidup dan akhirnya berjaya menjadi orang yang hebat.


Selamat belajar dari pokok buluh!