Sold
Tiada apa yang lebih menggembirakan bagi seorang remaja apabila mengetahui dia akan dibawa makan angin oleh kawan kepada ayahnya ke luar negara. Zana akan di bawa ke Yemen oleh Abdul Khada iaitu kawan baik ayahnya. Adiknya Nadia juga akan ke Yemen tetapi dibawa oleh kawan ayahnya yang lain iaitu Gowad. Perbezaan umur antara Zana dan Nadia adalah dua tahun. Mereka berusia belasan tahun ketika itu dan masih bersekolah. Nampaknya mereka akan menghabiskan cuti sekolah di Yemen. Zana dan Nadia sangat teruja.
Cuma yang Zana tidak tahu adalah pemergiannya ke Yemen bukan untuk bercuti tetapi sebagai menantu kepada Abdul Khada. Tidak ada siapa yang memberitahu akan perkara itu sehinggalah dia tiba di Yemen dan diperkenalkan kepada suaminya yang bernama Abdullah. Di saat itu Nadia menganggap yang dirinya telah dijual oleh ayahnya sendiri kepada Abdul Khada. Sementara Nadia pula dijual kepada Gowad.
Kehidupan di Yemen tidak seindah yang disangkakan. Keluarga Abdul Khada tinggal di Hockail iaitu kawasan pergunungan yang terpencil..tanpa kemudahan asas yang sempurna...tiada letrik..tiada air paip..tiada bilik air yang sempurna. Yang ada hanya sebuah pondok buruk..tilam lusuh..dapur kayu dan perigi. Kedatangan Zana disambut ceria oleh mak mertuanya yang bernama Ward dan ipar duai serta biras yang tinggal serumah.
Zana diberi masa untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan di situ. Selepas beberapa waktu, sebagai menantu perempuan, dia diajar untuk mengurus rumah tangga dan melakukan kerja rumah. Tugas utamanya ialah mengangkut air dari pergi yang agaknya jauh dari rumah mereka. Kemudian dia diajar memasak dan bercucuk tanam. Kadang-kadang dia diarahkan untuk ke kedai bagi membeli barang- arang keperluan. Sudah tentu Zana berasa tertekan dengan keadaan ini. Kehidupannya di Birmingham walaupun tidak kaya raya tetapi semua keperluan asas ada. Dia tidak perlu angkat air, tidak perlu bercucuk tanam, tidak ada masalah untuk mandi dan buang air kerana bilik air dalam rumah tetapi di Yemen, segala- galanya menjadi sulit.
Hati Zana agak gembira apabila adiknya Nadia tiba di Yemen tidak lama kemudiannya. Nadia telah dikahwinkan dengan anak lelaki Gowad. Rumah mertua Nadia terletak di Ashube, tidak begitu jauh dari Hockail. Mereka sering bertemu sehinggalah keluarga mertua Zana melarangnya daripada selalu menziarahi adiknya Nadia sebab banyak kerja yang harus dibuat di rumah.
Dia memberontak dan berkeras untuk pulang ke Birmingham. Sudah tentu keinginannya ditentang keras oleh bapa mertua kerana perjanjian telah dibuat dengan ayah Zana. Zana menulis surat kepada ibunya tetapi surat itu tidak sampai. Mungkin sampai tapi disorok oleh ayahnya. Ibunya juga hairan kenapa Zana tidak pulang apabila cuti sekolah berakhir. Zana mencari jalan untuk menghubungi ibunya. Satu hari dia meminta seorang doktor yang datang bertugas di situ menghantar surat kepada ibunya. Akhirnya salah satu surat daripada Zana sampai juga kepada ibunya.
.
Ibu dan ayah Zana di Birmingham bergaduh dan akhirnya mereka berpisah. Ibu Zana berusaha sedaya upaya untuk membawa Zana pulang. Beliau datang menziarahi Zana di Hockail dan Nadia di Ashube untuk melihat sendiri keadaan anak-anak perempuannya. Apabila pulang ke Birmingham, beliau memohon pertolongan kepada kerajaan Britain. Kerajaan Britain sebolehnya tidak mahu masuk campur kerana itu masalah keluarga dan kerajaan Yemen juga ada undang- undang sendiri.
