Selang beberapa waktu, mak bagitau keluarga abang akan berpindah keluar dari kampung. Keluarga tu maksudnya abang, kakak ipar dan anak-anak termasuklah anak saudara saya yang berusia muda setahun dari saya yang saya cerita sebelum ini. Keluar dari kampung maksudnya jauh. Sudah tentu saya tidak dapat pergi setiap hari ke rumah abang untuk bermain dan bergaduh dengan anak saudara saya tu. Waktu tu rasa sedih sangat. Tentu saya rasa sunyi nanti tapi apa lagi yang dapat dilakukan oleh seorang budak kecil yang waktu itu belum pun masuk darjah satu. Terima sajalah dengan redha. 


Abang meneroka tanah baru di Pasir Hitam. Tempatnya jauh terpencil. Nak sampai ke situ kena naik bot. Tak ramai penduduk di situ. Segala keperluan asas pun tak ada. Saya hanya pernah pergi sekali ke tempat tu. Tapi saya suka sebab boleh bermain dengan anak saudara. Banyak pokok keladi di keliling pondok yang abang bina untuk keluarganya. Kemudian ada parit-parit kecil yang tidak  berapa dalam airnya tetapi sangat jernih. Boleh nampak anak-anak ikan berenang ke sana ke mari dengan riang. Saya dan anak saudara pun sama seronok memandang anak-anak ikan itu. Pokok keladi kami potong sorang satu untuk jadikan sebagai payung. Daun-daun keladi di situ memang besar-besar, cukup untuk melindungkan kami dari panas matahari. Kami bermain sampailah dipanggil untuk makan tengahari. 


Makanan yang kakak dan mak masak bukanlah grand sangat tapi kami makan dengan berselera. Itulah orang kata..Bila hati bahagia..apa yang di depan mata, sedap belaka.  Lepas makan, sambung main. Kakak ipar warning supaya hati-hati dan jangan pergi jauh-jauh..takut ada ular.  Dalam hutan keladi, ular pun seronok untuk tumpang bermain katanya. Kami patuh dan bermain di kawasan yang berhampiran sahaja. 


Waktu malam di pulau terpencil itu, tiada letrik. Yang ada hanya pelita minyak tanah. Pondok yang dindingnya tidak rapat membolehkan angin masuk. Meliang-liuk api pelita minyak tanah dan ada ketikanya hampir padam. Di luar, bunyi cengkerik bersahut-sahutan. Sekali sekala dengar bunyi katak. Anak saudara tidur satu kelambu dengan saya dan mak. Maka berceritalah nenek untuk cucunya. Saya tumpang dengar. Bersambung-sambung cerita sehinggalah kami berdua terlelap. 


Setelah beberapa hari di situ, sampai masa untuk balik ke kampung. Sedih tak terkata untuk tinggalkan anak saudara di situ. Saya minta mak bawak anak saudara tu balik bersama. Sudah tentu abang dan kakak tak benarkan. "Tak pa..lain kali boleh mai lagi" kata kakak ipar. Saya pandang dia dengan sayu.. Bye..bye..maksu balik dulu.