Sesiapa yang hilang semangat untuk buat kebajikan, boleh baca buku ni. Jangan sangka kita tak kaya maka kita tidak boleh buat kebajikan. Penulis buku ini pun bukan seorang yang kaya raya tapi semangat beliau kuat untuk melihat anak-anak di negara yang miskin mendapat pendidikan. Kalau John Wood menubuhkan library, Adam Braun pula membina sekolah. Beliau bukan setakat membina sebuah sekolah malah setakat ini sudah beratus sekolah yang dibina. Pepatah Melayu ada menyebut "jauh perjalanan, banyak pengalaman. Bagi Adam Braun, perjalanan beliau ke Vietnam telah membuka mata untuk melihat kemiskinan di negara itu. Hati beliau sayu apabila seorang budak menjawab "I want a pencil" apabila beliau bertanya hadiah apa yang budak itu inginkan. Maka setiap kali pengembaraan beliau, Adam Braun akan membawa banyak pensel untuk diberikan kepada kanak-kanak yang dahagakan ilmu. Bermula dari saat itulah, beliau mendapat idea untuk mengumpul dana bagi membina sekolah. 

Sekolah pertama yang dibina adalah di Vietnam. Di negara Afrika pun ada sekolah yang beliau usahakan. Adam Braun tidak kaya tapi beliau mengembeling tenaga untuk mengumpul dana dan derma dari orang-orang kaya. Saya tidak rasa kerja mengumpul dana itu satu kerja yang mudah. Orang tidak akan menderma jika mereka tidak yakin. Kerja untuk meyakinkan penderma itulah antara kerja yang agak sukar. Tidak sedikit masa dan tenaga yang dikorbankan malah Adam Braun resign semata-mata untuk beri tumpuan kepada kerja- kerja kebajikan ini. Ada ketikanya beliau terpaksa mengeluarkan wang simpanan sendiri. Mulanya ayah dan keluarganya kurang bersetuju apabila Adam berhenti kerja. Mereka risau kalau- kalau anak mereka terpaksa hidup dalam kesusahan. Namun bagi Adam Braun, beliau telah melihat kesusahan yang lebih dahsyat ketika pengembaraannya ke negara- negara ketiga. Dan beliau berpendapat anak-anak perlu diberi pendidikan untuk mengubah nasib dan masa depan.


Saya membaca buku dengan bersemangat sekali. Walaupun saya tidak mampu melakukan kerja kebajikan seperti Adam Braun tapi jauh di sudut hati, saya jadi terinspirasi untuk buat kebajikan sekadar yang terdaya. Kita tidak perlu tunggu sehingga kita jadi jutawan untuk kita berbakti kepada masyarakat. Kita boleh berbakti bila-bila dan di mana-mana.