Ayah saya meninggal dunia dalam tahun 1975. Ayah pergi dengan meninggalkan hutang. Walaupun hutang ayah tak banyak, cuma ratusan ringgit sahaja tetapi bagi orang kampung yang miskin seperti kami, jenuh juga nak membayar. Kata ibu..”Ayah dah tak ada, jadi tanggungjawab kita membayar hutangnya. Lagipun ayah berhutang untuk kita juga. KIta kena cepat-cepat bayar hutang supaya roh ayah tenang” . Selama beberapa tahun, ibu tidak membeli pakaian baru. Dia cuma membeli pakaian baru untuk anak-anak sekali saja dalam setahun iaitu ketika menyambut raya puasa. Untuk dirinya sendiri, dia tidak membeli. Di mana boleh berjimat, ibu akan berjimat supaya hutang ayah boleh dibayar segera.

Setiap kali musim padi masak, ibu akan simpan beberapa puluh ringgit buat dibayar hutang. Kepada orang yang ayah berhutang, ibu meminta tempoh dan membayar secara ansuran. Walaupun tidak bersekolah, ibu bijak dalam kewangan. Ibu tidak boros dalam berbelanja. Ibu hanya membeli benda yang perlu sahaja. Ibu mengagihkan pendapatan daripada hasil padi kepada beberapa bahagian seperti makanan, persekolahan anak-anak dan simpanan. Hasil padi pada waktu itu adalah sekali dalam setahun. Dalam masa membayar hutang itu, ibu tidak membuat simpanan dan makanan juga ala kadar sahaja. Lauk pauk, ibu dapat secara percuma dengan menahan bubu untuk menangkap ikan di parit dan taliair. Sekali sekala saja ibu akan membeli ikan dari pasar. Sayur-sayuran, ibu petik daripada pokok-pokok sayur yang ditanam sendiri.  Waktu itu saya kurang mengenali ikan-ikan air masin. Yang lebih dikenali ialah ikan keli, ikan haruan, ikan sepat dan ikan puyu. Sayur kangkung menjadi sayur utama. Kadang-kadang tiap-tiap hari ibu masak sayur kangkung. Saya tidak pernah merungut sebab masakan ibu sentiasa rasa sedap. Di masak dengan menggunakan dapur kayu. Sekali sekala ibu akan masak sayur lemak pucuk geti atau sayur lemak asin-asin dengan ubi keledek. Walaupun cuma ikan goreng dan sayur, saya makan nasi bertambah juga. Kadang-kadang ibu buat kari ikan puyu dan ikan keli bakar cicah air asam. Nikmat sungguh rasanya dapat makan ikan keli bakar. Sampai sekarang pun saya masih ingat rasa ikan keli bakar yang ibu masak.

Selepas beberapa tahun, barulah langsai hutang ayah. Ibu menarik nafas lega. Tapi itu bukan bermakna ibu boleh berbelanja sesuka hati. Perbelanjaan sekolah anak-anak pulak semakin meningkat. Dulu-dulu yuran sekolah rendah tempat saya belajar ialah dua belas ringgit setahun tapi bagi ibu yang kehilangan suami, dua belas ringgit itu bukan jumlah yang sedikit. Pendapatan ibu bukan datang setiap bulan tapi sekali dalam setahun. Hasil padi juga tidak seberapa kerana sawah yang ayah tinggalkan bukanlah luas sangat. Ibu top up pendapatan dengan mengambil upah kerjakan sawah orang. Kudrat seorang wanita masakan sama dengan kudrat seorang lelaki. Ada kerja-kerja sawah yang hanya mampu dibuat oleh orang lelaki. Jadi ibu terpaksa mengupah orang untuk buat kerja-kerja tersebut. Memang ibu kerja kuat setelah ayah meninggal tapi tidak sekali-kali memberhentikan anak-anak daripada persekolahan. Kata ibu..”Mak bukan ada banyak harta untuk ditinggalkan kepada anak-anak. Mak cuma mampu berusaha supaya anak-anak mak dapat bersekolah dan jadi pandai. Dengan ilmu itu nanti anak-anak mak akan dapat meneruskan kehidupan”.

Pernah satu ketika, ibu mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat. Saya masih ingat ibu membawa saya ke pékan untuk menerima sumbangan tersebut. Walaupun sumbangan tak banyak, sekurang-kurangnya dapat menambah wang perbelanjaan ibu. Sekolah rendah tempat saya belajar juga ada memberi bantuan pakaian sekolah kepada anak-anak yatim. Itupun dapat membantu juga. Ibu tidak payah membeli pakaian sekolah untuk saya. Apabila saya masuk sekolah menengah, saya menerima Biasiswa Kecil Persekutuan. Wang biasiswa itu saya guna untuk perbelanjaan sekolah saya. Ibu tidak perlu risau lagi untuk membayar yuran dan membeli buku-buku keperluan. Semuanya saya guna wang biasiswa tersebut.

Nampak kelegaan di wajah ibu. Sekarang bila sudah ada anak sendiri, baru saya faham kerisauan ibu. Ibu risau jika anak-anak terpaksa berhenti sekolah disebabkan dia tidak dapat menyediakan perbelanjaan. Berkat usaha keras dan doa ibu, anak-anak ibu dapat bersekolah dan boleh membaca dan mengira. “Mak dulu tak ada peluang untuk pergi sekolah dan belajar. Mak tak mau anak-anak mak jadi buta huruf macam mak. Sekurang-kurangnya mak nak anak-anak mak boleh membaca dan mengira.” Ibu memang buta huruf tapi dia lancer membaca Quran dan tulisan jawi. Ibu boleh mengira dengan baik dan bijak mencongak. Itulah kelebihan ibu yang tidak pernah ke sekolah