Ada seorang peniaga yang meminjam daripada seorang pemberi hutang untuk menjalankan perniagaannya. Apabila cukup tempoh si Pemberi Hutang yang telah tua itu datang menuntut hutang tersebut tetapi si Peniaga tidak dapat membayar kerana perniagaannya mengalami kerugian.

Si Pemberi Hutang kemudiannya membuat tawaran kepada Peniaga itu. Hutang itu akan dikira langsai andainya si Peniaga menyerahkan anak gadis beliau yang cantik kepada si Pemberi Hutang untuk dikahwininya. Sudah tentulah si Peniaga berat hati untuk menerima tawaran tersebut.

"Aku akan mengambil dua biji batu, sebiji putih dan sebiji lagi hitam dan kedua-dua biji batu tersebut akan dimasukkan ke dalam kantung ini. Anak gadis kamu harus mengambil salah satu daripada batu itu tanpa melihat ke dalam kantung" kata si Pemberi Hutang.

"Sekiranya anak gadis kamu terambil batu hitam, dia mesti kahwin dengan aku dan hutang kamu akan langsai. Sebaliknya jika anak gadis kamu terambil batu putih, hutang kamu akan langsai tanpa perlu dia berkahwin dengan aku" kata si Pemberi Hutang itu lagi.

Si Pemberi Hutang itu kemudian membongkok untuk mengambil dua biji batu. Anak gadis si Peniaga ternampak si Pemberi Hutang itu mengambil dua biji batu hitam lalu dimasukkan ke dalam kantung. Kemudian si Pemberi Hutang menyuruh si Gadis itu menyeluk kantung untuk memilih sebiji batu.

Si Gadis ada tiga pilihan:
  1. Menolak untuk mengambil batu dari dalam kantung tersebut (pilihan ini mungkin akan membangkitkan kemarahan si Pemberi Hutang)
  2. Mengambil kedua-dua biji batu untuk membongkar penipuan yang dilakukan oleh si Pemberi Hutang (pilihan ini pun mungkin akan membangkitkan kemarahan si Pemberi Hutang)
  3. Mengambil sebiji batu dan redha dirinya dikahwini oleh si Pemberi Hutang yang tua itu untuk melangsaikan hutang bapanya (pilihan ini sudah tentu akan melukakan hati bapa dan hatinya sendiri)

Si Gadis menyeluk kantung dan mengambil sebiji batu. Tanpa melihat warna batu itu, si Gadis tersebut menjatuhkannya ke dalam sebuah lubang yang ada di situ.

"Oh maaf, saya tak sengaja menjatuhkan batu yang saya ambil kerana saya terlalu gementar. Tapi tak mengapa, Tuan boleh tengok batu yang tinggal di dalam kantung itu. Jika yang tinggal itu batu hitam, itu bermakna batu yang saya pilih tadi berwarna putih."

Sudah tentulah batu yang tinggal di dalam kantung itu berwarna hitam. Namun si Pemberi Hutang malu untuk mengaku bahawa beliau telah menipu, maka beliau pun terpaksa menerima bahawa batu yang diambil oleh si Gadis tersebut ialah batu putih. Dengan itu langsailah hutang si Peniaga tanpa perlu anak gadisnya dikahwini oleh si Pemberi Hutang yang tua itu.

 


Moral dari cerita ini…

Walaupun kita telah dihadapkan dengan beberapa pilihan di dalam kotak namun di luar kotak masih banyak pilihan lain asalkan kita bijak menggunakan akal kita. Berfikir di luar kotak kadang-kala boleh menyelamatkan kita daripada berhadapan dengan situasi yang sukar.