Seorang ibu muda bangun pagi dengan tergesa-gesa. Dia sudah terlambat untuk menyediakan sarapan pagi untuk suami yang akan ke pejabat. Semalam, anaknya yang baru berusia beberapa bulan meragam. Hanya setelah  malam menghampiri subuh, barulah anak kecil itu tidur lena. Wajah sang isteri menunjukkan dia keletihan. Di dapur dia menjerang air dan membakar roti untuk suaminya. Semuanya dibuat sepantas mungkin kerana suaminya telah bersedia di meja makan. Isteri muda itu menghulurkan dua keping roti dan secawan kopi panas kepada suami.


"Macam mana nak makan kalau roti hangus macam ni? Lain kali belajar bakar roti supaya tak hangus" kata si suami.


Isteri muda itu terdiam. Si suami menghirup kopi panas.


"Air apa ni..pahit macam ni, macam mana saya nak minum?" kata suami lagi sambil bangun.


"Kalau macam ni, baik saya makan di ofis saja"


Jika kita di tempat isteri muda itu, apakah agaknya yang kita akan lakukan setelah mendengar komen-komen pedas dari suami sendiri?


Mungkin ada yang berkata.."Kalau aku, aku ambik roti tu..aku campak kat muka dia"


Atau mungkin ada yang akan berkata.."Kalau abang pandai sangat, abang bakar sendiri roti tu dan bancuh sendiri kopi tu.."


Dan kalau  isteri yang agak lembut dan sopan, mungkin hanya akan menangis teresak-esak.


Walau apa pun reaksinya, jauh di sudut hati akan timbul rasa marah, geram, rasa tidak dihargai dan lain-lain perasaan yang negatif terhadap suami. Betul kan?


Dengan perasaan yang negatif itu, kita harus melaksanakan rutin harian sebagai surirumah, memasak, mengemas, mencuci pakaian, menjaga anak kecil dan sebagainya. Apakah mudah? Adakah kita dapat melakukan dengan ikhlas dan berlapang dada? Kita akan berasa tidak keruan dan tidak bersemangat sepanjang hari.


Sekarang, katakan suami memberi respon yang sebaliknya pada situasi di atas.


"Sayang nampak letih dan tak cukup tidur. Roti ni hangus tapi masih boleh dimakan. Cicah dengan kari yang sayang masak semalam pun sedap. Kopi ni agak pahit sikit. Sayang hulurkan creamer tu..Kalau letak lebih creamer, tentu kurang pahitnya. Lepas abang bertolak ke ofis, sayang sambung tidur, ok. Kerja rumah tu boleh ditangguh"


Apa perasaan kita pulak kali ini?


Tentu hati kita berbunga-bunga. Sepanjang hari rasa bersemangat untuk melaksanakan rutin harian. Mata yang kuyu tentu segar bugar.


Dalam hati berkata.."Alhamdulillah..aku dapat suami yang memahami perasaan dan situasi aku..Hari ini aku nak masak makanan kegemarannya dan bila dia balik petang nanti, aku nak peluk dia…"


Bagaimana jika apa yang dilakukan oleh suami dalam situasi di atas, kita lakukan kepada anak-anak kita?  Perasaan anak-anak kecil tidak jauh bezanya daripada kita apabila dikritik secara negatif. Bayangkan jika setiap hari kita mendapat komen yang sama daripada suami iaitu komen yang negatif. Jiwa kita akan memberontak, kita akan merasa rendah diri, self esteem kita akan menurun. Apa yang kita inginkan daripada suami, itulah juga yang diingini oleh anak-anak daripada kita iaitu pengertian dan empati. Justeru, berilah apa yang diperlukan oleh anak-anak kita.