Persediaan Masuk Sekolah
Di hujung jalan masuk ke rumah, kelihatan ayah menunggang basikal buruk dengan perlahan. Ayah cuba mengimbangi basikal yang ditunggangnya itu apabila melalui lorong bertanah merah yang tinggi rendah dan tidak rata. Di tempat duduk belakang ada raga. Dalam raga itu ada sesuatu tapi tidak dapat saya pastikan apa bendanya itu.
Sampai di halaman rumah, ayah turun dari basikal. Ayah menolak basikalnya ke bawah rumah kami yang bertiang tinggi. Basikal buruk itu lalu disandarkan di salah satu tiang tersebut. Ayah mengambil bakul lalu menghulurkan kepada emak.
"Semua buku yang diperlukan oleh anak bongsu kita bagi memulakan persekolahan darjah satu ada dalam beg itu. Dan beg itu adalah beg sekolahnya" kata ayah.
Emak menyambut bakul yang dihulurkan oleh ayah. Kemudian emak mengeluarkan sebuah beg. Dalam beg itu ada beberapa buah buku.
" Itu baru buku teks. Buku tulis belum beli lagi. Begitu juga dengan peralatan menulis. Tengok dulu kot-kot ada buku tulis berlebihan kepunyaan kakak dan abangnya." kata ayah lagi
" Hari Isnin nanti, awak bawa dia ke pekan untuk beli uniform dan kasut sekolah"
Emak cuma mengangguk. Banyak persediaan yang perlu diadakan sebelum sesi persekolahan bermula pada awal Januari bagi anak bongsu itu.
Saya pergi mendekati ibu.
"Ini ayah sudah belikan buku teks untuk sekolah. Nanti ikut mak pergi pekan untuk beli baju dan kasut sekolah"
"Mak, pekan tu apa dia?" Tanya saya. Memang saya belum ada pengalaman pergi ke pekan. Saya tidak dapat bayangkan suasana pekan itu.
" Pekan tu tempat orang menjual macam-macam. Nanti tengok la sendiri" jawab emak.
Saya begitu teruja untuk pergi ke pekan.
" Pekan tu di mana, mak?"
" Di Tanjung Piandang. Jauh jugak dari rumah kita ni. Kita kena naik bas"
Saya semakin teruja. Saya belum pernah naik bas.
" Bila kita nak pergi ke pekan tu, mak?"
" Hari Isnin. Pekan tu ada sekali saja seminggu, setiap hari Isnin "
Pada malam itu, ayah menyerahkan beberapa keping duit kertas kepada emak.
" Ini duit buat beli baju dan kasut sekolah. Beli dua pasang baju dan dua pasang kasut. Jangan lupa beli dua pasang setokin putih. Nak masuk darjah satu, kena beli pakaian sekolah serba baru. Biar dia bersemangat sikit untuk masuk sekolah" kata ayah.
Saya tidak ada pengalaman pergi ke sekolah. Masuk tadika pun tidak pernah. Pada usia menjangkau tujuh tahun, saya belum boleh membaca dan mengira. Tapi saya suka buku. Saya selalu membelek buku-buku teks kakak dan abang saya. Saya suka melihat gambar-gambar yang ada dalam buku-buku tersebut. Kemudian saya buat cerita sendiri berdasarkan gambar.
Hari yang ditunggu-tunggu pun tiba. Hari Isnin yang sejahtera, hari untuk saya ikut emak ke pekan. Awal-awal lagi saya sudah bersiap. Kemudian emak dan saya menunggu bas. Hati saya rasa berdebar. Rasa takut untuk melangkah naik ke dalam bas. Bagaimana kalau kaki saya tidak cukup panjang untuk menapak naik ke tangga bas. Bagaimana kalau sebelum saya sempat melangkah naik, bas sudah berjalan. Macam-macam perkara ngeri tergambar di fikiran saya. Tapi saya harus jadi berani untuk memulakan pengalaman pertama menaiki bas. Saya harus lawan perasaan takut itu. Dari jauh kelihatan sebuah bas berwarna merah. Emak mengangkat tangan untuk menahan bas tapi bas itu tidak berhenti.
"Bas tu penuh. Tak pa..kita tunggu bas lain"
"Ramai orang dalam bas tu"
"Orang nak pi ke pekan la tu"
Tidak lama kemudian, datang sebuah bas lagi. Kali ini bas berhenti betul-betul di hadapan tempat saya dan emak menunggu. Emak memimpin saya naik bas. Bas yang kedua ini tidak penuh dan banyak tempat kosong. Saya dan mak duduk di bangku paling hadapan. Di sepanjang perjalanan ke pekan, bas berhenti-henti untuk mengambil penumpang. Akhirnya bas itu sampai di stesen dan semua penumpang pun turun. Dari stesen bas, saya dan mak serta penumpang lain berjalan menuju ke tempat orang berjualan.
" Ramainya orang" kata saya
"Ya.. Pegang tangan mak..jangan merayap merata, nanti hilang, payah nak cari." Pesan mak.
Saya patuh kepada arahan. Betul kata mak, di pekan itu macam-macam ada. Para peniaga berjualan di sebuah kawasan lapang yang terbuka tidak berbumbung. Ada yang jual makanan, buah-buahan, rempah ratus, mainan, pakaian dan macam-macam lagi. Emak membawa saya ke sebuah gerai yang menjual pakaian sekolah. Ramai juga orang di situ. Emak mengambil sepasang baju sekolah dan mengukur ke bahu saya.
"Kita beli besar sikit tak pa.. Nanti boleh pakai banyak tahun" kata mak. Saya angguk saja
" Kasut tak dak jual pulak di sini. Nanti kita pi kedai kasut dekat stesen bas tadi"
Setelah selesai membeli dua pasang pakaian sekolah, mak bawa saya jalan-jalan keliling pekan. Emak singgah di gerai menjual rempah ratus. Emak membeli beberapa jenis rempah ratus yang diperlukan. Kemudian kami singgah di gerai menjual kudapan. Di situ emak membeli jeruk buah kana, asam katok dan kacang susu kesukaan saya. Di gerai menjual buah-buahan, emak membeli sejorong tembikai dan beberapa ulas nangka.
"Jom kita pergi ke kedai kasut. Lepas tu kita pergi ke tempat jual ikan dan sayuran"
Saya mengikut ke mana saja emak bawa. Saya pegang kuat-kuat baju mak sebab takut kehilangan di celah-celah orang ramai.
Pertama kali saya masuk kedai kasut, rasa kagum tengok kasut-kasut yang bersusun. Semuanya cantik-cantik. Saya tidak pernah memakai kasut yang secantik itu. Alas kaki saya cuma selipar jepun. Emak akhirnya membeli dua pasang kasut plastik putih dan dua pasang setokin putih.
"Cantiknya selipar ni" kata saya
"Mau ka?" Tanya mak
Saya cepat-cepat mengangguk. Emak tanya harga selipar cantik itu. Selipar itu berwarna coklat. Dan di atasnya ada bunga berwarna merah. Setelah tawar menawar dengan tauke kedai kasut, mak membeli selipar cantik itu untuk saya. Bukan main seronok lagi hati saya dapat selipar baru. Cantik pulak tu.
Setelah selesai membeli ikan dan sayur, kami menunggu bas di stesen bas untuk pulang ke rumah. Itulah pengalaman pertama saya naik bas pergi ke pekan.
0 Comments