'Love bank' atau bank cinta (kalau diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu :D) ialah konsep yang diperkenalkan oleh Dr Harley dalam bukunya "His Needs, Her Needs. Biar saya ceritakan sedikit tentang konsep ini.


Setiap individu mempunyai sebuah bank dalam dirinya yang dinamakan 'love bank' dan bank ini beroperasi lebih kurang sama seperti bank biasa (walaupun bank biasa sebenarnya lebih kompleks) - boleh keluar dan masukkan duit tapi 'love bank' boleh masuk dan keluarkan cinta (hehehe..). Saya  berikan contoh diri saya sendiri. Dalam diri saya ada 'love bank' dan dalam 'love bank' tersebut ada beberapa akaun yang dimiliki oleh suami saya, anak-anak saya, ibubapa saya,  adik beradik saya, kawan-kawan saya dan sesiapa yang selalu berinteraksi dengan saya. Saya fokuskan kepada akaun yang dimiliki oleh suami saya.


Sebagaimana yang kita tahu, isteri dan suami ada keperluan yang wajar dipenuhi oleh pasangan masing-masing. Sekiranya keperluan-keperluan ini dipenuhi maka 'love deposit' dalam 'love bank' akan meningkat.


"Weekend ni abang pergi pasar dan abang masak. You can rest or do whatever you want" kata suami saya.

Walaupun ungkapan itu ringkas tapi bagi saya ia sudah cukup untuk membuatkan hati berbunga. Bagi saya, jika suami secara sukarela pergi pasar dan memasak, itu menunjukkan bahawa dia perihatin dan mungkin juga salah satu cara dia menunjukkan kasih sayang (affection). Kasih sayang merupakan satu keperluan isteri. Dengan memenuhi keperluan itu, 'love deposit' untuk akaun suami saya dalam 'love bank' saya akan meningkat. Apa saja perkara yang dilakukan oleh suami sehingga isteri dapat merasakan bahawa keperluannya dipenuhi, maka 'love deposit' akan meningkat. Suami yang memahami konsep ini akan sentiasa mencari peluang untuk menambah simpanannya dalam 'love bank' isteri.


Perkara yang sama juga berlaku kepada akaun saya di dalam 'love bank' suami saya.


"Thank you for helping me in the kitchen…sedaplah makanan yang abang masak ni…" kata saya sambil tersenyum memandang suami saya.


Appreciation ialah sesuatu yang diperlukan oleh suami dari seorang isteri. Dengan memenuhi keperluan tersebut, maka 'love deposit' untuk akaun saya dalam 'love bank' suami saya akan meningkat.


Perkara yang sebaliknya berlaku apabila ada keperluan-keperluan yang tidak dipenuhi. 'Love deposit' dalam akaun akan menyusut.


Tentu kita boleh bayangkan kesan 'love deposit' ini terhadap emotional connection di antara suami dan isteri. 'Love deposit' yang maxima tentu akan mengukuhkan hubungan suami/isteri sementara 'love deposit' yang minima akan menjadikan hubungan suami/isteri longgar dan hambar.


Konsep ini tidak susah untuk difahami. Ia merupakan satu kemahiran dalam melayari alam rumahtangga. Ada yang berkata pada saya, IMAN itu adalah segala-galanya. Sekiranya suami/isteri mempunyai IMAN yang kuat tentu tidak akan terjadi perkara-perkara negatif seperti kecurangan dan sebagainya. Saya tidak nafikan bahawa IMAN itu menjadi perisai atau paksi atau dengan lebih tepat lagi asas terhadap semua perkara bukan terhadap perkahwinan sahaja.


Kita ibaratkan membina rumahtangga seperti membina rumah. Bagi sebuah rumah yang stabil dan kukuh, kita memerlukan tapak atau foundation yang kuat. Asas atau foundation kepada rumahtangga ialah IMAN. Untuk menambahkan lagi keutuhan sebuah rumah, bahan-bahan yang digunakan mestilah berkualiti, susunan tiang dan susunan batu bata mestilah betul. Dalam rumahtangga yang menjadi bahan, tiang dan batu-bata itu ialah KEMAHIRAN. Suami/isteri yang beriman tahu bahawa mereka mempunyai tanggungjawab yang wajib ditunaikan terhadap pasangan masing-masing. Untuk melaksanakan tanggungjawab itu dengan sempurna, mereka wajar mencari KEMAHIRAN di mana dengan KEMAHIRAN ini, suami/isteri yang beriman tadi akan mampu memenuhi segala keperluan pasangan masing-masing baik keperluan fizikal maupun keperluan emosi dengan baik. Suami/isteri yang beriman tentu tidak sanggup melukakan hati pasangan masing-masing kerana mereka tahu jika hati pasangan terluka bererti mereka tidak menjalankan tanggungjawab dengan sempurna dan mereka tahu apa balasannya bagi orang-orang yang tidak melaksana tanggungjawab yang telah diamanahkan.


Untuk belayar di tengah samudera, sebuah kapal memerlukan nakhoda dan kelasi-kelasi yang mahir di samping kapal yang kuat dan kukuh. Begitu juga dalam melayari alam perkahwinan, KEIMANAN dan  KEMAHIRAN suami dan isteri amat diperlukan agar rumahtangga yang dibina mampu bertahan biar sebesar mana sekalipun badai dan dugaan yang datang.



Reblog this post [with Zemanta]