Kristine Barnett menceritakan kisah anaknya, Jake, yang pada usia 2 tahun telah didiagnos menghidapi autisma.  Seperti kebanyakan ibu bapa kanak-kanak autistik yang lain, Kristine Barnetts bergantung kepada guru pendidikan khas yang disediakan oleh kerajaan untuk membimbing mereka.

Pada usia 3, Jake telah mendaftar dalam kelas "kemahiran hidup" dengan harapan agar dia dapat belajar hidup berdikari seperti belajar memakai baju, mengikat tali kasut sendiri dan lain-lain kemahiran. Namun menurut Kristine Barnett, Jake begitu tertumpu kepada perkara-perkara lain seperti  bayang-bayang di atas lantai , corak kotak-kotak pada pakaian dan yang paling ketara dia begitu taksub kepada flashcard abjad sehinggakan dia tidak dapat dipujuk untuk menghadiri kelas kemahiran tersebut.

Kristine menerima komen yang negatif tentang Jake dan flashcard abjad daripada  seorang guru pendidikan khas di sekolah itu. Mereka meminta Jake supaya meninggalkan flashcard abjad tersebut di rumah supaya dia dapat memberi tumpuan di kelas.

"Kami tidak fikir Puan perlu bimbang tentang flashcard abjad itu.” Dalam erti kata lain, guru tersebut tidak fikir Jake  akan mampu belajar membaca. Mendengar komen tersebut, Kristine mengambil keputusan untuk memberhentikan Jake daripada sekolah tersebut dan mengajar sendiri di rumah. Kristine Barnett membuka satu kelas khas untuk kanak-kanak autisma di rumahnya supaya Jake dapat belajar berkomunikasi dengan rakan-rakan sebaya. 

Ibunya mendapati Jake adalah seorang budak autistik yang mempunyai kebolehan luar biasa dalam bidang matematik dan sains. Rupa-rupanya, dia mempunyai IQ yang lebih tinggi daripada yang Einstein.

Pada usia 3 tahun, Jake mampu mengatur beratus-ratus krayon menurut spektrum warna yang unik. Dia mampu menghafal PI  sehingga ke 200 rumah perpuluhan dan boleh membacanya ke hadapan dan ke belakang. Pada 9 dia sudah mampu memahami teori dalam bidang astrofizik. Pada usia 11 tahun, dia masuk kolej dan pada usia 12 tahun, dia menjadi seorang penyelidik di universiti dalam bidang kuantum fizik. Dan, ya, Jake boleh mengikat kasutnya sendiri.

Laluan yang dilalui oleh Kristine Barnett dalam mendidik Jake bukanlah mudah. Selain dari cabaran mendidik itu, Kristine juga terpaksa menghadapi cabaran-cabaran lain yang hebat seperti anak kedua Barnetts iaitu Wesley, menghadapi masalah kesihatan dan kerap terkena sawan. Semasa mengandung anak ketiga, Kristine Barnett disahkan menghidapi penyakit LUPUS, dan terkena strok pada usia 30. Keluarganya menghadapi masalah kewangan yang begitu meruncing.

Jake adalah seorang anak autistik, keluarganya termasuk dalam kelas pertengahan tapi dengan bantuan ibunya yang tidak pernah berputus asa, dia menjadi anak yang boleh berdikari. Anak autistik ini, Allah telah kurniakan otak yang bijak dalam bidang matematik dan sains. Apabila mendapat bantuan dan sokongan yang kuat daripada ibunya, Jake mampu menyerlah. Kini, Jake berusia 18 tahun dan kepakarannya dalam bidang Matematik dan Sains setanding dengan professor. Tapi dalam masa yang sama, dia masih menunjukkan ciri-ciri autistik dalam dirinya.

Kisah Jake menjadi motivasi dan juga pengajaran kepada ibu bapa. Walaupun anak kita telah disahkan ada masalah pembelajaran atau masalah-masalah lain, namun usah kita berputus asa. Pada setiap kekurangan, Allah sediakan keistimewaan.