"Hari minggu ni Ida masak nasi beriani kambing ye. Tekak abang ni terasa nak makan nasi beriani kambing pulak"


"Ala bang…di restoren Bistari tu kan ada jual nasi beriani kambing. Kalau abang teringin nak makan, beli saja di situ"


"Mana sama kalau masak sendiri. Lebih-lebih kalau Ida yang masak"

"Nasi beriani kambing yang dijual di restoren Bistari tu lagi sedap"

"Siapa kata. Bagi abang, masakan yang Ida masaklah yang paling sedap"

"Awal-awal pagi Ahad nanti, kita pergi pasar sama-sama, cari kambing dan bahan-bahan lain. Nanti abang akan tolong Ida kupas dan potong bawang"


Murad, seorang suami yang bahasa cinta utamanya ialah 'Act of Service'. Dia lebih suka urusan rumahtangga diuruskan oleh Ida, isterinya. Walaupun mereka ada pembantu rumah tetapi Murad lebih suka jika Ida sendiri yang memasak, menggosok pakaiannya dan menguruskan hal-hal berkaitan dengan dirinya. Bagi Murad, itu merupakan pernyataan cinta dan kasih sayang. Bila kita menyayangi dan mencintai pasangan kita, maka kita bersedia untuk memberi khidmat. Begitulah apa yang difikirkan oleh Murad. Setiap kali Ida respon terhadap bahasa cinta utamanya, kredit dalam 'love bank'nya meningkat. Keperluan emosi Murad dipenuhi dan Murad akan mempamerkan tingkah laku yang positif.


Namun ada satu perkara yang harus diingat oleh suami atau isteri yang bahasa cinta utamanya ialah 'Act of Service'. Jangan terlalu demand sehingga pasangan masing-masing merasa seperti orang gaji atau diperhambakan. Apabila pasangan kita merasa demikian, apa yang dilakukan adalah dalam keadaan terpaksa, tiada keikhlasan dan tidak diiringi oleh rasa cinta dan kasih sayang.


"Saya telah melakukan apa yang abang inginkan. Semua kerja dalam rumah ni saya yang buat sejak kita kawin tapi abang tak pernah menghargainya. Yang saya terima hanya perintah dan kritikan. Dan lagi abang selalu memalukan saya di depan keluarga dan kawan-kawan abang. Saya rasakan seolah-olah macam orang gaji dalam rumah ni"


Begitulah keluhan seorang isteri yang telah berkhidmat selama bertahun-tahun untuk suaminya namun khidmat itu bukanlah pernyataan cinta dan kasih sayang sebaliknya dilakukan dengan rasa terpaksa, takut dan tiada keikhlasan. Terpaksa mungkin kerana suami memaksa, takut mungkin kerana suami garang dan panas baran dan hilang keikhlasan kerana suami tidak menghargai dan selalu mengkritik.


Apabila pasangan kita bersedia untuk berkhidmat maka kita pula hendaklah bersedia untuk memberi penghargaan walaupun hanya sekadar ucapan 'terimakasih'. Jika kita perlu menegur atau mengkritik, gunakan cara kritikan yang dapat diterima oleh pasangan masing-masing.




...akan bersambung dengan bahasa cinta yang kelima -> 'Physical Touch'
Note: Bahasa cinta merupakan satu skill dalam hubungan rumahtangga dan kekeluargaan. Selain daripada asas (sebagaimana yang digariskan dalam Islam) yang menjadi tunggak utama dalam sesuatu hubungan rumahtangga, skill juga penting dan wajar dipelajari oleh pasangan suami isteri bagi memenuhi keperluan emosi pasangan masing-masing.