Ketika kecil dulu, keluarga saya jarang membeli makanan dari luar. Walau penat sekalipun, ibu saya akan memasak untuk kami sekeluarga dengan dibantu oleh arwah ayah (sebelum ayah meninggal). Mungkin tidak praktikal untuk membeli makanan dari luar oleh sebuah keluarga yang agak besar ditambah dengan keadaan keluarga saya yang selalu saja kesempitan wang. Atau mungkin juga budaya membeli makanan dari luar bukan menjadi budaya orang dulu-dulu yang tinggal di ceruk kampung. Biarpun cuma nasi berlaukkan telur mata lembu, ibu akan memasak sendiri. Dan waktu dulu tidak ada periuk nasi letrik seperti sekarang. Mungkin juga ada tapi keluarga saya tentu tidak mampu untuk memilikinya.  Ibu memasak nasi secara manual dengan mengguna dapur kayu. Sesekali nasi atau lauk pauk yang dimasak ibu mungkin hangit.


Dan itulah yang berlaku pada satu hari. Agaknya ibu terlampau letih atau sibuk membuat kerja lain. Nasi yang ditanak di atas dapur kayu terlebih masak sebelum ibu sempat meredakan api. Di bahagian bawah periuk, nasi menjadi kerak. Biasanya memang berkerak tapi kali ini keraknya lebih daripada biasa dan berbau hangit.  Nasi yang berbau hangit menjadi makanan kami sekeluarga untuk tengahari itu bersama lauk yang serba ringkas. Walaupun begitu, kami makan dengan berselera sekali. Tiada siapa yang komen tentang nasi berbau hangit tersebut.


Selesai makan, ketika ayah sibuk menolong ibu mengemas di dapur, saya terdengar ibu memohon maaf daripada ayah kerana nasi yang terlebih masak dan berbau hangit. Ayah saya cuma berkata kepada ibu bahawa dia (ayah) suka nasi yang berbau hangit itu.. wangi dan menyelerakan.


Saya dengan perlahan mendekati ayah yang sedang berehat di anjung rumah. Ketika itu ibu sedang berada di bilik air.  Saya bertanya kepada ayah, apakah dia betul-betul suka nasi yang terlebih masak dan berbau hangit. Ayah memeluk saya sambil berkata, "Ibu kan penat, balik dari sawah, kena memasak. Ibu juga banyak kerja lain yang nak dibuat seperti basuh kain, jemur kain. Sesekali nasi akan menjadi hangit apabila ibu terlupa. Lagipun nasi itu masih boleh dimakan, bukannya rentung terus. Kita takkan sakit pun kalau makan nasi yang berbau hangit tu"


Kehidupan kita dipenuhi dengan ketidak sempurnaan. Manusia dijadikan oleh Allah dengan keistimewaan dan kekurangan masing-masing. Sesekali kita akan membuat kesilapan. Seharusnya kita belajar menerima kekurangan orang lain dan bersedia memberi maaf jika mereka tersilap. Hormat menghormati terhadap perbezaan masing-masing adalah kunci kepada hubungan yang sihat, baik dan berkekalan.


Dan do'a saya untuk hari ini semoga kita dapat menerima yang baik, yang buruk, yang perit dan yang manis dalam kehidupan kita dan redha pada ketentuan Allah. Hanya DIA yang berkuasa menjadikan hubungan kita (samada hubungan suami-isteri, hubungan ibubapa-anak atau hubungan kita dengan persekitaran) kukuh di mana nasi hangit bukanlah menjadi satu isu yang besar yang membawa kepada satu pergadohan dan perpecahan.


Don't put the key to your happiness in someone else's pocket but into your own.