Saya tidak ingat bagaimana saya boleh kenal buku ini. Mungkin ia dicadangkan oleh goodreads.com berdasarkan buku-buku yang telah saya baca sebelum ini. Tertarik dengan sinopsisnya, maka saya mencari ebook. Buku ini tidak panjang cuma 169 muka surat. Ia pertama kali diterbitkan pada tahun 2007, ditulis oleh seorang journalist yang berketurunan French - Iranian. Penulis ini telah pun meninggal dunia pada tahun 2008.

Kisah Soraya yang direjam berlaku di sebuah perkampungan yang bernama Kuhpayeh. Ia berlaku di zaman pemerintahan Khomeini. Apabila Khomeini mengambil alih Iran daripada Shah pada tahun 1979, ramai banduan yang dikurung semasa pemerintahan Shah dilepaskan. Sesetengah banduan itu terlibat dengan jenayah. Salah seorang daripadanya adalah Hassan. 

Selepas dibebaskan, Hassan membawa diri ke Kuhpayeh. Di situ dia berlagak sebagai seorang yang alim beragama, bercakap seolah-olah seorang ulama. Penduduk kampung terpedaya dengan lakonan Hassan dan mereka menggelarnya Mullah. Imam di kampung itu yang bernama Ebrahim pun turut terpedaya.

Soraya pada waktu itu telah pun bersuami dan mempunyai beberapa orang anak. Nama suami Soraya ialah Gobbar Ali. Gobbar Ali adalah seorang suami dan ayah yang tidak bertanggungjawab. Soraya dan anak-anak selalu dipukul. Nafkah zahir dan batin juga selalu diabaikan. Namun Soraya hanya diam dan tidak pernah bersuara. Soraya tetap menjalankan tanggung jawabnya sebagai seorang isteri dan ibu.

Gobbar Ali hanya tahu menghabiskan masa berulang alik ke bandar. Kadang-kadang dia melakukan kerja yang salah di sisi undang- undang semata-mata untuk mendapatkan duit. Ketika dia berada di bandar itulah, dia telah jatuh cinta kepada seorang gadis yang muda belia dan berniat untuk mengahwini gadis itu. Cuma yang menjadi masalahnya adalah isterinya Soraya. Gobbar tidak mahu berpoligami dan dia pun sudah  tidak ada hati kepada Soraya. Soraya sendiri pun bersikap dingin terhadap suaminya namun dia tidak pernah menuntut cerai. Menjadi adat tradisi di situ, jika suami ingin bercerai dengan isteri tanpa sebab yang munasabah, maka sang suami wajib membayar dowry atau wang pampasan. Sudah tentu Gobbar tidak mampu untuk membayar pampasan. Dia mencari jalan untuk mengenakan isterinya.

Kebetulan pada waktu yang sama, jiran mereka yang bernama Hashem kematian isteri. Hashem pula tidak tahu mengurus rumahtangga dan anak-anaknya. Setelah berpakat dan berbincang, imam Ebrahim dan beberapa orang kampung yang berpengaruh telah bersetuju supaya Soraya bekerja dan membantu menguruskan rumahtangga dan anak-anak Hashem. Soraya hanya perlu berada di rumah Hashem hanya  beberapa jam saja sehari. Soraya bersetuju kerana arwah isteri Hashem adalah kawannya.

Sementara itu Mullah Hassan  berkawan baik dengan Gobbar Ali dan iman Ebrahim. Mullah Hassan cuba menggoda Soraya. Dia  pernah datang bertandang ke rumah Soraya sewaktu suami Soraya tidak ada di rumah. Kononnya datang untuk mengambil berat tentang kebajikan isteri kawannya  tapi sebenarnya dia datang untuk menggoda. Nasib baik ketika itu ibu saudara Soraya, Zahra Khanum ada di situ. Mullah Hassan dihalau keluar oleh Zahra Khanum.

Hassan tahu niat Gobbar untuk menceraikan Soraya. Dia mengambil peluang untuk membalas dendam terhadap Soraya yang menolak godaannya. Dia cuba memberi jalan kepada Gobbar iaitu dengan memfitnah Soraya. Gobbar pula memang sudah terfikir untuk berbuat demikian. Dengan sokongan Hassan, dia memujuk dan merasuah Hashem untuk turut serta dalam rancangan jahat itu. Selepas itu Gobbar Ali menyebarkan cerita tentang isterinya ada hubungan sulit dengan Hashem. Gobbar Ali mendesak Imam Ebrahim supaya mengambil tindakan terhadap Soraya. Imam Ebrahim pula meminta pandangan daripada Mullah Hassan.

Setelah berbincang,  Soraya didapati bersalah. Soraya akan direjam secepat mungkin. Para lelaki di kampung itu memang percaya kepada Mullah Hassan dan mereka turut bersetuju untuk merejam Soraya.  Zahra Khanum tidak percaya Soraya mengadakan hubungan sulit itu tapi dia tidak mampu berbuat apa-apa sebab kuasa di tangan kaum lelaki. Suara kaum wanita tidak pernah mendapat perhatian.

Sehari selepas keputusan rejam dijatuhkan, Soraya dibawa ke satu kawasan lapang. Lubang dikorek dan Soraya ditanam sehingga ke paras bahu. Penduduk kampung yang lelaki masing-masing memegang batu bata. Setelah mendapat keizinan dari Imam Ebrahim, mereka pun merejam Soraya sehingga mati. Kemudian Imam Ebrahim dan anak-anak buahnya membuat keputusan bahawa mayat Soraya tidak boleh ditanam di kawasan perkuburan di kampung itu bahkan tidak perlu di kebumikan langsung.

Imam Ebrahim mengarah Zahra Khanum dan beberapa orang wanita supaya melemparkan mayat Soraya jauh dari kampung itu. Zahra dan beberapa orang wanita membawa mayat itu keluar ke suatu tempat. Dengan rasa sedih Zahra membalut mayat anak saudaranya kemudian meletak mayat itu ke dalam semak dan ditutup dengan daun-daun kering. Selepas itu, mereka pun pulang. 

Pada awal pagi esoknya, Zahra pergi semula ke tempat itu. Dia mendapati mayat itu telah dimakan oleh anjing. Yang tinggal hanya tulang- tulang yang berserakan. Zahra mengutip tulang- tulang itu, dicuci dengan air dari sungai yang berdekatan, dibalut dengan kain dan ditanam.

Di zaman Khomeini, undang- undang Islam telah dipraktikkan. Sepanjang 15 tahun Khomeini memerintah, sekurang- kurangnya 1000 orang wanita telah direjam. Soraya adalah salah seorang yang dikenakan hukuman itu.

Cara perlaksanaan hukuman rejam terhadap Soraya sangat tidak adil.  Tambah sedih hati saya bila orang yang pertama melontar batu kepada Soraya adalah ayahnya sendiri..kemudian suaminya dan kemudian dua orang anak lelakinya. Allahuakbar.. Speechless. Semua lelaki di situ betul- betul terpengaruh dengan Hassan yang disangka ulama. 

Cerita ini cerita benar..bukan dongeng. Ada movienya yang diterbitkan pada tahun 2008. Boleh search di youtube kalau nak tengok. Hati saya tak kuat untuk tonton movie tu.. Saya membaca buku ini dengan hati yang pilu bercampur marah. Pilu dengan nasib Soraya dan marah dengan Mullah Hassan dan Gobbar Ali. Semoga mereka mendapat balasan yang setimpal dan semoga roh Soraya mendapat rahmat dari Allah.