Ayah hanya sempat hidup bersama saya selama 10 tahun. Walaupun peristiwa itu telah lama berlalu, namun saat-saat pemergian ayah masih jelas terbayang di fikiran. Sayalah anak yang paling kuat menangis di saat kematian ayah sehingga terpaksa dipujuk oleh ibu saudara.



Ayah, di sebalik ketegasannya, terselindung sifat pengasih dan penyayang kepada anak-anak. Walaupun saya hanya sempat bersama ayah selama 10 tahun, namun ada kenangan-kenangan manis yang masih terlipat kemas dalam ingatan.




Ayah amat menitik beratkan soal hukum hakam Islam dalam mendidik anak-anaknya. Seingat saya ayah tidak pernah marah jika saya tidak membaca buku-buku sekolah tapi akan melenting jika didapati saya dan adik beradik yang lain, tidak menunaikan solat fardhu, mencuri, tidak membaca Quran, menyakiti orang lain dan sebagainya. Saya masih ingat bagaimana saya dipukul oleh ayah kerana bergaduh dengan seorang kawan dan saya menampar kawan saya itu (ganas jugak saya masa kecil dulu..).




Kanak-kanak sebaya saya di zaman dahulu lebih aktif bermain di luar rumah, merayau satu kampung, Parit dan taliair menjadi kolam renang kami. Pokok mempelam dan jambu batu menjadi tumpuan kami. Dan ayah selalu berpesan, jangan sekali-kali mengambil buah jambu dan mempelam yang menjadi kepunyaan orang lain. Pernah sekali saya, abang dan kakak dimarah teruk kerana mengambil mempelam orang (nakal jugak kami masa kecil...). Ayah memaksa kami pergi berjumpa tuan punya pokok mempelam untuk memohon maaf.




Di waktu petang, biasanya saya akan mengikut abang bermain di padang dengan kawan-kawannya. Kami keluar rumah sebaik sahaja abang selesai membuat kerja sekolahnya (masa dulu, cikgu tak bagi banyak homework seperti sekarang). Betapa seronoknya bermain di padang sehingga terlupa waktu solat 'Asar. Dari jauh kelihatan ayah datang dengan rotan di tangan. Melihat rotan setebal jari kelingking itu, saya dan abang bukan main kecut perut. Belum sempat ayah berkata sepatah pun, kami berlari pulang dan bersiap untuk bersolat 'Asar. Ayah sebenarnya tidak pernah menghalang kami bermain di padang asalkan kami tidak lupa bersolat bila masuk waktu solat. Tapi sudah menjadi kebiasaan, bila asyik bermain, mana nak ingat waktu solat. Begitulah tegasnya ayah tentang solat. 




Anak-anak ayah semuanya belajar mengaji Quran dengan ayah. Ayah seorang guru mengaji, begitu juga ibu. Ibu dan ayah mempunyai ramai anak murid. Tapi anak-anak ayah mendapat layanan "istimewa". Jika budak-budak lain mengaji Quran sekali sahaja dalam sehari tapi anak-anak ayah, dua atau tiga kali sehari (2 kali pada hari biasa dan 3 kali pada hari minggu). Sewaktu belajar mengaji Quran, anak-anak ayah kena bagi tumpuan, tak boleh main-main. Rotan sentiasa di sisi ayah sewaktu mengajar anak-anak mengaji. Anak-anak ayah menjeling ketakutan melihat rotan itu..tapi seingat saya, ayah tidak pernah merotan anak-anaknya ketika mengaji. Anak-anak ayah baik dan bijak barangkali...




Sudah menjadi kebiasaan ayah, bangun di sepertiga malam untuk menunaikan solat tahajjud dan membaca Quran hingga ke subuh. Itulah yang dilakukannya hampir setiap hari. Menjelang waktu subuh, ayah akan mula memasang pelita minyak tanah (waktu itu belum ada letrik di kampung saya) di segenap ruang rumah. Dan ayah mula mengejutkan anak-anaknya seorang demi seorang. Saya yang ketika itu berusia enam tahun (belum bersekolah) juga tidak terkecuali.




