Ayah dimasukkkan ke hospital buat pertama kalinya ketika aku masih kecil. Kata ibu, aku masih terlalu kecil untuk mengingati detik itu. Namun ketika kali kedua ayah jatuh sakit, aku berusia enam tahun. Aku ingat-ingat lupa bagaimana tubuh ayah membengkak. Di hospital, lengan dan perut ayah ditebuk untuk membuang air yang menyebabkan badan ayah mengembang. Setelah air dikeluarkan, tubuh ayah hanya disaluti oleh kulit dan tulang. Kurus sungguh ayah ketika itu seolah-olah rangka berjalan. Selepas menerima rawatan selama beberapa minggu di hospital, ayah dibenarkan pulang. Sejak itu ayah tidak betah bekerja kuat lagi namun seingat aku, ayah tetap turun ke sawah membanting tulang bersama ibu.

Beberapa tahun kemudian, ketika aku di bangku sekolah rendah, sekali lagi ayah diserang sakit teruk. Kali ini ayah enggan menerima rawatan di hospital. Dia hanya mengambil ubat-ubatan yang dibekalkan oleh seorang rakan doktornya.

Sakit ayah yang kronik tidak memungkinkan ayah bekerja di tengah sawah. Ibu menjadi serba salah ketika itu. Untuk ke sawah, ibu terpaksa tinggalkan ayah bersendirian di rumah. Kalau tidak ke sawah, bererti hilang punca pendapatan untuk menyara keluarga. Mahu tidak mahu, ibu terpaksa juga turun ke sawah walaupun hatinya berat untuk meninggalkan ayah keseorangan dengan keadaan yang tidak sihat itu.



Ibu bangun seawal pukul empat atau lima pagi setiap hari. Bekalan dan sarapan untuk anak-anak ke sekolah disiapkan. Selepas itu ibu akan memasak pula makanan untuk tengahari. Selesai kerja-kerja di dapur, ibu akan menyediakan pula semua keperluan ayah. Setelah memastikan semua kerja rumah selesai, barulah ibu turun ke sawah. Sepanjang ketiadaan ibu, ayah ditemani oleh rakannya. Setiap hari, rakan ayah itu akan datang berbual-bual supaya ayah tidak kesunyian dan membantu sekiranya ayah perlukan sesuatu. Ibu tidak pernah meminta tapi rakan ayah itu yang menawarkan pertolongan. Ibu sangat-sangat bersyukur. Sekurang-kurangnya ibu tidak terlalu bimbangkan keselamatan ayah di rumah.

Hari berganti hari, penyakit ayah tidak berkurangan malah semakin teruk. Akhirnya anak sulong ayah dan ibu yang ketika itu sudah berkeluarga dan tinggal berasingan mengambil keputusan untuk membawa ayah tinggal di rumahnya. Anak sulong itu sebenarnya kesian melihat ibu yang telah kelelahan mengurus ayah yang sakit, adik-adik yang masih kecil, rumahtangga dan dalam masa yang sama terpaksa bekerja di sawah walaupun ibu tidak pernah mengeluh.

Kebetulan ketika itu cuti sekolah, jadi aku mengikut ibu dan ayah tinggal di rumah abang. Ayah semakin hari semakin lemah. Selera makannya langsung tiada. Jasad yang kurus itu sentiasa terbaring di atas tilam usang.
Pagi itu, terdapat sedikit perubahan pada diri ayah. Ayah kelihatan gelisah di tempat pembaringannya. Sekejap pusing ke kanan, sekejap pusing ke kiri, sekejap duduk, sekejap berbaring. Dan lagi, ayah asyik bertanyakan pukul berapa ketika itu.

Seorang kawan anak sulong ibu kebetulan datang menziarahi ayah pada pagi itu. Melihat keadaan ayah yang resah gelisah, kawan abang itu datang mendapatkan ibu.

