Sungguh tak terbayang apabila anak yang belum remaja sudah kehilangan ibu dan bapa serta adik beradik yang lain. Itulah yang terjadi kepada ABDUL MUSA ADAM. Pertempuran dan pergelutan yang berlaku di Darfur telah merentap kebahagiaan hidup berkeluarga. Hilang ibu dan ayah dalam sekelip mata pada usia 7 tahun. Yang tinggal hanya seorang adik lelaki yang berusia 5 tahun. Sahabat baik kepada ayah membawa kedua beradik ini lari dari situ. Bermulalah kehidupan mereka sebagai refuge yang tidak mempunyai apa-apa dokumen sebagai pengenalan diri. 
.
Abdul berpindah ke Chad, tinggal di dalam kem pelarian bersama-sama yang lain. Kemudian sahabat ayahnya ingin berpindah ke Libya untuk mencari pekerjaan. Dia membawa bersama Abdul dan adiknya Yusouf. Mereka tinggal agak lama di Libya. Langit tidak selalu cerah. Abdul ditangkap oleh tentera Muammar Gaddafi dan dipenjarakan kerana tiada dokumen pengenalan diri. Dia diberi pilihan samada dihantar pulang ke Darfur atau menjadi askar Gadaffi. Abdul tidak mahu pulang ke Darfur dan dia juga tidak mahu menjadi askar Gadaffi. Di penjara dia di siksa dengan teruk sekali. Waktu itu umurnya baru dua belas tahun. Satu hari dia dipukul sehingga pengsan. Abdul dibawa ke hospital untuk dirawat. Ada seorang doktor berbangsa Rusia merawatnya. Doktor inilah yang menyeludup Abdul keluar dari hospital apabila dia sembuh sedikit. Doktor Rusia ini tidak sanggup membiarkan Abdul dihantar kembali ke penjara.
.
Abdul berjaya menemui semula sahabat ayahnya dan Yusouf. Kemudian Abdul diseludup dengan segera keluar dari Libya menuju ke France melalui kapal kerana bimbang tentera Gaddafi menangkapnya semula. Dia terpaksa meninggal adiknya Yusouf.
.
Di France pun, dia tidak selamat kerana ketiadaan dokumen peribadi. Di France dia menjadi gelandangan dan tidur di mana-mana saja yang sesuai. Abdul pernah tidur dalam tong sampah sebab kesejukan. Ada seorang Muslim yang memberinya makan setiap hari. Muslim tersebut tidak boleh membawa tinggal Abdul di rumahnya kerana dia hanya tinggal di sebuah bilik bersama anak dan isterinya.
.
Kemudian ada seorang Muslim yang lain kata dia boleh membantu Abdul untuk pergi ke UK. Menurut Muslim tersebut, di sana keadaannya lebih selamat kepada seorang pelarian yang tidak ada dokumen. Abdul ditempatkan di ruang bawah lori. Muslim itu berpesan selagi lori itu tidak berhenti dan pemandu lori berkenaan tidak turun, maka jangan bergerak dari ruang tersebut sebab dia boleh terbunuh. Saya tidak pasti bagaimana lori itu boleh sampai ke UK. Mungkin lori tersebut naik kapal untuk menyeberangi Selat Inggeris. 
.
Abdul tidak dapat mengagak berapa lama dia berada di ruang bawah lori tersebut. Hanya sedikit coklat yang menjadi bekalannya. Kemudian dia rasa macam lori itu berhenti bergerak tapi dia masih was-was untuk keluar. Tiba-tiba beberapa ekor anjing menyalak ke bawah lori. Abdul ditemui dan dibawa ke pusat pelarian. Apabila ditanya, Abdul kata dia berasal dari Darfur, Sudan. Kemudian dia menceritakan kisah perjalanannya. Jumlah masa perjalanannya dari Darfur ke Swindon, UK adalah 8 tahun so usia Abdul ketika sampai di Swindon lebih kurang 16 tahun. Semua orang macam terkejut. Abdul kemudiannya ditempatkan di rumah foster parents sementara mereka menguruskan dokumen yang diperlukan. Kemudian Abdul diletakkan di bawah jagaan seorang ibu angkat. Abdul mengalami PTSD. Dia dibawa menemui seorang counselor. Apabila usia Abdul masuk 18, dia dibenarkan hidup sendiri dengan bantuan kewangan dari pihak kerajaan UK. Walau bagaimana pun Abdul tidak mempunyai keyakinan diri dan masih lagi dalam keadaan trauma. Dia pernah cuba membunuh diri. Satu hari bekas ibu angkatnya bawa dia ke ladang kuda. Abdul gembira kerana dia suka binatang. Interaksinya bersama kuda-kuda di situ sedikit sebanyak dapat memulihkan keyakinan dirinya. Dia dilatih menjadi jockey. Kini Abdul berusia 22 tahun dan masih berharap untuk bertemu dengan adiknya Yusouf.

21 Jul 2021 at 3:57 PM 
.