Kutu anjing ialah binatang yang mampu melompat 300 kali tinggi tubuhnya. Namun apakah yang terjadi apabila ia dimasukkan ke dalam sebuah kotak mancis dan dibiarkan ia di situ selama dua minggu? Hasil ujikaji ini menunjukkan, binatang itu sekarang hanya mampu melompat setinggi kota mancis itu sahaja. Kemampuannya melompat 300 kali tinggi tubuhnya telah hilang. Dinding kotak mancis itu membatasi pergerakannya selama dua minggu sehingga keadaan itu menjadi keterbiasaan kepadanya. Lebih daripada itu, kutu anjing tersebut telah hilang keyakinan terhadap kebolehannya sendiri sebaliknya menukar kepercayaan bahawa ia hanya mampu melompat setinggi kotak mancis itu sahaja walaupun selepas ia dikeluarkan daripada kotak mancis tersebut.


Apa yang terjadi kepada kutu anjing tersebut, boleh juga terjadi kepada kita. Siapakah yang boleh diibaratkan sebagai kotak mancis terhadap diri kita? Kotak mancis itu mungkin adalah boss kita, boss yang tidak pandai menghargai penat lelah dan kejayaan yang kita capai sebalik selalu memperkecilkan kebolehan kita.


Kotak mancis itu boleh jadi juga teman-teman sepejabat.


"Alah, kamu kerja kuat dan rajin sekalipun, kamu tidak akan dinaikkan pangkat sebab kamu tak pandai mengampu boss."


Suara-suara sumbang seperti itu sudah cukup untuk membuatkan hati kita berbolak balik dan ragu-ragu terhadap keupayaan diri sendiri.


Kotak mancis itu boleh jadi juga kecacatan fizikal, tahap pendidikan yang rendah, kemiskinan, usia dan sebagainya. Ketika itu semua menjadi kotak mancis yang membatasi pemikiran kita, maka ia akan menghambat prestasi dan kemampuan kita yang sesungguhnya tidak tercermin dalam aktiviti seharian kita. Ketika potensi kita ingin menyerlah, kita harus bertindak untuk melangkah melampaui kotak mancis tersebut.

  • Hellen Keller yang buta mampu lulus dari Havard University.
  • Bill Gates tidak pernah mencapai tahap sarjana dalam pendidikan, namun beliau berjaya menjadi raja komputer.
  • Nelson Mandela menjadi presiden Afrika Selatan ketika berusia 65 tahun.
  • Kolonel Sanders berjaya membangunkan jaringan restoren makanan segera ketika usianya sudah lebih 62 tahun.

Jika kita masih terkongkong di dalam kotak mancis, pada hakikatnya kita masih terjajah, terjajah dengan pemikiran kita sendiri. Hellen Keller, Bill Gates, Nelson Mandela dan Kolonel Sanders adalah di antara orang-orang yang mampu menembusi kotak mancis dan berjaya mencipta nama. Mereka adalah contoh-contoh orang yang merdeka sehingga mampu menembusi pelbagai keterbatasan.


Bagi kita orang-orang Islam, contoh yang terbaik adalah Nabi Muhamad saw. Baginda di kelilingi oleh kotak mancis dari pelbagai sudut, Ada di antara ahli keluarga sendiri yang tidak percaya kepada kata-kata baginda. Masyarakat sekeliling pula sering merendah-rendahkan ajaran Islam yang dibawa baginda. Beliau juga seorang yang ummi (tidak tahu membaca dan menulis). Namun itu semua tidak pernah melunturkan semangat baginda untuk menyebarkan Islam dan hasilnya Islam telah tersebar ke serata pelusuk dunia. Inilah contoh hebat orang yang tidak menjadikan kotak mancis sebagai satu halangan untuk berjuang.


Dan kita juga tidak mustahil boleh menembusi keterbatasan tersebut asal saja kita rela menepis dinding-dinding kotak mancis yang cuba menghalang pergerakan kita. Gunakanlah segenap kekuatan yang ada untuk merobohkan dinding-dinding tersebut.


Selamat berjaya!