Thursday 13 Sep 2018
Tiba-tiba muncul satu mesej di whatsapp. Dia bertanya khabar. Di hujung mesej tertera namanya. Sungguh tak sangka, dia muncul secara tiba- tiba. Sejak tamat sekolah rendah, rasanya tidak pernah bertemu walau sekali pun. Dia melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah berasrama di bandar sedangkan aku cuma masuk ke sekolah kampung dan tinggal di kampung. Tali persahabatan terputus di situ walaupun sebenarnya aku tidak pernah lupakan dia.

Pertemuan sekali ini walaupun cuma di alam maya, ia sungguh menggembirakan. Kalau dulu dia dan aku masih di zaman kanak- kanak riang tapi sekarang kami sudah memasuki usia senja. Berpisah ketika usia 12 tahun, bertemu semula pada usia 54 tahun. Jarak 42 tahun menjadikan dia begitu asing sekali. Mungkin aku perlu bertakruf semula dengannya. Banyak perkara tentang dia yang aku tidak tahu.

Mengimbau semula zaman kanak-kanak, dia tidak banyak cakap tapi banyak tersenyum. Senyuman itu masih segar dalam ingatan. Dia antara pelajar yang bijak, cemerlang dan berdisiplin. Pakaian sentiasa kemas dan bersih. Tutur bicara beradap dan bersopan. Mungkin kerana itu dia disayangi oleh rakan-rakan dan guru-guru. Namanya sering disebut dan dia dijadikan contoh teladan kepada rakan sekelas.

Kini dia jauh merantau di bumi asing..menetap di tempat yang jauh dari tanah tempat kelahiran. Aku kagum dengan keberaniannya. Berani merantau seorang diri dan menetap jauh dari keluarga. Tidakkah dia terasa sunyi.. Ah tentu sekali tidak. Di sana pun tentu ramai kawannya. Orang yang sepertinya, tidak sukar mencari kawan

Cuma aku berharap persahabatan kami akan terus berkekalan sehingga ke akhir hayat. Harap-harap dia tidak akan hilang lenyap..sunyi sepi macam dulu. Zaman sekarang serba canggih..walau dipisah lautan yang dalam dan gunung yang tinggi mencapai awan, tapi tidak sukar untuk berhubung. Semuanya di hujung jari saja.

~Tirana~