The Boy Who Gave His Heart Away
Marc (usia 15 tahun) dan Martin (usia 16 tahun) adalah dua orang remaja yang sihat. Mereka tidak kenal antara satu sama lain. Pada suatu hari kedua-duanya jatuh sakit dengan tiba-tiba. Kejadian berlaku pada tahun 2003
Marc terkena jangkitan virus selepas balik dari bercuti di satu tempat. Virus tersebut menyerang jantung Marc sehingga jantungnya tidak berfungsi dan dia diletakkan bawah life support system. Doktor tidak dapat berbuat apa-apa melainkan menunggu untuk heart transplant.
Manakala Martin pula tiba-tiba jatuh dan tidak sedarkan diri. Rupanya dia menghidapi AVM sejak dari kecil dan tiada siapa yang tahu. Salur darah dalam otak pecah dan berlaku pendarahan yang teruk. Setelah diberi bantuan kecemasan dan sebagainya, doktor kata tiada apa lagi yang dapat mereka lakukan. Otak Martin telah mati dan dia bergantung sepenuhnya kepada life support system. Jika system itu dihentikan, Martin akan mati kerana dia tidak dapat bernafas sendiri.
Doktor yang merawat Martin bertanya kepada ibu bapanya samada mereka sudi menderma organ-organ Martin yang masih sihat seperti buah pinggang, paru-paru, jantung, kornea mata dan hati. Organ-organ yang masih elok ini mungkin dapat membantu orang lain untuk terus hidup. Tanpa berfikir panjang, ibu bapa Martin bersetuju untuk menderma.
Organ-organ tadi telah dapat didermakan kepada beberapa orang individu yang memerlukan. Jantung Martin telah dipindahkan kepada Marc yang sedang kritikal. Pemindahan jantung itu berjaya dan Marc kembali pulih.
Ada rules yang menghalang penderma untuk mengetahui kepada siapa organ itu didermakan dan orang yang menerima pun tidak boleh tahu siapa pendermanya namun mereka masih boleh berhubung untuk mengucapkan terimakasih dan sebagainya melalui transplant coordinator.
Marc beransur sembuh dan dibenarkan pulang ke rumah. Namun dia mesti mengambil beberapa jenis pil anti rejection sepanjang hayatnya. Ibu bapa Marc dan Marc sendiri sangat ingin bertemu dengan keluarga penderma tapi mereka tidak tahu siapa. Mereka hanya tahu nama penderma iaitu Martin.
Selepas kematian Martin, Sue (ibunya) menjalankan kempen untuk memberi kesedaran kepada masyarakat tentang keperluan "organ donation". Sue muncul di kaca TV. Kebetulan nenek Marc menonton TV pada ketika itu. Nenek Marc cepat-cepat memberitahu Linda (ibu Marc). Akhirnya mereka dapat menemui keluarga penderma jantung dan hubungan mereka menjadi rapat.
Marc dapat hidup selama 13 tahun dengan jantung Martin. Akhirnya pada tahun 2016, Marc meninggal dunia disebabkan serangan jantung dan beberapa komplikasi yang lain seperti kegagalan buah pinggang dan paru-paru.
Sedih baca buku ni. Jantung saya sama berdebar ketika ibu bapa Marc dan Martin melalui detik-detik cemas antara hidup dan mati anak-anak mereka. Ibu bapa mana yang tidak sedih apabila kehilangan anak yang disayangi tapi siapa kita untuk melawan takdir yang tersurat. Saat yang paling menyedihkan adalah apabila Sue dan Nigel (ibu dan ayah Martin) mengucapkan selamat tinggal kepada Martin sebelum doktor menolaknya ke dewan pembedahan untuk diambil beberapa organ yang boleh didermakan. Ketika di ICU, keadaan Martin adalah seperti dia sedang tidur. Badannya hangat dan tidak pucat walaupun otaknya telah mati. Itu yang menyebabkan Sue dan Nigel tidak sanggup melihat Martin ditolak ke dewan bedah namun doktor dan jururawat memujuk mereka untuk mengucapkan sesuatu kepada Martin buat kali terakhir. "We'll love you forever"... Itulah ucapan Nigel kepada Martin buat kali terakhir.
Satu lagi yang menyedihkan adalah ketika Linda menghadapi saat-saat kematian Marc. Marc ketika itu berusia 28 tahun ialtu selepas 13 tahun pemindahan jantung dibuat. Linda memohon agar doktor tidak lagi membuat apa-apa rawatan pemindahan dan resuscitation sekiranya jantungnya terhenti. Dia mahu Marc pergi dengan tenang. Pernafasan Marc tidak lancar dan Linda tahu saat untuk Marc pergi semakin hampir. Linda naik ke atas katil dan memangku Marc sambil bercakap-cakap dengan Marc sehinggalah doktor mengesahkan yang Marc telah tiada.
0 Comments