Saya petik satu daripada cerita yang ditulis oleh Dr Gary Chapman dalam bukunya, "The Five Love Language". Kisah ini lebihkurang sama seperti kisah kawan saya yang rumahtangga mereka telah menemui kehancuran selepas berbelas tahun hidup bersama.


Bill dan Betty telah berkahwin selama 12 tahun dan mempunyai dua orang anak. Mereka tinggal di sebuah rumah dan boleh dikatakan hidup mereka agak mewah namun kehidupan zahir tidak mencerminkan kehidupan batin. Mereka selalu tidak bersependapat tentang kebanyakan perkara. Cuma satu perkara yang mereka bersependapat adalah yang berkaitan dengan anak-anak.


Untuk mengelakkan pertengkaran dan pergaduhan, mereka menjauhkan diri di antara satu sama lain. Betty bekerja (part time) hanyalah untuk berada di luar rumah yang dirasakan tidak ada ketenangan itu. Ketidakpuasan emosi berlaku sekian lama di antara mereka berdua. Tahap kredit dalam "LOVE BANK" hampir zero.


Bill merupakan seorang yang workaholic. Dia banyak menghabiskan masa di pejabat. Pergi kerja awal pagi, balik kerja lewat malam dan terlalu sedikit masa yang dihabiskan bersama isteri dan anak-anak. Tidak hairanlah kehidupan mereka boleh dikatakan senang dan mewah kerana Bill pandai cari duit.


Kerja-kerja rumahtangga semuanya diuruskan oleh Betty termasuklah hal-hal yang bersangkutan dengan anak-anak. Tugas Bill hanyalah menyediakan wang.


Pasangan ini telah bertemu dengan Dr Gary untuk mendapatkan nasihat. Dr Gary telah bertemu dengan Bill dan Betty secara berasingan.


Komen Bill mengenai Betty:

Betty seorang ibu yang baik, bijak menguruskan rumahtangga dan pandai memasak tetapi saya merasakan tiada cinta dan kasih sayangnya terhadap saya. Saya bekerja keras siang dan malam bagi menyediakan kehidupan yang senang untuk keluarga tapi dia seperti tidak menghargainya. Tiada kata-kata yang menunjukkan dia menghargai apa yang saya lakukan selama ini.


Komen Betty mengenai Bill:

Bill memang bekerja kuat dan memberi kesenangan kepada kami sekeluarga tapi dia tidak pernah ada masa untuk bersama saya dan anak-anak. Dia tidak pernah bersama-sama membantu saya di dapur atau melakukan kerja-kerja rumahtangga yang lain. Kami jarang pergi bercuti bersama. Apa gunanya segala kesenangan jika tidak dapat dinikmati bersama?


Cadangan Dr Gary kepada mereka berdua:

Dr Gary mencadangkan supaya Bill menyatakan penghargaan secara verbal terhadap perkara yang disukainya tentang Betty dan begitu juga dengan Betty, menyatakan penghargaan secara verbal tentang perkara yang disukainya tentang Bill. Mereka perlu melakukan cadangan ini selama dua bulan.


Selepas dua bulan, Dr Gary menghubungi mereka semula untuk mengetahui perkembangan.


"Saya gembira. Betty telah menunjukkan penghargaannya terhadap kesenangan yang saya beri dan kerja keras yang saya lakukan. Dia telah membuatkan saya merasai seperti seorang lelaki idaman dan seorang suami yang disayangi" kata Bill.


"Ada sedikit perubahan. Bill memuji saya dan menyatakan penghargaannya secara verbal kepada saya. Saya tahu dia ikhlas tapi dia masih tidak ada masa untuk saya. Dia masih sibuk dengan kerjanya sehingga kami tidak ada masa untuk bersama-sama melakukan aktiviti seperti bersiar-siar dan pergi bercuti" kata Betty.


Kesimpulan yang dapat dibuat dari kisah di atas..


Bill suka kepada kerjanya dan rasa bertanggungjawab bagi menyediakan kehidupan yang baik untuk keluarganya tapi dalam masa yang sama dia memerlukan kata-kata penghargaan daripada isterinya. Kata-kata penghargaan itu pada Bill ialah satu cara untuk menyatakan cinta dan kasih sayang. Jelas di sini bahawa bahasa cinta Bill yang utama ialah "Word of Affirmation"...sebab itulah apabila Betty menyatakan pernghargaannya secara verbal, Bill menjadi bersemangat, gembira dan merasakan bahawa dia disayangi dan dicintai oleh isterinya.


Bahasa cinta Bill itu walaubagaimana pun tidak dikongsi oleh Betty. Betty suka menerima pujian tapi jauh di sudut hatinya masih ada rasa ketidakpuasan. Emosinya masih terasa kekosongan dan memerlukan sesuatu yang lain. Apa yang diperlukan oleh Betty ialah bahasa cinta yang kedua iaitu "Quality Time".


Contoh-contoh pujian dan penghargaan secara verbal:

"Abang seorang suami yang bertanggungjawab. Terimakasih atas segala kesenangan yang abang sediakan untuk keluarga kita…"

"Terimakasih kerana abang menolong saya di dapur…"

"Wah cantiknya isteri abang malam ni…"

"Sedapnya kari ikan yang awak masak ni.. Abang tak pernah rasa lagi kari sesedap ini…"


Penghargaan dan pujian wajar diberi secara ikhlas bukan bertujuan untuk membodek dan mengampu. Kata-kata pujian dan penghargaan agak sukar diucapkan oleh suami atau isteri yang bahasa cinta utama bukan "Word of Affirmation" tapi seharusnya kita berusaha untuk membiasakan diri dengan selalu menggunakannya. Sama seperti kita mempelajari bahasa kedua (seperti Bahasa Inggeris, Bahasa Arab dan lain-lain), hendaklah selalu menggunakan bahasa tersebut. Lama-kelamaan, insyaAllah kita akan menjadi lancar untuk berkomunikasi dengan pasangan kita yang bahasa cinta utamanya ialah "Word of Affirmation".



bersambung untuk bahasa cinta kedua -> Quality Time….!


Note: Bahasa cinta merupakan satu skill dalam hubungan rumahtangga dan kekeluargaan. Selain daripada asas (sebagaimana yang digariskan dalam Islam) yang menjadi tunggak utama dalam sesuatu hubungan rumahtangga, skill juga penting dan wajar dipelajari oleh pasangan suami isteri bagi memenuhi keperluan emosi pasangan masing-masing.