"Saya rasa...masa untuk Pak Cik pergi telah tiba...Namun ada sesuatu yang membuatkan Pak Cik berat hati dan tidak tenang.. Mungkin Pak Cik risaukan anak-anak yang akan ditinggalkannya. Mak cik bercakaplah dengan Pak Cik...berjanji akan menjaga anak-anak dengan baik. Mudah-mudahan dia akan pergi dengan tenang" kata ustaz muda itu.

Mendengar kata-kata ustaz tersebut, ibu segera mendapatkan ayah. Ibu memegang tangan ayah dengan erat.

"Jika sudah sampai masanya untuk abang pergi…saya lepaskan abang dengan rela.. Pergilah abang dengan tenang.. Usah bimbangkan tentang saya dan anak-anak. Saya berjanji akan menjaga anak-anak kita dengan baik. Mereka tidak akan saya biarkan kelaparan. Saya akan pastikan mereka terdidik dengan sempurna"

Ayah menatap wajah ibu dan mengukirkan senyuman. Itulah senyuman terakhir ayah buat ibu. Ayah selamat menghembuskan nafas yang terakhir di pangkuan ibu. Ibu sempat mengajar ayah mengucap. Ayah pergi dengan tenang sekali. Ibu tidak menitiskan airmata. Agaknya ibu tidak sanggup lagi melihat ayah menderita sakit. Ibu redha ayah pergi kerana itulah yang terbaik buatnya daripada ayah tersiksa menanggung kesakitan yang berpanjangan.

Setelah ayah tiada, bermulalah perjuangan ibu untuk membesarkan anak-anak. Ketika itu cuma dua dari lapan orang anak-anak ibu yang boleh berdikari. Yang lain masih belajar. Jika dulu, apa-apa saja keputusan yang bakal dibuat tentang sesuatu perkara, akan dibuat oleh ayah tapi kini ibu yang mengambil alih. Tidak mudah sebenarnya... Kini aku mengerti keperitan yang ibu alami bila aku mempunyai anak-anak sendiri. Bukan mudah membesarkan anak-anak tanpa seorang suami di sisi tapi ibu telah menjalankan tanggungjawabnya dengan baik sekali. Sememangnya ibu seorang wanita yang cekal, tabah, sabar dan bijak.



Ada beberapa orang insan (lelaki) yang menghulurkan tangan kepada ibu untuk menggantikan tempat ayah, namun ibu menolaknya dengan baik. Ibu seakan tidak yakin ada orang lain yang boleh menggantikan tempat ayah bagi anak-anaknya. Ibu bimbang kebajikan anak-anaknya akan terabai sekiranya ibu berkahwin. Ibu masih ingat janjinya pada ayah. Disebabkan janji itulah dan juga kerana kasih ibu pada anak-anak yang tidak berbelah bagi, ibu sanggup mengenepikan kebahagiaannya sendiri. Besar sungguh pengorbanan ibu.

Ibu berusaha tanpa mengenal erti putus asa untuk membesar dan mendidik anak-anaknya. Walaupun tidak semua anak-anak ibu berjaya sampai ke universiti, tapi semua anak-anak ibu berjaya menjadi "manusia" yang bertanggungjawab dan berdikari. Tidak seorang pun anak ibu yang hilang arah tujuan. Kini, ibu sudah boleh tersenyum dan hidup dalam ketenangan. Janjinya pada ayah tertunai sudah.

Pengorbanan ibu tidak dapat aku nilaikan dengan sesuatu pun di dunia ini. Dan sampai ke hari kiamat pun, aku tidak akan dapat membalas segala jasa dan pengorbanan ibu. Hanya do'a saja yang dapat aku titipkan setiap hari agar ibu tenang, bahagia dan shirt ketika menghabiskan sisa-sisa hidupnya. Andainya telah sampai masa dan ketika untuk ibu melangkah pergi meninggalkan dunia ini, mudah-mudahan ibu melangkah dengan keadaan yang putih bersih bagaikan sehelai kain putih yang tidak tercemar dengan sebarang kekotoran. Mudah-mudahan Allah menyayangi ibu sebagaimana ibu menyayangi ayah dan anak-anak....