Ibu Zana tidak berpuas hati. Beliau meminta pertolongan daripada media dan wartawan. Dua orang wartawan telah datang bertemu Zana di Yemen. Zana dan Nadia telah ditemuramah oleh wartawan tersebut. Selepas itu kisah Zana dan Nadia di Yemen heboh di Britain. Ramai yang mencemuh kerajaan Britain.
Kementerian luar Britain kemudiannya menghubungi kerajaan Yemen untuk menyelesaikan kes itu tetapi tidak ada apa yang boleh dibuat. Kerajaan Yemen ada undang- undang keluarga sendiri...isteri tidak boleh keluar negeri tanpa keizinan atau tanpa ditemani oleh suami.
Keributan yang ditimbulkan oleh wartawan yang menulis kisah tentang Zana dan Nadia sedikit sebanyak memberi tekanan kepada kerajaan Britain dan kerajaan Yemen. Wakil daripada kerajaan Yemen datang untuk meninjau keadaan Zana dan Nadia. Wakil itu bertindak membawa Zana dan Nadia berserta suami dan anak masing-masing untuk tinggal di Taiz. Taiz merupakan sebuah bandar yang agak moden. Zana berasa lega kerana dia tidak perlu bersusah payah mengangkat air dan berkerja di ladang jagung.
Di Taiz, wakil kerajaan Yemen membuat tawaran. Zana boleh tinggal terus di Taiz dan tidak perlu pulang ke Hockain tatapi Zana menolak dan tetap berkeras untuk pulang ke Birmingham. Wakil kerajaan Yemen kemudian cuba memohon visa untuk Abdullah (suami Zana) dan Mohamad (suami Nadia) bagi membolehkan mereka menemani isteri masing-masing untuk pulang ke Birmingham. Permohonan itu walaubagaimanapun telah ditolak oleh kerajaan Britain. Abdullah sebelum ini pernah tinggal di UK sehingga melebihi tempoh tamat visa sementara Mohamad tidak mendapat visa kerana ayahnya Gowad (waktu itu tinggal di UK bersama isterinya) tidak mahu mengisi borang tertentu untuk anaknya. Kegagalan mendapatkan visa itu bermakna Zana dan Nadia tidak dapat pulang ke Birmingham. Zana masih mendesak untuk pulang.
Pada suatu hari secara tiba-tiba Abdullah hilang. Kemudian Zana diberitahu bahawa suaminya itu telah ditangkap oleh polis dan dipenjara atas kesalahan yang dia sendiri tidak pasti. Tidak lama selepas itu Abdullah dibebaskan. Wakil daripada kerajaan Yemen datang kepada Zana dengan membawa dokumen penceraian. Rupanya Abdulllah ditangkap dan dipaksa secara kekerasan untuk menceraikan Zana. Abdullah pernah dipujuk untuk menceraikan Zana sebelum itu tapi bapanya Abdul Khada tidak membenarkan dia menceraikan isterinya.
Dengan dokumen penceraian itu, Zana boleh pulang ke Birmingham kerana Abdullah tidak lagi berhak ke atas bekas isterinya. Walaubagaimana pun Zana tidak dibenarkan untuk membawa anaknya Marcus pulang bersama. Anak itu mesti ditinggalkan di Yemen bersama keluarga bekas suaminya. Zana tidak kisah..yang penting dia dapat pulang. Namun dia berasa agak sedih kerana Nadia tidak dapat pulang bersamanya.
Setiba di Birmingham, Zana tinggal bersama ibunya. Zana telah pergi berjumpa ayahnya. Dia memohon supaya ayahnya memujuk Gowad untuk mengisi borang bagi membolehkan Mohamad pulang bersama Nadia. Selagi borang itu tidak diisi, Mohamad tidak akan mendapat visa dan Nadia pula tidak boleh pulang tanpa Mohamad menemaninya. Ayahnya berjanji untuk cuba memujuk Gowad tapi Zana tidak nampak hasilnya. Oleh itu Zana menganggap bahawa ayahnya tidak bersungguh untuk membawa Nadia pulang. Nadia pula tidak sanggup berpisah dengan anak-anaknya.
