Who Will Love Me Now?
Berkali-kali saya mengesar air mata ketika membaca buku ini. Membaca kisah Kristy, seorang budak perempuan yang berusia 10 tahun menjadikan saya insaf. Ibu bapa wajar baca buku ini dan mengambil pengajaran daripadanya. Didikan yang kita berikan kepada anak ketika mereka masih kecil sedikit sebanyak menentukan perangai dan perwatakan apabila mereka remaja dan dewasa.
Maggie Hartley (penulis buku ini) adalah seorang foster carer. Ramai anak yang ditempatkan di bawah jagaan beliau sebelum mereka diambil sebagai anak angkat. Dan Kristy adalah salah seorang daripadanya. Kristy datang kepada Maggie tanpa dirancang. Pihak kebajikan anak-anak terdesak untuk mencari tempat tinggal sementara untuk Kristy kerana ibu angkat yang memeliharanya selama ini mendapat serangan jantung dan terpaksa dimasukkan ke wad.
Maggie ketika itu memelihara seorang bayi lelaki bernama Ryan. Apabila social worker memberitahu bahawa Kristy akan tinggal bersamanya untuk seminggu dua, Maggie sanggup menerima walaupun beliau belum pernah memelihara kanak-kanak remaja sebelum ini.
Sehari dua ketika tinggal bersama Maggie, Kristy sudah menunjukkan beberapa sikap yang agak negatif. Sikap ini kadang-kadang boleh menyebabkan kita hilang sabar. Jarang ada anak yang berusia 10 tahun melepaskan tantrum di tempat awam tapi itulah yang dilakukan oleh Kristy apabila Maggie enggan membeli mainan yang dimintanya. She wanted to be in control. Apa kata dia, semua orang kena ikut dan patuh. Itulah yang saya dapat gambarkan mengenai perangai Kristy.
Sepanjang seminggu dua Kristy tinggal bersama Maggie, tidak pernah sekali pun ayah angkat atau kakak-kakak angkatnya menghubungi untuk bertanya khabar. Kristy juga tidak dibenarkan melawat emak angkatnya di hospital. Walaupun ketika emak angkatnya telah keluar dari wad, Kristy masih tidak dibenarkan pulang. Alasan yang diberi adalah emak angkatnya masih memerlukan masa untuk pulih dan bapa angkatnya pula sibuk menjaga isterinya itu.
Mesyuarat diadakan beberapa minggu kemudian. Waktu ini barulah Maggie mengetahui bahawa keluarga angkat Kristy tidak mahu menjaganya semula. Ketiga-tiga orang kakak angkat Kristy tidak mahu Kristy datang tinggal bersama mereka lagi kerana mereka menganggap Kristy yang menjadi penyebab emak mereka mendapat serangan jantung. Mereka juga tidak mahu berjumpa dengan Kristy buat kali terakhir.
Sejak dari itu, perangai Kristy semakin menjadi-jadi. Moodnya boleh berubah secara tiba-tiba tanpa sebab atau dia sengaja mencari sebab untuk buat orang jadi panas hati. Perangai ini bukan saja berlaku di rumah malah di sekolah juga. Pihak sekolah telah memberi amaran, jika dia tidak betulkan kelakuannya, dia akan dibuang sekolah. Maggie memohon kepada pihak social servis untuk membawa Kristy berjumpa dengan psychologist.
Satu hari, Kristy jatuh sakit dan dimasukkan ke hospital. Dia perlu tinggal di hospital selama beberapa hari. Waktu inilah psychologist yang merawat Kristy memberitahu Maggie satu perkara yang mengejutkan. Kristy memberitahu psychologist tersebut bahawa apabila pulang dari hospital, dia akan membunuh Ryan. Walaupun ugutan tersebut datang dari budak yang berusia 10 tahun, tapi pihak social worker mengambil serius. Mereka segera mencari foster parents yang sanggup mengambil Kristy tapi tidak berjaya. Tak ramai foster parents yang ingin mengambil anak yang sudah besar. Hanya satu solution yang ada iaitu mencari foster parents yang sanggup mengambil Ryan. Sebelum Kristy pulang dari hospital, Ryan telah diambil oleh satu keluarga. Walaupun Maggie rasa sedih tapi beliau tiada pilihan.
Apabila pulang dari hospital, Kristy mendapati Ryan tiada. Maggie memberitahunya apa yang berlaku. Waktu ini Kristy memberitahu bahawa ugutan untuk membunuh Ryan hanya satu gurauan.
Kini seratus peratus fokus Maggie hanya untuk Kristy. Maggie mengajar Kristy untuk menangani sikap panas barannya. Beliau cuba sedaya upaya walaupun tidak mudah. Pihak sekolah pula mengambil keputusan untuk membuang Kristy dari sekolah tersebut. Pihak social worker berusaha mencari sekolah lain dan akhirnya mereka berjaya untuk memasukkan Kristy ke sebuah sekolah khas untuk anak-anak yang bermasalah.
Saya suka pendekatan yang digunakan oleh Maggie untuk menangani perangai Kristy yang negatif. Beliau tegas dan tidak mudah mengalah dengan Kristy dan dalam masa yang sama beliau tidak berkeras dan tidak menengking. Semua disiplin dijalankan bersama kelembutan dan kasih sayang sehingga akhirnya Kristy mengalah.
Kelembutan Maggie ini menyebabkan Kristy mudah untuk meluahkan perasaannya dengan cara yang betul. Kristy memberitahu ketika dia masih bayi, dia telah dibuang oleh ibunya sendiri. Ibunya sendiri tidak mahukannya dan apabila keluarga angkat membuangnya pula, dia merasakan tiada siapa yang sayang dan mahukannya. Rasa sedih dan kecewa serta rasa tidak disayangi ini diterjemahkan melalui kelakuan dan perangai yang negatif.
Kristy memberitahu, emak angkatnya yang menceritakan bahawa Kristy ditinggalkan dipusat hiburan oleh ibunya, kemudian orang jumpa dan menyerahkannya kepada pihak berkuasa. Ibunya seorang pemabuk. Oleh kerana rasa kesian, dari kecil lagi Kristy telah dimanjakan oleh emak angkatnya. Apa saja kemahuannya dituruti dan tidak hairanlah sampai ke usia 10 tahun pun Kristy masih melepaskan tantrumnya seperti budak kecil.
Kristy rasa gembira bersekolah di sekolah khas dengan guru-guru yang terlatih. Satu hari salah seorang dari gurunya menyatakan hasrat untuk mengambil Kristy sebagai anak angkat. Beberapa procedure perlu dibuat dan akhirnya permohonan guru tersebut berjaya tetapi Kristy pula menolak. Dia ingin terus tinggal bersama Maggie. Sejak mula Kristy datang tinggal bersama Maggie, beliau telah menerangkan bahawa Kristy tidak akan selamanya tinggal di rumah itu. Maggie hanya menjaganya buat sementara sehingga ada keluarga yang sanggup mengambilnya sebagai anak angkat. Setelah dipujuk, akhirnya Kristy bersetuju untuk menjadi anak angkat kepada guru tersebut. Walaupun Maggie sedih kerana Kristy akan keluar dari rumah itu, tapi dalam masa yang sama, beliau gembira kerana masih ada orang yang sanggup mengambil Kristy sebagai anak angkat. Beliau percaya bahawa guru tersebut mampu mengubah sikap dan mendidik Kristy dengan sebaiknya.
0 Comments