Pete Banning adalah seorang pesara tentera dan seorang hero dalam perang dunia kedua. Namun semua orang tidak menjangka dan menduga bahawa beliau sanggup membunuh seorang pastor. Motif pembunuhan tidak siapa yang tahu. Pete sendiri tidak beria mempertahankan dirinya. Peguam bela yang dilantik untuk mewakili beliau, mati akal apabila Pete Banning tidak mahu bekerjasama. Beliau mengaku tidak bersalah tapi apabila ditanya, beliau hanya menjawab.."I have nothing to say.." Puas peguam bela merayu supaya Pete menceritakan apa yang berlaku tetapi beliau menolak. "I do what I have to do". Peguam bela meminta Pete bertemu dengan pakar sakit mental tapi Pete membantah.. " I won't see any psychologist or psychiatrist because I'm not crazy". Akhirnya juri bersepakat mengatakan Pete Banning bersalah dan dikenakan hukuman mati.

Bahagian pertama buku ini menceritakan kisah pembunuhan seorang pastor yang dilakukan oleh Pete Banning dan kisah perbicaraan beliau. Kemudian diceritakan secara detail tentang hukuman mati yang dilalui oleh Pete. Hukuman mati pada masa itu adalah dengan menggunakan kerusi elektrik. Pete hanya disahkan mati pada kali kedua kerusi maut itu dihidupkan. Kali pertama beliau tidak mati dan beliau menjerit dan meraung sekuat- kuatnya. Pada kali kedua, seluruh organ dalam tubuh terbakar dan cair dan darah mengalir keluar melalui hidung, mata dan telinga. Sungguh mengazabkan bukan saja kepada Pete tetapi juga kepada pembaca seperti saya.

Bahagian kedua buku ini menceritakan kisah ketika Pete Banning berkhidmat dalam tentera US. Selepas beberapa tahun kawin dan mempunyai dua orang anak, Pete dipanggil untuk dihantar ke Filipina. Waktu itu tentera Jepun menakluk Filipina. Pete dan skuadnya diarahkan untuk membantu tentera Filipina melawan tentera Jepun. Namun tentera Jepun sangat kuat dan akhirnya skuad Pete ditawan. Waktu dalam tahanan ini juga sangat mengerikan. Setiap hari mereka diseksa dengan seksaan yang amat dahsyat. Ramai askar yang mati. Pete dan seorang kawannya telah berjaya melarikan diri dari tawanan Jepun. Mereka akhirnya bertemu dengan tentera US dari skuad lain dan dibawa ke markas kemudian di hantar pulang untuk menjalani rawatan di hospital. Waktu ditanya bagaimana beliau boleh bertahan, Pete menjawab hanya dengan mengingat anak-anak dan isterinya membuatkan dia kuatkan azam untuk terus hidup. 

Sementara itu isteri dan anak-anaknya menganggap Pete telah terkorban kerana tiada sebarang khabar berita. Pihak tentera US juga telah mengisytiharkan bahawa Pete Banning hilang dan dianggap mati. Pastor Dexter Bell selaku counselor di Clanton selalu melawat dan memberi kaunseling kepada Liza dan dua orang anak Pete Banning. Boleh dikatakan setiap hari Pastor Dexter datang ke rumah Pete Banning. 

Setelah Pete Banning sembuh, beliau dibenarkan pulang ke rumah. Hati mana yang tidak gembira kerana dapat bersama kembali dengan keluarga. Pete Banning mengambil keputusan untuk bersara daripada tentera dan mengerjakan ladang kapas. Namun langit tidak selalu cerah. Liza secara tiba-tiba mengalami depression yang agak teruk. Pete Banning telah menghantar isterinya ke sebuah pusat rawatan depression dan tinggallah Liza di situ selama beberapa tahun. Malah ketika Pete menghadapi hukuman mati pun, Liza masih dirawat di situ.

