Sebagai  pasangan suami isteri, sudah tentu kita inginkan ikatan perkahwinan berkekalan selamanya..hidup dalam keadaan harmoni, berkasih sayang dan bahagia zahir dan batin. Ada pasangan nampak bahagia pada zahir sedangkan batin terseksa.


"Saya dah cuba segalanya..tapi kami tidak bahagia hidup bersama" kata si isteri.


"Aku tak tahu apa lagi yang dia mahu, aku dah sediakan segala-galanya tapi dia masih tidak puas" kata seorang suami kepada kawannya.

Sebenarnya bukan kita tidak peduli atau tidak berkeinginan untuk mencipta rumahtangga yang aman bahagia cuma mungkin kita tidak mengetahui bagaimana untuk menyuburkan cinta kasih di antara kita dan pasangan kita.


Satu fakta yang perlu kita selalu ingat…setiap kita mempunyai keperluan emosi yang wajar dipenuhi oleh orang-orang yang berhubungan dengan kita. Isteri ada keperluan emosi yang harus dipenuhi oleh suami, suami juga begitu, anak-anak juga ada keperluan emosi yang wajar dipenuhi oleh ibubapa. Sekiranya keperluan emosi ini terjaga dengan baik, maka tingkah laku kita akan berbeza. Isteri yang keperluan emosinya dipenuhi akan memberi reaksi yang positif…sentiasa bersemangat, tersenyum, kurang membebel dan sebagainya. Sekiranya keperluan emosi tidak dipenuhi, si isteri mungkin bersikap dingin, tidak bersemangat dan lain-lain reaksi yang negative. Bagitu juga dengan suami dan anak-anak. Tentu ada yang masih ingat tentang konsep LOVE BANK yang pernah saya ceritakan sebelum ini. Keperluan emosi yang dipenuhi akan menaikkan kredit dalam Love Bank. Kredit yang tinggi akan menghasilkan reaksi yang positif.


Bagaimana keperluan emosi ini dapat dipenuhi? Salah satu cara ialah berkomunikasi dengan bahasa cinta yang difahami oleh pasangan kita. Kesilapan yang selalu kita lakukan ialah tidak berkomunikasi dengan bahasa cinta yang disukai dan difahami oleh pasangan kita. Kita lihat contoh di bawah...


Mimi akan rasa bahagia dan rasa dicintai jika suaminya mengucapkan pujian dan sanjungan seperti;

"Abang beruntung dapat isteri macam Mimi"

"Mimi tetap cantik di mata abang. Tidak ada wanita lain yang lebih cantik dari Mimi"



Manakala suami Mimi pula rasa bahagia dan rasa dicintai jika Mimi melayan makan minumnya dengan memasak sendiri, menyediakan pakaiannya, mengemas rumah dan sebagainya.


Oleh kerana Mimi menganggap bahawa mengucapkan pujian dan sanjungan adalah merupakan cara untuk mempamerkan cinta dan kasih sayang, dia akan berbuat begitu terhadap suaminya sedangkan apa yang suaminya perlukan ialah layanan dari segi makan, minum dan pakaian. Dalam erti kata lain, Mimi tidak berkomunikasi menggunakan bahasa cinta yang difahami oleh suaminya.


Bagitu juga dengan suami Mimi yang menganggap bahawa layanan makan minum dan berkemas rumah adalah cara untuk mempamerkan kasih sayang, maka dia akan berbuat begitu sedangkan Mimi memerlukan kata-kata sanjungan dan pujian. Suami Mimi juga tidak berkomunikasi menggunakan bahasa cinta yang difahami oleh Mimi.


Bila kedua-dua Mimi dan suaminya tidak berkomunikasi dengan menggunakan bahasa cinta yang difahami oleh mereka, tentu keperluan emosi tidak akan terpenuhi. Bila keperluan emosi tidak dipenuhi, kredit dalam LOVE BANK menurun. Bila kredit menurun, timbullah reaksi negatif. Jika keadaan atau situasi ini tidak diatasi dengan segera, akan timbul konflik.


Untuk berkomunikasi dengan menggunakan bahasa cinta yang betul, bahasa cinta yang difahami oleh pasangan kita, maka kita perlu buat sedikit kajian terhadap pasangan masing-masing. Cuba cari dan selidik bahasa cinta utama seperti yang difahami oleh pasangan kita. Kemudian berkomunikasilah dengan menggunakan bahasa tersebut.


bersambung…..!