Sebagai kanak-kanak, tentulah saya dan adik beradik yang lain liat untuk bangun pagi (seawal pukul 5 pagi). Ayah akan mundar mandir berjalan di dalam rumah dengan memakai seliparnya. Sengaja ayah seret selipar itu supaya berbunyi kuat dengan harapan anak-anaknya akan bangun (rumah lantai papan memang akan kuat bunyinya apabila selipar diseret..hehehe). Tidak berjaya dengan cara itu, ayah akan meruntuhkan kelambu yang di pasang. Saya dan adik beradik tidur dalam kelambu waktu itu. Bila kelambu telah diruntuhkan, banyaklah nyamuk (nyamuk kampung..) yang datang menggigit. Biasanya cara ini berkesan untuk membuatkan saya dan adik beradik bangun. Kemudian kami diarahkan mandi dan mengambil wudhu'. Waktu itu tiada pancuran air panas. Menggigil-gigil kesejukan sampai ke tulang hitam apabila air kolam di jirus ke tubuh. Begitulah setiap hari tanpa mengira hari sekolah atau pun hari minggu.




Ayah menjadi imam dalam solat subuh berjemaah. Selesai solat, abang-abang dan kakak yang bersekolah, akan bersiap memakai pakaian sekolah dan sebagainya. Ibu pula ke dapur untuk menyiapkan sarapan pagi dan bekal anak-anak. Ayah terus berwirid di atas sejadah. Waktu inilah saya akan merangkak perlahan-lahan ke atas riba ayah. Ayah meletakkan saya di atas riba lalu menyelimuti saya dengan serbannya untuk menghalang dari digigit oleh nyamuk. Saya seronok berada di atas ribaan ayah, merasai kehangatan pelukan kasih seorang ayah dan mendengar segala wirid yang dibacanya. Setelah selesai berwirid, ayah akan melipat sejadah sambil bernasyid (nasyid arab..). Saya suka mendengar ayah bernasyid walaupun saya tidak faham sepatah perkataan pun dalam nasyid itu.




Kemudian ayah memimpin tangan saya ke dapur untuk bersarapan. Abang-abang dan kakak telah melangkah ke sekolah waktu itu. Ayah akan menyuapkan saya dengan juadah yang dihidangkan oleh ibu. Saya makan dengan berselera sekali apabila ayah suapkan. Saya dapat rasai setiap suapan ke mulut saya disertai dengan keikhlasan kasih sayang seorang ayah.




Sementara ibu mengemas rumah, ayah akan mengajar saya mengaji Quran dan membaca buku. Saya masih ingat buku cerita yang paling saya suka iaitu cerita "Putera Katak". Saya seronok mendengar ayah membaca buku itu dan ayah pula tidak jemu-jemu melayan kehendak saya biarpun ayah terpaksa membaca buku cerita yang sama berulang kali. Begitulah sabarnya ayah melayan kerenah puteri bongsunya.




Ketika ayah sakit, ayah berpesan kepada saya, "Bila ayah telah tiada, jadilah anak yang baik, ikut nasihat ibu dan jangan lupa untuk mendo'akan ayah.." InsyaAllah..saya memang tidak lupa untuk mendo'akan yang baik-baik untuk ayah..Mudah-mudahan Allah mencucuri rahmat ke atas roh ayah dan semoga Allah menyayangi ayah sebagaimana ayah menyayangi saya...




Itulah di antara kenangan-kenangan saya bersama ayah. Kenangan yang indah tersimpan kukuh dan tidak mudah dilupakan biarpun sudah berpuluh tahun berlalu. Setiap kali kenangan itu berputar dan diulang tayang dalam fikiran, saya menjadi semakin rindu pada ayah. Setiap kali rindu itu datang, airmata akan mengalir membasahi pipi. Saya selalu berharap agar ayah akan datang ke dalam mimpi saya setiap malam. Mungkin itu akan dapat mengubati hati yang rindu....