......
Selepas tamat membaca buku ini, saya membuat beberapa carian di Google untuk mengetahui kisah selanjutnya tentang Nadia. Adakah dia berjaya pulang ke Birmingham atau tidak. Sementara Zana pula menulis buku keduanya yang bertajuk "A Promise to Nadia" . Saya belum baca buku keduanya.
Ada seorang wartawan yang membawa buku itu pergi bertemu Nadia di Yemen. Dalam temu bual bersama wartawan itu, Nadia memberitahu bahawa dia bahagia dengan kehidupannya sekarang. Dia telah berubah..dia memakai pakaian yang menutup aurat, solat dan membaca Quran. Itu yang ayahnya mahu, kata Nadia. Dia tidak lagi tinggal di kampung sebaliknya Mohamad telah membawa Nadia tinggal di Taiz. Menurut Nadia, sebelum dibawa ke Yemen, ayahnya telah memberitahu bahawa dia akan dikahwinkan dengan anak Gowad dan gambar Mohamad telah ditunjukkan kepadanya. Nadia juga meminta wartawan memberitahu Zana supaya menghentikan usaha untuk membawanya pulang ke Birmingham kerana Yemen itu tempat tinggalnya bersama suami dan anak-anaknya.
Menurut Zana, dia didera tapi dalam bukunya tidak pula dinyatakan deraan itu dalam bentuk apa. Tapi Nadia memberitahu wartawan bahawa Zana berbohong tentang deraan itu. Dia pernah ditampar sekali (menurut tulisan dalam bukunya) oleh bapa mertuanya. Itupun disebabkan mulut celuparnya yang membantah dan membentak. Dia tidak pernah dibiarkan kelaparan atau tanpa pakaian. Dia tidak pernah dikurung. Bapa mertuanya menjaga kebajikannya sekadar terdaya. Pernah juga Abdul Khada membeli buah-buahan kesukaan menantunya ketika beliau ke bandar dan kebetulan ada buah-buahan tersebut dijual di situ. Menurut Zana bapa mertuanya pernah membeli sanitary pads kerana dia tahu menantunya tidak biasa pakai kain ketika period. Cuma keluarga mertuanya berharap sebagai menantu perempuan, Zana perlu menjalankan tanggungjawab untuk membantu ibu mertuanya membuat kerja rumah. Kehidupan di Hockail tidak sewewah kehidupan di Birmingham. Zana tidak dapat dan tidak berusaha untuk menyesuaikan dirinya sebab itulah dia berkeras untuk pulang ke Birmingham walaupun terpaksa berpisah dengan anaknya, Marcus. Satu lagi, dia tidak mencintai suaminya Abdullah.
Di bahagian awal buku SOLD ini diceritakan bahawa Gowad bermohon keizinan kepada ayah Zana untuk membawa Nadia bermusafir ke Yemen dan ayahnya bersetuju. Apabila Zana mengetahui bahawa adiknya akan bercuti ke Yemen, dia berkeras untuk ikut sama. Kerana itulah ayahnya berbincang dengan Abdul Khada dan kemudian Abdul Khada bersetuju untuk membawa Zana ke Yemen cuma ayahnya (menurut yang ditulis dalam buku SOLD) tidak memberitahu Zana tentang perkahwinannya dengan anak Abdul Khada. Zana mengetahuinya hanya selepas dia tiba di Yemen dan diperkenalkan kepada suaminya, Abdullah. Saya tidak pasti cara mereka bernikah sebab tidak diceritakan majlis akad nikah seperti kita di sini tapi mereka ada sijil nikah. Kisah ini berlaku lama dulu...dalam tahun 80an. Kini..Zana dan Nadia berusia dalam lingkungan 50an.
0 Comments