"Abang tak pernah ada masa untuk saya" rungut seorang isteri.

Si suami yang asyik menghadap laptop sejak balik dari pejabat petang tadi tidak menjawab. Dia seakan-akan tidak mendengar rungutan isterinya.


"Abang, abang dengar tak apa saya kata?" Kali ini suara si isteri agak keras sambil menggoyang tangan suaminya.


"Apa?" si suami bertanya sedangkan matanya masih tertumpu pada laptop itu.


"Abang  ni tak pernah luangkan masa bersama saya"  si isteri mengulang rungutannya.


Kali ini si suami mengalih pandangan ke wajah isteri.


"Apa lagi tak luangkan masa dengan awak. Saya selalu berada di rumah. Petang saya balik awal dari pejabat. Malam saya tak keluar rumah. Apa lagi yang awak mahu?"


Di atas adalah satu sketsa yang biasa terjadi dalam sebuah rumahtangga. Isteri yang bahasa cinta utamanya ialah "Quality Time" akan merungut apabila suami kurang meluangkan masa bersamanya. Suami yang tidak memahami maksud "Quality Time" akan merasa keliru dengan kehendak si isteri. Biasanya suami yang keliru adalah suami yang bahasa cinta utamanya bukan "Quality Time".


Aspek utama dalam "Quality Time" ialah 'togetherness' atau kebersamaan. Ini bukanlah bermaksud bahawa kita mesti meluangkan masa bersama dengan asyik merenung mata di antara satu sama lain seperti waktu bercinta (hehehe..). Sebaliknya ia bermaksud bahawa suami dan isteri melakukan sesuatu bersama-sama dan memberi sepenuh perhatian terhadap satu sama lain.


Jika seorang suami bercakap dengan isteri sedangkan matanya tertumpu kepada skrin laptop atau TV, itu tidak memberi sepenuh perhatian namanya dan itu bukan "Quality Time". Apabila isteri mengharapkan kehadiran suami di sisinya, itu tidak bermaksud hadir secara fizikal semata sebaliknya kehadiran secara holistik, kehadiran yang lengkap dari segi fizikal, emosi dan fikiran. Kehadiran yang membuatkan masing-masing isteri dan suami merasakan detik kebersamaan.


Bahasa cinta "Quality Time" mempunyai dua dialek (loghat) utama:
  • 'quality conversation' - perbualan yang berkualiti
  • 'quality activities' - aktiviti yang berkualiti.


Mungkin ada yang menganggap bahawa perbualan yang berkualiti adalah perbualan yang membincangkan hal-hal yang serius seperti politik, isu global dan sebagainya. Dalam konteks bahasa cinta, perbualan yang berkualiti adalah perbualan yang dapat dirasai oleh pasangan secara emosi. Jika dalam "Word of Affirmation", kita fokus pada  butir perkataan (vocabulary) tapi dalam 'quality conversation', kita fokus kepada apa yang kita dengar dan rasai. Jika seorang suami ingin meluangkan masa bersama isteri melalui bahasa cinta 'quality conversation', itu bermaksud bahawa suami akan fokus pada bicara isteri, mendengar dengan teliti dan penuh perasaan, bertanya soalan bukan secara menghukum sebaliknya bertanya secara ikhlas dengan bertujuan untuk memahami apa yang ada di fikiran isteri, perasaan dan kehendaknya. Dalam 'quality conversation', selalunya perlu kepada 'eye contact' walaupun bukan sepanjang masa. Suami dan isteri perlu peka kepada 'body language' dan cuba memahami apa yang cuba disampaikan melalui 'body language' tersebut. "Quality conversation" kadang-kadang perlu diiringi dengan sentuhan fizikal (seperti menggenggam tangan pasangan dan sebagainya) untuk menunjukkan bahawa kita 'hadir' dalam perbualan itu.


Apa-apa saja aktiviti boleh menjadi berkualiti ('quality acitivities') kepada pasangan suami isteri asalkan kedua-duanya hadir secara holistik dalam melakukan aktiviti itu tersebut. Boleh jadi aktiviti itu adalah hobi isteri atau hobi suami atau hobi kedua-duanya. Fokus utama bukan kepada apa yang dilakukan sebaliknya kenapa ia dilakukan. Kenapa ia dilakukan? Sesuatu aktiviti dilakukan adalah untuk pasangan suami isteri merasai atau mengalami 'kebersamaan' dan menghindari perasaan negatif…"he/she doesn't care about me". Melalui 'quality activities', isteri/suami akan merasakan bahawa pasangannya sentiasa mengambil berat tentang dirinya, sanggup melakukan  sesuatu bersama-sama dengan ikhlas dan sikap yang positif. 
Itulah bahasa cinta "Quality Time" dan pada sesetengah suami atau isteri, ia merupakan bahasa cinta yang utama.


…akan bersambung bahasa cinta yang ketiga -> "Receiving Gift"
Note: Bahasa cinta merupakan satu skill dalam hubungan rumahtangga dan kekeluargaan. Selain daripada asas (sebagaimana yang digariskan dalam Islam) yang menjadi tunggak utama dalam sesuatu hubungan rumahtangga, skill juga penting dan wajar dipelajari oleh pasangan suami isteri bagi memenuhi keperluan emosi pasangan masing-masing.