Buku ini diterbitkan pada tahun 2009. Ia adalah kisah benar yang berlaku  ( dalam tahun 2000)kepada penulis buku ini. Walaubagaimana pun, identiti sebenar penulis menjadi rahsia atas faktor keselamatan.

Hannah dan keluarganya berasal daripada Pakistan tetapi menetap di utara England iaitu Bermford (bukan nama sebenar tempat itu). Kawasan itu didiami oleh beberapa keluarga yang berasal daripada Pakistan yang beragama Islam. Di situ ada masjid dan ayah Hannah ialah Imam di masjid itu. Imam sangat di hormati dan disegani tetapi rupanya imam itu perangainya seperti musang berbulu ayam. Di luar, bukan main lagi mempamerkan dirinya sebagai seorang Imam yang alim dan mulia tapi di rumah sebaliknya berlaku.

Hannah menyaksikan sendiri bagaimana ayahnya mendera ibu hanya kerana kesilapan yang kecil seperti masakan tak dihidangkan sebagaimana yang dikehendaki, baju tidak diiron dengan elok dan sebagainya sehinggalah pada suatu hari Hannah menegur perbuatan ayahnya.

Bermula di saat itulah perderaan beralih kepada Hannah. Hannah bukan saja didera secara fizikal tapi juga secara seksual. Ibunya tidak berbuat apa-apa kerana takut. Waktu itu Hannah baru berusia 6 tahun. Penderaan seperti itu berlanjutan sehingga 8 tahun.

Ketika berusia 16 tahun, Hannah dipaksa berkahwin dengan sepupunya yang tinggal di Pakistan. Sehari sebelum beliau dihantar ke Pakistan, beliau telah melarikan diri dengan pertolongan beberapa orang kawannya.

Seorang guru kolej tempat Hannah belajar membawa Hannah tinggal bersama keluarganya. Ketika inilah Hannah membuat perbandingan antara keluarganya dengan keluarga gurunya.Beliau sangat tertarik dengan cara hidup pasangan guru tersebut yang penuh dengan kemesraan dan kasih sayang. Setiap hari Sabtu, beliau mengikut pasangan ini ke church. Hannah mula membuat perbandingan antara priest dan Imam (ayahnya sebagai contoh). 3 tahun kemudian, beliau menukar agamanya dari Islam kepada Kristian.

Saya tidak menyalahkan Hannah jika beliau lebih tertarik kepada Kristian. Islam yang digambarkan di depan matanya adalah bukan Islam yang sebenar. Ia lebih kepada budaya. Karekter ayahnya seperti diktator yang diselubungi oleh prejudis yang ekstrim. Ayahnya menggunakan Islam untuk justify segala perbuatan keji yang dilakukannya. Quran hanya menjadi bahan bacaan dan  hafalan bukan untuk dihadam isi kandungannya. Apa yang nampak di mata Hannah adalah kekejaman seorang yang bergelar Imam lalu dia mentafsirkan bahawa Islam itu tidak friendly.

Selepas Hannah memeluk agama Kristian dan mengambil jurusan Theologi di university, barulah beliau membaca terjemahan Quran dalam Bahasa Inggeris (sebelum itu ayahnya melarang keras membaca Quran terjemahan Bahasa Inggeris). Barulah dia sedar bahawa apa yang diajar oleh ayahnya tentang Islam bertentangan dengan apa yang ada di dalam Quran.

Sekarang Hannah berusia 36 tahun, sudah berkahwin (beliau berkahwin pada tahun 2008) dengan lelaki berbangsa Inggeris dan tinggal di selatan England. Identitinya masih dirahsiakan kerana bapanya masih mencari dan ingin membunuhnya disebabkan beliau murtad.

Jika ada peluang, bacalah buku ini. Penderitaan dan seksaan yang dialami selama 8 tahun meninggalkan parut dan luka. Beliau mengalami tekanan perasaan dan trauma yang teruk (PTSD) sehingga terpaksa dimasukkan ke wad pesakit mental (sebelum berkahwin). Tapi beliau ada cara tersendiri untuk mengatasi tekanan perasaan dan trauma tersebut. Nak tau bagaimana caranya, kena baca sendiri buku ini.