Ada satu teori yang mengatakan sekiranya kita meletakkan seekor katak di dalam kuali yang berisi air panas, katak itu akan melompat-lompat untuk menyelamatkan diri. Tetapi sekiranya kita meletakkan katak di dalam kuali yang berisi air sejuk dan kemudian kita panaskan kuali tersebut hingga airnya mendidih, katak itu akan berdiam diri kerana dia tidak perasan air itu sedang dipanaskan sehinggalah air itu mendidih dan waktu itu sudah agak terlewat untuk katak menyelamatkan dirinya. Untuk menentukan samada teori ini benar atau tidak, mungkin kita boleh jalankan satu ujikaji merebus katak. Sanggup tak agaknya?????

Cerita kiasan ini boleh menggambar bagaimana seseorang boleh terperangkap dalam kesulitan disebabkan oleh sikap tidak prihatin terhadap keadaan sekeliling.

Jika perubahan itu berlaku secara mendadak, kita akan cepat bertindak untuk menghalang kesulitan tersebut. Tetapi kita biasanya tidak begitu "alert" terhadap perubahan-perubahan kecil yang berlaku secara perlahan di sekeliling kita jadi kita tidak bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang akan berlaku sehinggalah keadaan menjadi agak terlewat untuk diselamatkan. Perubahan-perubahan kecil yang berlaku secara perlahan itu mungkin sebagai amaran kepada kita tetapi sayang sekali, kita terlalu sibuk untuk memerhati dan meneliti amaran tersebut dan akhirnya terperangkaplah kita di dalam kesulitan yang boleh kita elakkan jika kita memberi sedikit perhatian.

Sebagai contoh, mari kita perhatikan situasi ini. Setiap tahun, paras air dalam kolam takungan air di satu kawasan perumahan berkurang sebanyak beberapa inci. Ada di antara penduduk yang menyedari pengurangan tersebut tapi disebabkan perubahan itu agak kecil, mereka tidak memberi perhatian secara serius. Tiada tindakan yang diambil untuk membetulkan keadaan. Dan akhirnya..seluruh penduduk kampung itu mengalami krisis air yang agak teruk.

Mulai hari ini, marilah kita sama-sama menjadi seorang yang prihatin terhadap amaran-amaran kecil yang berlaku di sekeliling kita. Pada ibubapa, perhatikan perubahan-perubahan kecil yang berlaku pada anak-anak terutamanya anak-anak remaja. Jangan nanti kita terkejut bila anak kita terpaksa dihantar ke pusat serenti disebabkan ketagihan dadah atau ditahan di dalam lokap polis kerana terlibat dengan jenayah. Cegah sebelum parah...