Bahagian ketiga buku ini menceritakan bagaimana semua harta Pete Banning telah jatuh ke tangan dan semua rahsia akhirnya terbongkar. Jackie iaitu isteri Pastor Dexter yang telah dibunuh oleh Pete Banning. Setelah Pete mati, isteri Pastor Dexter menyaman dan menuntut ganti rugi. Dalam saman itu Jackie menang dan ke semua harta Pete Banning jatuh ke tangan Jackie dan suami barunya yang tamak. Nasib baik pada waktu itu, dua orang anak Pete Banning sudah tamat belajar dan menunggu untuk bekerja. Anak sulongnya seorang lelaki tamat sekolah perundangan sementara anak keduanya seorang perempuan tamat dalam bidang pendidikan dan menjadi guru.  Kedua-duanya tidak mengharapkan harta bapa mereka malah mereka bertekad untuk tidak pulang ke Clanton yang banyak melakar kenangan pahit buat mereka. Namun di situ masih ada Florry, ibu saudara mereka sebelah ayah. Semasa Liza di pusat rawatan depression, Florry lah yang menjaga mereka dua beradik.

Anak sulong Pete Banning, Joel selalu melawat ibunya di pusat rawatan depression. Pakar di situ ada memberitahu bahawa ada sesuatu yang berlaku yang menyebabkan Liza mengalami depression yang teruk. Sekiranya pakar tahu apa yang berlaku, itu mungkin dapat membantu mereka untuk memulihkan Liza. Joel berusaha untuk mengetahui apa yang sebenarnya berlaku. Joel bertanya kepada ibu saudaranya Florry dan kepada pekerja mereka di ladang kapas tapi tiada seorang pun yang mahu bercerita. Joel tahu mereka menyembunyikan sesuatu. 

Pada suatu hari Liza melarikan diri dari pusat rawatan dan pulang ke rumah mereka di Clanton. Pada waktu itu rumah itu masih belum jatuh ke tangan Jackie. Dari rumah itu, Liza menelefon Florry. Florry segera datang dan mereka berbual sehingga Florry terlena. Liza berjalan menuju ke perkuburan di mana suaminya Pete Banning dikebumikan. Di situ dia menangis dan merayu supaya Pete memaafkan dirinya. Apabila tersedar dari lena, Florry mendapati Liza hilang. Florry terus berlari ke rumahnya dan menefon Joel dan pihak polis. Akhirnya mereka menemui Liza terbaring kaku di sisi pusara Pete Banning. Di tangan Liza, tergenggam sebotol pil yang telah kosong.

Selepas kematian Liza, Florry mengambil keputusan untuk tinggal bersama kawan baiknya  di daerah yang jauh dari situ. Sejak kejadian itu, kesihatan Florry terganggu dan terpaksa keluar masuk hospital berkali- kali. Suatu hari kawan baik Florry meminta Joel datang melawat ibu saudaranya itu. Beliau beranggapan Florry sudah tidak ada masa yang panjang untuk hidup. Joel dan Stella (adiknya) datang melawat ibu saudara mereka. Ketika pertemuan di akhir hayat itulah, segala rahsia diceritakan oleh Florry kepada dua beradik itu. Rahsia yang Pete Banning sendiri pun tidak tahu sehingga beliau mati. Rahsia ini diceritakan oleh Liza kepada Florry sebelum beliau membunuh diri. Joel dan Stella sangat terkejut tapi tak ada apa yang mampu mereka buat. Pete Banning, Pastor Dexter dan Liza telah mati.

Tidak pernah jemu baca novel John Grisham. Setiap novelnya ada cerita yang tersendiri. Melalui novel terbaru beliau, THE RECKONING, saya belajar sesuatu iaitu pembohongan membawa kepada mala petaka yang lebih besar. Jadi, berkatalah yang benar walaupun pahit kerana mungkin kita masih boleh memaniskan kepahitan itu dengan sedikit gula. Mala petaka yang besar akibat pembohongan bukan saja melibatkan diri kita sendiri tapi boleh juga melibatkan orang lain yang tidak bersalah.