"Mama, span ni dah kotor" jerit anak perempuan saya, Amani, ketika dia membantu saya mencuci pinggan mangkuk di dapur semalam.


"Ambil saja span yang baru di dalam laci tu" kata saya


"Amboi banyaknya span dalam laci ni. Bolehla kita buat patung spongebob." katanya lagi


"Tahu ke nak buat macam mana?" tanya saya.


Dia menggeleng kepala. Spongebob ialah satu rancangan kartun yang sangat diminati oleh Amani dan adiknya Jihadi.


"Apakah sifat span ini?" tanya saya


"Menyerap air." Jawab Amani saya sambil meneruskan kerjanya mencuci pinggan mangkuk di singki.


"Pandai pun. Span ini sifatnya menyerap air tapi ia tidak ada kemampuan untuk memilih jenis cecair yang diserapnya. Ia menyerap semua jenis cecair yang dituangkan ke atasnya samada cecair itu bersih atau kotor, wangi atau busuk, berwarna atau tidak dan sebagainya. Kita pun lebihkurang sama macam span ini" kata saya.


"Sama?" Tanya Amani.


Wajahnya berkerut menandakan dia tidak begitu faham kenapa saya katakan kita adalah sama seperti span.


"Manusia seperti kita mampu menyerap dan menerima informasi dan menyimpannya di dalam minda sama seperti span mempu menyerap cecair dan menyimpan cecair tersebut dalam dirinya. Cuma ada sesuatu yang membezakan kita dari span ini. Jika span ini tidak mampu memilih jenis cecair yang diserapnya tapi kita ada kemampuan untuk memilih informasi yang ingin kita serap masuk ke dalam otak dan menyimpannya di sana kerana Allah telah kurniakan akal untuk kita berfikir dan menilai. Jadi pilihlah sesuatu yang baik untuk kita serap agar apa yang tercerna selepas itu juga akan mendatangkan kebaikan. Jika span menyerap cecair yang kotor, yang keluar apabila kita memerahnya ialah sesuatu yang kotor juga. Sama juga seperti kita. Jika yang kita serap itu sesuatu yang tidak elok, yang keluar pun nanti buruk juga." Kata saya.


Amani tidak menjawab walau sepatah pun. Tangannya masih lincah mencuci pinggan mangkuk yang bertimbun itu.


"Dah siap" katanya seketika kemudian.


"Terimakasih kerana menolong mama mencuci pinggan mangkuk ini. " Kata saya sambil tersenyum kepadanya.



********************************


Setiap hari kita disogokkan dengan pelbagai informasi melalui tv yang kita tonton, suratkhabar, majalah dan buku yang kita baca, internet yang kita layari dan individu yang kita berinteraksi dengannya. Informasi itu boleh jadi positif dan boleh jadi negatif.


Informasi negatif seperti kriminal, pembunuhan, kemalangan dan sebagainya menjadikan kita takut dan bimbang. Berita kegagalan seseorang yang disampaikan dari mulut ke mulut menjadikan kita ragu-ragu dan tidak yakin. Bayangkan jika kita terus-terusan menyerap informasi negatif seperti ini di samping informasi-informasi negatif yang lain, apa akan terjadi kepada kita. Bayangkan span yang terus menerus menyerap cecair kotor. apabila kita memerahnya, apa yang keluar?


Kadang-kadang bukan salah kita bila kita TERPAKSA mendengar dan melihat informasi yang negatif seperti itu. Salahnya bila kita tidak mahu membuka mata dan telinga untuk mencari sesuatu yang positif dan salahnya juga bila kita tidak menggunakan akal untuk menilai.


Informasi yang positif akan memberi semangat pada kita, memberi kita idea untuk merancang matlamat dan membuat plan tindakan. Bagaimana caranya untuk mendapatkan informasi yang positif ini. Biasanya informasi yang membina seperti itu boleh didapati dengan menghadiri seminar dan bengkel perkembangan diri, membaca buku-buku yang berkualiti dari segi isinya, mengadakan intellectual discussion dengan teman-teman. dan sebagainya. Itu semua bergantung kepada kemahuan dan pilihan kita.


Span yang menyerap cecair kotor akan mengeluarkan cecair yang kotor juga ketika diperah. Jika kita mendengar dan membaca sesuatu yang positif, maka hasilnya pun akan menjadi positif. Terpulang kepada pilihan masing-masing samada mahu menyerap sesuatu yang bersih atau sesuatu yang kotor.



**** Sehari dua ini, saya agak sibuk. Mohon maaf jika saya tidak sempat respon kepada mesej dan komen. Mohon maaf juga jika saya tidak dapat menjenguk semua blog kawan-kawan.