Ramai pembaca yang join goodreads memilih buku EDUCATED sebagai buku yang paling diminati dalam kategori MEMOIR. Saya sendiri pun bagi 5* untuk buku ini.

Educated...ceritanya lebih kurang sama macam cerita THE GLASS CASTLE yang ditulis oleh Jeannette Walls dan BREAKING NIGHT: THE MEMOIR OF FORGIVENESS, SURVIVAL, AND MY JOURNEY FROM HOMELESS TO HARVARD yang ditulis oleh Liz Murray.  Ketiga-tiga buku ini mengisahkan anak-anak yang ibu bapa mereka tidak berfungsi dan tidak bertanggungjawab. 

Ibu bapa Liz Murray ketagihan dadah. Disebabkan ketagihan itu, hidup keluarga mereka jadi tidak tentu hala dan akhirnya mereka terpaksa hidup di jalanan. Liz Murray pada waktu itu masih di bawah umur dan dia menumpang di rumah kebajikan. Apa yang membuatkan Liz berfikir adalah waktu ibunya meninggal dunia. Dia melihat sendiri bagaimana ibunya dikebumikan dengan cara yang hina disebabkan ibunya seorang penagih dadah. Di situlah dia bertekad untuk keluar dari kehidupan yang gelap. Dia masuk sekolah dan belajar sehingga masuk Harvard University.

Sementara Jeannette Walls pulak berhadapan dengan masalah ibu bapa yang ideal dan degil. Ibunya gila melukis sehingga tidak pedulikan anak-anak dan rumahtangga sementara ayahnya pula mempunyai angan-angan yang besar..iaitu untuk membina istana kaca tapi tiada strategi..malas bekerja, peminum tegar dan akhirnya angan-angan itu tidak menjadi kenyataan. Jeannette bekerja sebagai babysitter mencari duit dan berjimat cermat untuk sambung belajar tapi duit itu dicuri oleh ayahnya. Dia tidak berputus asa. Akhirnya dia berjaya kumpul duit dan pergi ke bandar untuk sambung belajar. Jeannette pun berjaya masuk ke universiti.

Tara Westover dalam buku EDUCATED menceritakan kehidupannya bersama ibu bapa yang juga tidak bertanggungjawab. Ayahnya anti government  dan anti pemodenan dan ibunya seorang herbalist. Mereka tidak pernah pergi ke hospital kerana ayahnya tidak percaya dengan ubat-ubatan moden. Mereka merawat sakit hanya dengan herba yang disediakan oleh ibunya. Tara tidak mempunyai sijil kelahiran dan tidak pernah masuk sekolah walaupun ada keinginan. Ayahnya tidak benarkan dia pergi ke sekolah sebaliknya menyuruh dia belajar di rumah bersama ibunya. Tara memaksa  ibunya untuk buat sijil kelahiran. Tanpa pengetahuan si ayah, ibunya membawa Tara ke pusat pendaftaran. Tara buat pertama kali menjejakkan kaki ke sekolah sewaktu berusia 17 tahun. Kehidupan keluarga mereka sangat terpencil di pergunungan Idaho sebab itulah pihak berkuasa terlepas pandang kes ini. Tara juga berjaya masuk universiti.


Ini kisah benar. Kisah anak-anak yang kurang bernasib baik mempunyai ibu bapa yang kurang bertanggungjawab. Tapi itu tidak menghalang mereka daripada mencapai cita-cita untuk berjaya dalam hidup. Walaupun banyak halangan tapi mereka akhirnya berjaya masuk universiti dan mendapat degree.