Penguin Bloom
Semalam, sempat tengok sebuah filem. Filem ini berdasarkan sebuah buku (kisah benar). Saya telah baca buku ini pada tahun lepas. Filemnya baru diterbitkan pada tahun ini. Kawan-kawan yang ada Netflix, boleh tonton di situ. Best ceritanya..(saya memang suka kisah yang bertemakan keluarga selain dari filem thriller).
Penguin Bloom adalah cerita tentang sebuah keluarga iaitu keluarga Bloom. Si suami (Cameron Bloom) adalah seorang jurufoto. Tragedi buruk berlaku ketika mereka sekeluarga bercuti di Thailand. Si isteri (Sam Bloom) telah jatuh daripada bumbung tempat penginapan mereka ketika di Thailand. Kemalangan tersebut mengakibatkan Sam lumpuh separuh badan. Sam mengalami depresi dan hilang semangat untuk menjalani kehidupan sebagai seorang isteri dan ibu. Dia merasakan dirinya tidak berguna dan menyusahkan orang lain terutama suami dan anak-anaknya.
Kedatangan seekor burung (magpie) ke dalam keluarga mereka membawa keceriaan. Magpie yang cedera dijumpai oleh anak-anak Sam. Magpie itu tidak boleh terbang. Cameron dan Sam bersetuju untuk membenarkan anak-anak mereka memelihara magpie tersebut sehingga ia sembuh. Magpie itu diberi nama Penguin. Ketika suaminya pergi kerja dan anak-anaknya pergi ke sekolah, Sam tinggal di rumah bersama Penguin. Pada mulanya Sam tidak begitu suka kepada burung tersebut. Tapi lama-kelamaan Sam jatuh sayang kepada Penguin kerana menjadi peneman yang setia.
Melihat kepada Penguin yang boleh terbang semula sedikit sebanyak memberi semangat kepada Sam untuk meneruskan kehidupan dengan lebih bermakna. Hilang keupayaan tidak bermakna dia mesti bersedih dan hilang semangat sebaliknya dengan sokongan daripada suami, anak-anak dan keluarga, dia boleh belajar menyesuaikan diri dengan keadaan itu.
0 Comments