Sebagai seorang wanita, saya suka pada keadaan rumah yang teratur dan kemas, Namun dengan empat orang anak plus seorang suami, agak sukar juga untuk mengekalkan keadaan itu sehari suntuk. Pada sebelah pagi, bila semua anak-anak ke sekolah, saya mengemas namun bila anak-anak pulang dari sekolah, rumah akan menjadi sedikit lintang pukang. Ada hari yang mood baik, saya tidak berkata apa-apa tapi ada hari yang datang angin, mulut mula membebel dan perasaan sedikit terganggu.


Semalam saya terbaca satu kisah benar, kisah seorang ibu yang mempunyai empat orang anak lelaki yang boleh tahan juga lasaknya. Kisah ini bukan berlaku di Malaysia. Ibu tersebut lebih kurang macam saya juga, suka pada rumah yang teratur dan kemas, karpet yang bersih dan beralun. Apabila mempunyai empat orang anak lelaki yang tengah lasak tentulah sukar untuk mengekalkan kebersihan karpet itu sepanjang hari. Keadaan ini membuatkan ibu itu mengalami tekanan. Keluarganya mencadangkan supaya dia berjumpa dengan psychologist. Atas saranan keluarga, ibu beranak empat itu berjumpa dengan Virginia Satir, seorang psychologist yang terkenal dan menceritakan segala masalahnya. Virginia Satir mendengar segala permasalahan ibu tersebut dengan penuh perhatian.


"Sekarang puan pejam mata dan cuba bayangkan apa yang akan saya katakan" kata Virginia kepada sang ibu.


"Bayangkan rumah puan kemas dan teratur dan karpet di rumah puan itu bersih dan beralun lembut tanpa kotoran, tanpa kesan-kesan tapak kaki, bagaimana perasaan puan?"


Dengan mata yang masih terpejam, ibu tersebut tersenyum, wajahnya yang tadinya murung kini ada riak-riak gembira. Dia nampaknya senang dengan bayangan yang dilihatnya.


"Itu bermakna di rumah puan tidak ada sesiapa...tidak ada suami, tidak ada anak-anak, tidak terdengar gurau senda dan tawa ceria mereka. Rumah puan sepi dan kosong tanpa orang-orang yang puan sayangi dan kasihi."


Mendengar itu, tiba-tiba saja airmuka ibu tersebut berubah menjadi keruh, tiada lagi senyuman manisnya cuma kedengaran suara esakan. Perasaannya bergoncang. Fikirannya cemas memikirkan apa yang terjadi kepada suami dan anak-anaknya. Di manakah mereka....


"Sekarang puan lihat kembali kepada keadaan rumah dan karpet itu. Puan melihat ada kesan kotoran dan tapak kaki di situ. Itu bermakna suami dan anak-anak puan masih berada di sana. Orang-orang yang puan cintai ada bersama puan dan kehadiran mereka membahagiakan hati puan"


Ibu itu kembali tersenyum. Dia merasa aman dengan visual yang dilihatnya dengan mata yang terpejam.


"Sekarang bukalah mata puan."


Ibu itu pun membuka matanya.


"Bagaimana, apakah karpet yang kotor itu masih menjadi masalah pada puan?"


Ibu itu tersenyum dan menggelengkan kepalanya.


"Saya tahu dan faham maksud puan doktor. Jika kita melihat dari sudut yang tepat, segala permasalahan yang negatif akan nampak positif"


Sejak itu, ibu tersebut tidak lagi mengeluh dan merasa tertekan dengan keadaan rumah dan karpetnya yang kotor, kerana dia tahu kesan kotoran itu menandakan orang-orang yang dikasihinya berada di rumah bukan di tempat lain.


InsyaAllah kisah ini dapat memberi pengajaran kepada saya dalam mengendalikan hal anak-anak. Rumah yang lintang pukang menandakan anak-anak saya sihat dan aktif. Rumah yang teratur dan kemas menjadi tidak bermakna jika anak-anak saya terlentang sakit dan tidak dapat bergerak..


**************************




Virginia Satir ialah seorang psychologist terkenal yang memberi ilham kepada Richard Binder dan John Adler untuk mencipta NLP (Neurolinguistic Programming), Teknik yang di gunakan dalam cerita di atas ialah "Reframing" iaitu bagaimana kita mengubah sudut pandangan sehingga sesuatu yang tadinya nampak negatif menjadi positif. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang Virginia Satir, boleh lah klik di sini.