Ibu pakaikan aku T-shirt dan seluar panjang. Kedua-duanya lusuh. Aku tidak kisah. Seluar panjang itu hasil jahitan ibu, cuma guna kain cotton yang paling murah..itu pun aku tidak kisah. Ibu memasukkan sebotol air kosong, sebungkus cucur bawang dan sehelai kain batik lusuh ke dalam sebuah raga rotan. Aku menambah dengan buku cerita kegemaran - Putera Katak. Ke mana agaknya ibu dan ayah akan membawa aku? Ke tadika? Oh tidak, aku tidak pernah ke tadika. Oooo..rupanya ibu dan ayah akan membawa aku ke bendang. Sukanya hati aku. Kalau bernasib baik,  ibu dan ayah akan benarkan aku berkubang macam kerbau dalam bendang.


Ibu dan ayah tiada pilihan. Selepas keluarga abang berpindah ke Pasir Hitam, tidak ada kakak ipar untuk menjaga aku, jadi terpaksa bawa aku sekali ke bendang. Di hujung sawah ada taliair. Ibu dan ayah menempatkan aku di bawah sepohon pokok yang rendang. Kemudian ayah membina sebuah pondok dari daun kelapa dan daun pisang. Dihamparnya sekeping tikar plastik dan di situlah aku bergolek, bertelentang, mengiring dan sebagainya sementara ibu dan ayah membuat kerja-kerja di bendang. Buku cerita Putera Katak aku buka dan melihat-lihat gambar yang ada di dalam buku tersebut kerana aku belum boleh membaca pada waktu itu. Walaupun sudah berkali-kali ayah membacanya, aku masih tidak jemu menatap buku cerita itu.


"Wah..cantiknya baju puteri ni. Kalaulah aku dapat pakai baju macam ni... Tak ada salahnya pakai gaun labuh macam ni.. Mak cuma tak bagi aku pakai skirt pendek aje.." kata hati kecilku.


"Anak dara tak elok pakai skirt pendek...nampak betih..nampak paha..silap-silap nampak ponggong..malu dilihat orang" kata ibu ketika aku merengek minta dijahitkan skirt pendek.


Tapi aku ketika itu bukan anak dara…aku masih budak-budak yang belum masuk darjah satu. Namun ibu tetap melarang aku memakai skirt pendek. Setelah puas aku membelek buku cerita putera katak, aku keluar daripada pondok untuk meninjau persekitaran. Wah...luasnya alam! Di hadapan aku terentang taliair yang jernih airnya.


"Nak terjun ke tak? Terjun? Tak?" Masih teragak-agak untuk membuat keputusan.


"Haaaa... tu nak buat apa tu?" terdengar suara merdu ibu dari tengah bendang.


"Terjun la...ada ular kat dalam taliair tu" sambung ibu lagi.


Mendengar perkataan ular, hati aku tersentap, tak jadi terjun. Aku memandang ke dalam taliair dan mencari sesuatu.


"Mana ada ular..Mak ni saja tak bagi aku berkubang” hatiku berkata.


Aku menghampiri tebing taliair. Aku hulurkan kaki hingga mencecah air. Aku goyang-goyangkan kaki. Seronok tengok riak-riak air yang berkocak. Tiba-tiba di seberang sana, ada sesuatu yang bergerak. Aku pandang betul-betul untuk memastikannya. Sepantas kilat aku menarik kaki yang tadinya begitu leka membuat gelombang dalam air.


"Maaaakkk...ular"


"Ular kat mana?"


"Dalam air.. Ular sedang makan katak la mak"


"Biar dia..jangan kacau"


Aku patuh akan nasihat ibu. Aku berdiri kaku, tak bergerak. Mata masih terus memandang ular yang sedang makan katak itu. Hampir separuh badan katak itu sudah ditelannya.


"Kesiannya katak tu...Jahat ular ni..” 


Aku mengikuti episod ular makan katak hingga selesai. Dalam mindaku sudah terbina satu kepercayaan bahawa - ular jahat, katak jadi mangsa. Sedih tengok katak, marah kepada ular.  Ketika itu aku belum memahami erti ekologi, ekosistem dan kitaran makanan. 


Waktu ayah dan ibu berhenti rehat untuk minum, aku menceritakan kejadian ular makan katak itu kepada ibu. Bersungguh aku bercerita tapi ibu tenang saja.


"Sian katak tu mak. Mati dah dia dok dalam perut ular"


"Ular tu memang makanannya katak. Kalau tak makan katak, ular nak makan apa?" tanya ibu.


"Makan rumput, makan kiambang dalam air tu"


"Ular tak makan rumput. Dia makan katak" kata ibu sambil bersiap-siap untuk turun semula ke bendang. 


"Jangan main tengah panas tau. Duduk sini saja" pesan ibu.


Kemudian ayah memakaikan aku jam yang dibuat dari daun kelapa. Walaupun itu cuma jam mainan tapi aku suka. Ibu dan ayah meneruskan kerja mereka di tengah sawah.