Silenced
Vicky Jagger memandang tinggi terhadap abangnya David. Abangnya selalu melindungi Vicky ketika dia dibuli di sekolah. Jika David ada bersama, tiada siapa yang berani membuli Vicky sebab itulah Vicky bangga mempunyai abang seperti David. Cuma satu yang membuat Vicky terasa jauh hati..ibunya lebih menyayangi David. Sikap pilih kasih ibunya ini menyebabkan hubungan Vicky dan ibunya tidak berapa rapat. Vicky lebih rapat dengan ayahnya.
Ketika Vicky berusia 12 tahun, sikap David mula berubah. David menjadi liar dan baran, selalu bergaduh dan menimbulkan masalah dengan kawan-kawan sekolahnya. Dia lebih suka menghabiskan masa di luar rumah.
Ayah dan ibu Vicky mengusahakan sebuah bar di tingkat bawah manakala tingkat atas merupakan bilik tidur keluarga itu. Pada suatu malam, David datang ke bilik tidur Vicky ketika ibu dan ayah mereka sibuk melayan tetamu di bar mereka. Ketika itulah Vicky diperkosa oleh abangnya sendiri. David melakukan perbuatan itu beberapa kali. Vicky tidak berani memberitahu ayah dan ibunya kerana David memberi amaran melalui pandangan tajam. Vicky takut abangnya bertindak ganas terhadapnya. Selepas kejadian itu, hidup Vicky tidak lagi ceria dan sentiasa ketakutan.
Apabila David berpindah keluar dari rumah itu untuk tinggal bersama teman wanitanya, hati Vicky menjadi sedikit tenang. Namun ketenangan itu tidak lama kerana Vicky telah mengandung. Umurnya ketika itu baru 12 tahun. Ketika berusia 13 tahun, Vicky telah melahirkan seorang anak perempuan. Mujur ibu bapanya sanggup menjaga anak yang dilahirnya itu. Ibu bapanya pernah bertanya siapa bapa kepada anak itu tapi Vicky telah berbohong. Katanya bapa kepada anak itu adalah kawan sekelasnya.
Selama 18 tahun Vicky menyimpan rahsia. Kepada suaminya sendiri pun, dia tidak pernah bercerita akan rahsia itu. Ayahnya meninggal dunia tanpa mengetahui kejadian yang sebenarnya. Apabila David ditangkap kerana membunuh teman wanitanya, barulah Vicky menceritakan semuanya kepada suaminya. Suaminya pula memberitahu ibu Vicky dan Kristy, anak yang lahir hasil perkosaan oleh abangnya.
Selama 18 tahun juga hidup Vicky tidak pernah tenang. Ketakutan sentiasa dirasainya lebih- lebih lagi ketika berdepan dengan David. Selepas semuanya terbongkar, David didapati bersalah dan dihukum penjara atas kesalahan membunuh. Vicky berasa lega kerana dia tidak perlu berhadapan dengan abangnya lagi.
0 Comments