Setahun berlalu tidak terasa. Seakan baru semalam kita berada di ambang tahun 2014. Rutin harian kadang-kadang membuatkan kita hilang fokus pada waktu yang berlalu. Kita bangun setiap pagi dengan perasaan yang biasa tanpa merasakan apa-apa kelainan walaupun sebenarnya setiap hari ada kelaianannya yang tersendiri. Namun bagi kita ia seolah-olah seperti tindakan refleks dengan rutin kita yang biasa - bangun pagi, mandi, pakai baju, sarapan dan pergi kerja. Sekiranya kita sedar  bahawa masa hidup kita ini terlalu singkat, barangkali kita gelut belajar menghargai kedatangan hari baru dengan lebih bermakna.


Dalam perjalanan hidup kita, tiada hari yang sama, tiada hari yang terhenti walaupun untuk seketika.  Hari baru yang datang tidak pernah berundur ke belakang. Ia akan beredar terus ke hadapan selama 24jam dan selepas itu ia akan diganti dengan hari yang lain. Setiap hari ada cerita dan misteri yang tersendiri.  Ia bergantung kepada cara mana kita menjalani hari-hari tersebut. Bagi orang yang 'menikmati' kehidupan, dia akan menghargai setiap hari yang berlalu lantas mencorakkannya dengan cerita dan misteri yang indah ibarat sejalur pelangi yang menghiasi dada langit. Namun sebaliknya bagi orang yang menjalani hidup ini tanpa kesedaran. Sedar-sedar, ia sudah berada di ambang senja tanpa sempat mengecap kenikmatan dan keindahan pelangi tujuh warna yang menghiasi alam.


Kehidupan seorang penulis atau seorang pelukis mungkin boleh dijadikan sebagai metafora. Pelukis masuk ke dalam studio dan mendapati di situ hanya ada kanvas putih bersama warna-warna indah dan alat-alat untuk melukis. Dia tidak mempunyai idea tentang apa yang bakal dilukis pada mulanya. Namun kenangan dan pengalaman digabung bersama dengan warna-warna indah itu membentuk satu imej dalam mindanya. Dengan menggunakan alat-alat untuk melukis dan kreativiti tersendiri, pelukis mencorakkan apa yang tergambar di mindanya di atas kanvas tersebut dan hasilnya terjadilah lukisan yang mempunyai nilai dan maknanya yang unik yang kadang-kadang hanya difahami oleh pelukis itu sendiri. Each of us is an artist of our days; the greater our integrity and awareness, the more original dan creative our time will become…


Dengan kedatangan tahun baru ini, marilah kita sama-sama berazam untuk menghargai hari-hari dan waktu yang kita lalui dengan cara yang lebih bermakna supaya kehidupan kita juga menjadi lebih bermakna bukan sahaja untuk diri kita sendiri bahkan untuk persekitaran dan orang-orang yang kita sayang.