Di sebuah bandar tinggal seorang pelajar yang terkenal dengan kepandaiannya. Kebijaksanaan pelajar tersebut menjadi buah mulut penduduk di situ. Pelajar tersebut selalu diminta memberi pendapat dalam hal-hal pentadbiran bandar tersebut kerana buah fikirannya selalu bernas.


Suatu ketika datuk bandar memerlukan beberapa orang berbakat luar biasa untuk meningkatkan kecekapan dalam pentadbiran bandar tersebut. Jika boleh, beliau inginkan orang-orang yang berbakat seperti pelajar berkenaan. Datuk bandar kemudiannya menyuarakan keinginannya kepada pelajar tersebut.


Keesokan harinya, datuk bandar amat terkejut apabila pelajar bijak itu membawa tujuh orang yang mempunyai bakat dan potensi yang luar biasa.


"Selama ini saya selalu menghadapi masalah untuk mendapatkan orang-orang bijak dan berbakat luar biasa. Saya pernah diberitahu bahawa amatlah beruntung jika kita mampu bertemu dengan seorang yang mempunyai kebijaksanaan luar biasa dalam lingkungan seribu meter persegi kerana untuk bertemu dengan orang yang begitu mungkin mengambil masa seratus tahun." Kata datuk bandar.


"Tidak juga begitu. Biasanya burung yang sama jenis selalu terbang dan tinggal di tempat yang sama. Binatang yang sama jenis akan selalu berkumpul dan hidup bersama-sama. Tumbuhan juga begitu. Oleh kerana saya mempunyai bakat yang luar biasa, tidak sulit untuk melihat orang-orang yang bijak berada di sekeliling saya. Tindakan tuan memilih saya untuk mencari orang-orang yang berbakat luar biasa sungguh tepat sekali." Kata pelajar itu.


Biasanya orang-orang yang mempunyai kesamaan dari segi idea, pendapat, minat dan sebagainya akan berada dalam satu kelompok yang sama. Itulah yang dinamakan 'Law of Attraction' (like attracts like). Menurut "Hukum Tarikan", siapa kita akan menentukan siapa yang akan tertarik kepada kita.


Seorang pemimpin yang mempunyai sikap yang positif akan dapat bekerja rapat dan selesa dengan orang-orang yang mempunyai sikap yang positif juga. Seorang pemimpin yang mempunyai semangat dan motivasi yang tinggi biasanya mempunyai rakan dan anak buah yang bersemangat dan bermotivasi tinggi juga. Oleh kerana itu, seorang pemimpin wajar menjadi teladan dan contoh yang baik untuk anak buahnya.


Mungkin ada juga rakan-rakan yang berada di sekeliling kita mempunyai karakter yang berbeza tetapi jika kita teliti betul-betul, pasti ada beberapa kesamaan yang lain seperti minat, latar belakang keluarga, pengalaman hidup, pendidikan, sikap, nilai dan sebagainya.


Jika kita sebagai ibubapa mendapati anak-anak kita bersikap kasar, cuba teliti dan renungkan sikap dan tingkah laku kita sendiri. Mungkin kita juga bersikap kasar. Jika kita merasai kurang senang dengan sikap rakan-rakan kita, cuba periksa dahulu sikap diri kita sendiri sebelum meletakkan kesalahan di bahu orang lain.