Dalam dunia yang serba serbi segera (instant) sekarang ini, ramai juga di antara kita yang ingin mencapai kejayaan segera dengan jalan yang mudah tanpa melalui proses-proses yang melelahkan. Kejayaan instant tidak begitu meninggalkan kesan yang mendalam dalam diri.


Kejayaan yang dicapai sebenarnya bukanlah suatu kebetulan. Hidup kita juga bukanlah suatu permainan silap mata malah masa depan yang cemerlang adalah milik mereka yang mempersiapkan diri untuknya. Kita harus melakukan sesuatu untuk menggapai kejayaan tersebut.


Tidak berapa lama dahulu, ada seorang pemuda yang bercita-cita untuk menjadi ahli pidato yang handal. Matlamat dan cita-cita ini menjadikannya bersemangat dalam menuntut ilmu walaupun ilmu yang dicarinya itu bukanlah secara formal seperti kebanyakan orang lain. Pemuda tersebut membaca buku-buku yang berkualiti di samping tidak berat mulut bertanya dan berbincang dengan orang-orang yang ahli dalam pidato. Dia menghabiskan banyak masanya di perpustakaan membaca dan meminjam buku-buku.


Untuk merealisasikan cita-citanya, dia sanggup berjalan berbatu-batu untuk mencari pengalaman dan mendengar orang lain berpidato. Selepas itu dia cuba meniru gaya orang itu berpidato, berlatih di hadapan cermin dan sebagainya. Tidak sedikit seminar dan kursus yang dihadirinya. Kesilapan dan kelemahan diperbaiki dari semasa ke semasa. Bertahun-tahun dia menjalani proses itu sehingga akhirnya dia menjadi seorang negarawan dan seorang ahli pidato yang terkenal. Siapakah pemuda itu? Dia adalah Abraham Lincoln, seorang presiden Amerika yang terkenal yang namanya disebut-sebut sehingga kini.


Untuk mencapai kejayaan, kita harus menjalani proses tahap demi tahap umpama mendaki anak tangga. Namun ramai di antara kita yang tidak sabar menjalani proses tersebut. Kejayaan menuntut banyak pengorbanan. Kadang-kadang kita terpaksa menghabiskan wang ringgit, masa dan tenaga. Kita harus bersedia untuk itu. Kita harus bersedia untuk mengeluarkan keringat malah kita juga harus bersedia untuk menggugurkan airmata. Jika kita bersedia untuk melakukan sesuatu yang orang lain tidak ingin lakukan, tentu kita akan memperolehi apa yang tidak diperolehi oleh orang lain. Orang-orang yang berjaya bukanlah "super". Mereka hanyalah orang-orang yang mahu melakukan sesuatu sementara orang lain menolaknya.


Berpeganglah kepada "perinsip kejayaan tidak datang bergolek". Lakukankan pendakian mengikut turutan anak tangga kerana di setiap anak tangga itu kita belajar sesuatu yang bernilai. Selagi kita tidak belajar sesuatu di anak tangga pertama, wajar untuk kita tidak melangkah ke anak tangga kedua dan seterusnya.