Tadi terbaca satu entri di satu blog, blog Hai (hantam saja la). Ada sedikit perselisihan di antara Hai dengan kawannya dan hai meminta pendapat bagaimana cara untuk menghilangkan rasa tidak selesa terhadap temannya itu. Mungkin agak sukar sedikit untuk kita menyembuhkan luka emosi berbanding dengan luka fizikal apatah lagi jika ia ada kaitan dengan individu lain dan individu tersebut TIDAK menunjukkan tanda-tanda penyesalan dan tanda-tanda ingin berdamai. Kita harus sedar bahawa kita tidak mampu mengawal kelakuan dan emosi orang lain tapi kita berkemampuan mengawal emosi dan kelakuan diri sendiri, maka kita fokuskan untuk memperbaiki diri sendiri.


Saya tertarik dengan satu cerita yang dijadikan analogi oleh Anthony Dio Martin dalam buku pertamanya (Emotional Quality Management) tentang bagaimana kita mengubati emosi kita yang terluka. Anthony menggambarkan segala macam kepahitan, rasa sakit, luka ataupun kepedihan sebagai RASAKSA.


Rasaksa ini menghuni di sebuah rumah dan tempat dia bersarang ialah di ruangan bawah tanah rumah tersebut. Pemilik rumah tersebut sedar tentang kehadiran rasaksa itu. Jika merasa terganggu, rasaksa tersebut akan keluar membuat onar dan mengganggu ketenteraman tuan rumah tersebut. Lantas, tuan rumah melancarkan perang dingin dengan rasaksa itu namun rasaksa itu tidak berjaya dihambat keluar. Maka ia dikurung di ruangan bawah tanah rumah tersebut.


Tetapi rasaksa ini sentiasa berjaya menyelinap keluar dan terus-terusan mengganggu ketenangan pemilik rumah tersebut. Hingga akhirnya tuan rumah mengambil keputusan untuk membiarkan rasaksa ini tinggal bersama-samanya di ruang dalam rumah. Ruang bawah tanah itu dirobohkan. Adapun rasaksa itu tidak betah tinggal di ruangan yang agak terbuka lantas dia keluar dari rumah itu untuk selama-lamanya.


Kepedihan dan rasa sakit akan terus menerus menghantui dan mengganggu kehidupan kita selagi kita tidak menyelesaikannya. Saya percaya ramai di antara kita yang pernah dan sedang melalui kepahitan dan emosi yang terluka. Ada di antara kita yang mampu membendung dan menghilangkan kesakitan tersebut sementara ramai lagi yang membiarkan luka di hati itu meredap seperti api dalam sekam.


Samada kita bangun untuk memulihkan luka tersebut atau kita membiarkannya mengulit diri kita, itu adalah atas pilihan kita sendiri. "Pain is inevitabile. Suffering is optional". Inilah falsafah yang dipegang oleh salah seorang daripada dua wanita yang dirogol oleh ayah mereka masing-masing. Wanita pertama belajar untuk memaafkan dan memulakan hidup baru dengan lebih berhati-hati ketika berhadapan dengan lelaki. Sementara wanita yang kedua memilih untuk terus membiarkan rasa sakit bersarang di hatinya lantas dia membenci dan berdendam dengan lelaki.


Anthony Dio Martin menyarankan beberapa langkah yang boleh kita ambil untuk menyembuhkan luka emosi.
  1. Identify.. mengenal pasti perkara-perkara yang membuatkan emosi kita terluka. Ramai di antara kita enggan berbuat demikian kerana bimbang akan mengejutkan rasaksa yang tertidur di ruang bawah tanah. Namun lama-kelamaan rasaksa yang tertidur itu akan terjaga juga bila ia telah puas tidur.
  2. Kaitkan...bertanya kepada diri sendiri bagaimana kelukaan itu mempengaruhi kehidupan kita seharian. Kaitkan isu lama yang terpendam itu dengan situasi yang kita alami sekarang. Kebiasaannya luka di hati serta pengalaman yang tidak mengenakkan di masa lalu banyak mempengaruhi kehidupan kita di masa kini. Semakin besar pengaruhnya, semakin perlu dan segera luka itu diubati.
  3. Fikirkan...Fikirkan apa yang perlu diubah. Fikirkan juga kesan perubahan tersebut ke atas diri kita. Kemudian timbangkan juga sekiranya kita mengambil langkah tidak mengubah apa-apa. Yang mana satu lebih baik.
  4. Affirmation...Kita wajar melakukan affirmation secara berterusan kepada diri sendiri bahawa kita perlu dan ingin serta memilih untuk berubah. Lakukan positive self talk seperti "Luka ini menyiksa hati dan perasaan aku. Aku ingin segera menyelesaikannya sehingga ia tidak lagi menyakitkan aku. Aku lebih kuat dari rasaksa itu dan aku tidak akan membiarkan ia menggangu hidup aku. Itulah pilihanku"
  5. Ventilation...Kita perlu menjalani proses emotional ventilation secara positif. Dalam erti kata lain, kita perlu mencari cara untuk menyalurkan rasa marah, pedih dan sakit hati tersebut secara sihat. Mungkin kita boleh melakukan beberapa aktiviti seperti menulis diari, berkongsi dengan kawan-kawan yang boleh dipercayai, meluahkan masalah kepada counsellor, dan sebagainya.
  6. Penyembuhan...kita boleh cuba melakukan proses penyembuhan baik secara mental maupun spiritual. Mungkin kita boleh gunakan teknik "REFRAMING" yang pernah saya ceritakan di dalam entri ini.


Jika kita berjaya melakukan keenam-enam langkah di atas, maka secara peribadi, kita sudah pun menghalau rasaksa itu keluar dari rumah kita. Untuk memastikan rasaksa itu tidak datang semula menghuni di ruang bawah tanah rumah kita, maka adalah elok kita menyelesaikan masalah ini dengan orang yang menyebabkan hati kita terluka jika mereka masih hidup.


Misalnya seorang anak telah diusir keluar dari rumah oleh ayahnya bila ayahnya itu berkahwin lain. Hati anak tersebut terluka dan memakan masa bertahun-tahun. Selepas menjalani enam langkah di atas, akhirnya anak tersebut berjaya mengusir keluar rasaksa yang bersarang dalam dirinya sejak sekian lama. Di akhirnya, anak tersebut berusaha untuk bercakap dengan ayahnya, "Ayah, hati saya cukup terluka apabila ayah mengusir saya keluar dari rumah itu tapi hari ini saya ingin memberitahu ayah bahawa saya telah memaafkan ayah."


"Wisdom is a healed pain." Belajarlah menerima kenyataan dan ubatilah luka itu dengan ikhlas..."Terimakasih lukaku...kamu menyebabkan hidupku tidak aman tapi terimakasih kerana kamu mengajar aku beberapa kebaikan dalam hidup ini..."