“Aku tidak akan lepaskan dia. Aku nak buat sesuatu supaya hidupnya susah dan tidak tenang”


Begitulah bunyi ayat yang dilafazkan oleh seorang teman saya. Begitu marah nampaknya. Teman saya itu telah bercerai dengan suaminya beberapa tahun yang lepas tapi marah dan dendam terhadap suaminya masih belum reda.


Saya melihat kehidupan teman saya itu juga tidak tenang walaupun setelah berpisah baik dari segi fizikal maupun emosi. Dari segi fizikal, dia terpaksa turun naik mahkamah. Dari segi emosi, dendam dan marahnya masih bertapak di hati. Bolehkah dia menjalani kehidupan yang  tenang dengan keadaan yang begitu?


Saya tidak bercadang untuk bercerita lanjut tentang kisah rumahtangga teman saya yang menemui kehancuran itu. Apa yang menarik perhatian saya ialah tentang dendam, kemaafan dan ketenangan. Saya sendiri pernah berdendam dengan seseorang, marah yang amat sangat hingga terasa tidak boleh memaafkan. Perasaan itu saya bawa sehingga beberapa tahun. Apa yang terjadi selama itu? Ya, saya tidak merasa ketenangan, asyik terfikir dan memikir tentang individu tersebut. Lagi difikir lagi kuat rasa dendam dan semakin terasa seperti duduk di atas bara api. Sehingga pada suatu hari, saya terdengar seorang ustazah memberitahu dalam satu rancangan di TV bahawa kemaafan itu akan memberi kita ketenangan. Dalam diam-diam saya memaafkan individu tersebut dengan ikhlas. Tidak mudah sebenarnya tapi saya cuba sedaya mungkin. Akhirnya saya berjaya memberi kemaafan walaupun tanpa dipinta dan selepas itu hati saya menjadi tenang. Betul kata ustazah tersebut.


Dalam menjalani kehidupan bermasyarakat, kita tidak dapat mengelak, kita harus berhadapan dengan berbagai jenis kerenah manusia. Ada-ada saja kerenah yang akan menyulitkan kita. Ada yang sengaja membuatkan kita menjadi emosional, memaksa kita melakukan perkara yang kita tidak suka atau menghalang kita daripada melakukan sesuatu yang kita perlu lakukan. Ada juga jenis yang suka membuatkan kita rasa bersalah dan serba salah, meniupkan perasaan-perasaan yang negatif dan sebagainya. Semua itu akan menjadikan kita marah dan adakalanya tahap kemarahan kita berubah menjadi dendam.


Malangnya, kita tidak mungkin dapat mengendalikan sikap mereka. Tidak ada yang dapat kita lakukan untuk mencegah mereka agar tidak mengganggu ketenteraman kita. Namun, kita boleh mengendalikan hati dan sikap kita sendiri. Daripada kita menyibukkan diri dengan menyimpan dendam dan marah yang  sudah jelas tidak mendatangkan kebaikan, adalah lebih baik jika kita mencari jalan bagaimana cara untuk kita menakluk musuh tanpa perlu bertempur? Kita tidak akan merasa ketenangan dan kebahagiaan jika jiwa kita dipenuhi dengan perasaan dendam dan marah. Apa yang dilakukan oleh orang lain terhadap kita hingga menyebabkan kita marah dan berdendam adalah tidak penting sebaliknya kita yang akan menanggung akibat jika kita tidak memaafkan. Menyimpan rasa dendam dan marah menggunakan banyak energy. Bukankah lebih baik jika kita gunakan energy tersebut untuk sesuatu yang lebih positif?


Sesungguhnya memaafkan itu adalah penyembuhan. Menyembuhkan hati kita, membebaskan emosi-emosi negatif dari perasaan yang akan membawa kita kepada ketenangan. Namun memaafkan itu tidak semudah memetik suis lampu pada dinding. Tindakan tersebut memerlukan kerendahan hati, membuang segala perasaan ego dan anggapan bahawa mengapa kita perlu memberi kemaafan sedangkan yang bersalah langsung tidak memohon maaf.


Sesungguhnya.. hidup ini terlalu singkat untuk kita penuhi dengan kebencian dan dendaman. Adalah lebih baik jika kita penuhi kehidupan yang sesingkat ini dengan keharmonian. Nabi Muhamad saw bersabda "Carilah alasan untuk memaafkan saudaramu walau hingga 70 alasan."  Seorang murid bertanya kepada gurunya, Imam Hasan Al-Basri, "Mengapa Rasulullah saw menyuruh kita mencari 70 alasan untuk memaafkan?". Jawab Hasan Basri, "Itu menunjukkan pentingnya memaafkan. Apabila kita sudah ada 70 alasan tapi kita masih belum boleh memaafkan, itu tandanya kita memiliki hati sekeras batu. Alangkah sedihnya..."