FOLLOWING EZRA, ditulis oleh Tom Fields-Meyer, ayah kepada seorang anak autistik (Ezra). Buku ini mengisahkan tentang bagaimana seorang ayah mengambil tanggung jawab untuk mendidik anak autistiknya. Perjalanan yang dilalui bukan mudah dan memerlukan kesabaran walaupun sekarang  Ezra berusia 15 tahun. 
 
Ezra tidak suka bermain dengan kanak-kanak lain ketika dia masih kecil sebaliknya dia lebih suka menyendiri sambil bermain dengan menyusun haiwan plastik seperti dinasaur dan haiwan-haiwan lain. Dalam prolog FOLLOWING EZRA, Tom menerangkan usaha beliau untuk mencari pakar, diet, ubat-ubatan dan terapi yang betul untuk anaknya. Tetapi kemudian dia menyedari usaha dan tumpuannya itu adalah kepada perkara yang salah. "Ia bukan tentang mencari pakar yang tepat untuk anak saya, tetapi yang sebenarnya saya perlu belajar untuk menjadi ibu bapa yang betul."

Bagi Tom, belajar untuk menjadi ibu bapa yang betul bermakna beliau harus membangunkan hubungan dengan anaknya. Beliau mengkaji kelakuan, keistimewaan dan cara Ezra berfikir supaya beliau boleh membantu Ezra. Ezra mempunyai memori yang luar biasa dan semangat untuk hidup, dan dia memutuskan untuk memberi tumpuan kepada kualiti ini untuk membantu Ezra belajar dan berkembang. Ezra suka kepada haiwan dan Tom akan membawanya ke zoo setiap minggu. Ezra juga taksub kepada kalendar dan dia mampu mengingat tarikh-tarikh tertentu yang tidak berapa penting pada pandangan kita. Sikap mendesak Ezra kadang-kadang mencabar kesabaran Tom tetapi beliau mampu menahan diri dan berusaha untuk memahamkan Ezra.

Tidak mudah untuk Ezra menjadi Ezra, atau untuk Tom menjadi bapa Ezra tetapi Tom tidak pernah meratapi atau berputus asa terhadap anaknya. Baginya, Ezra adalah satu rahmat dan pemberian dari Tuhan (keluarga Tom beragama Yahudi).