"Berseri wajah kau hari ni, Maya. Ada apa-apa ke?" tanya Mimi


"Kau tengok ni… " kata Maya sambil menunjuk jari manisnya yang sebelah kanan.


"Wah..cantiknya cincin!"


"Cincin ni..suami aku hadiahkan semalam sempena ulangtahun perkahwinan kami yang ketiga" kata Maya.


"Tahniah! Cantiklah cincin ni. Tentu mahal harganya"
"Terimakasih Mimi. Tak kisahlah berapa harganya asalkan ia datang dari orang yang aku sayang, tentu aku suka. Lagi satu, dia tak lupa tarikh keramat tu"  kata Maya sambil ketawa kecil.


Siapa yang tidak gembira bila menerima hadiah dari seseorang lebih-lebih lagi dari orang yang tersayang. Bagi suami atau isteri yang bahasa cinta utamanya ialah "Receiving Gift", kegembiraan akan berganda. Sebaliknya apabila tidak menerima apa-apa dari pasangan masing-masing, mereka akan merasakan bahawa kasih sayang dan cinta itu telah luntur. Kredit dalam 'love bank' semakin menurun dan keperluan emosi tidak dipenuhi, tingkah laku pun akan berubah menjadi negatif.


Hadiah atau pemberian merupakan simbol yang nyata kepada cinta dan kasih sayang. Bagi sesetengah orang, simbol yang nyata ini penting jika dibandingkan dengan orang lain. Sebab itulah setiap individu berbeza sikap terhadap memberi dan menerima hadiah. Ada yang mengambil berat tentang itu dan ada juga yang tidak berapa kisah. Bila seorang isteri yang bahasa cinta utamanya ialah "Receiving Gift" maka si suami hendaklah peka dan respon kepada bahasa cintanya dengan memberi hadiah. Dengan itu, si isteri akan merasa secure dan merasa suaminya tetap menyayangi dan menghargainya.


Hadiah boleh jadi dalam bentuk material dan kebanyakan kita memahaminya begitu. Ada hadiah yang bukan dalam bentuk material. Kehadiran kita di sisi orang tersayang di saat dia memerlukan kita, itu juga boleh menjadi hadiah yang bermakna.


"Kenapa muram aje ni?" Puan Suraya bertanya kepada anak perempuannya yang baru dua hari melahirkan anak sulong.


"Ana kecil hati dengan Abang Borhan, mak. Ada ke patut dia pergi minum-minum dan bersembang di kedai kopi dengan kawan-kawannya dan meninggalkan Ana sendirian di hospital masa bersalin hari tu"


"Kan ke dia ada masa Ana sakit dan masa Ana bersalin hari tu?"


"Memanglah dia tunggu tapi lepas aje baby lahir, dia terus keluar tinggalkan baby dan Ana sendirian di ward"


"Mak kan ada masa tu.. tunggu Ana dan baby?"


"Ye la mak ada tapi Abang Borhan pun patut tunggu sama. Inikan anak pertama dia. Ana nak kongsi rasa gembira dengan dia tapi dia tak ada. Nampak macam dia tak kisah aje..macam dia tak sayang Ana dan baby"


Seorang suami boleh menghantar bunga atau coklat kepada isteri yang terbaring di katil hospital tapi kehadiran si suami di saat itu akan menjadi hadiah yang amat bermakna bagi seorang isteri yang baru melalui detik-detik dan pengalaman yang mencemaskan. Bagi isteri, kehadiran itu menunjukkan suami prihatin, menunjukkan suami kasih dan cinta, sanggup berkongsi saat duka dan gembira.


Hadiah tidak perlu mahal dan tidak perlu berkala (tak perlu kita setkan setiap hari Isnin untuk bagi hadiah misalnya). Hadiah yang diberi dengan keikhlasan dan spontan lebih menggembirakan orang yang menerima. Bagi suami atau isteri yang bahasa cinta utamanya ialah "Receiving Gift", bukan harga hadiah yang dinilai sebaliknya tanda cinta dan kasih sayang yang dilahirkan melalui hadiah tersebut.


Be creative! Hari ini sebelum pulang dari pejabat, cari kertas yang tidak digunakan lagi (kertas terbuang), gunting kertas berbentuk hati (saiz yang boleh disimpan dalam wallet atau purse) dan tulis "I Love You". Bila bertemu dengan isteri atau suami, perkara pertama ialah menyerahkan kertas berbentuk hati tadi. Tengok apa reaksi pasangan anda! Ada isteri atau suami yang akan menyimpan hadiah itu di dalam wallet atau purse. Ada yang lekat di dinding peti ais dan sebagainya. Dan jangan terkejut jika pasangan anda mencampakkan hati itu merata-rata. Itu mungkin disebabkan bahasa cinta utamanya bukan "Receiving Gift".


…akan bersambung dengan bahasa cinta yang keempat ->"Acts of Service"


Note: Bahasa cinta merupakan satu skill dalam hubungan rumahtangga dan kekeluargaan. Selain daripada asas (sebagaimana yang digariskan dalam Islam) yang menjadi tunggak utama dalam sesuatu hubungan rumahtangga, skill juga penting dan wajar dipelajari oleh pasangan suami isteri bagi memenuhi keperluan emosi pasangan masing-masing.