Di satu persimpangan, sebuah kereta keluar secara tiba-tiba membuat saya menekan pedal brek secara mengejut. Anak-anak saya yang berada di dalam tersengguk. Nasib baik mereka memakai tali pinggang keledar dan nasib baik juga saya memandu kereta dengan perlahan.

Pemandu kereta tersebut juga menekan brek keretanya kemudian membunyikan hon. Saya terus mengisyaratkan kepadanya supaya jalan sambil melemparkan senyuman. Namun muka pemandu itu kelihatan masam mencuka.

"Teruknya sikap pemandu tu.. Sepatutnya ini laluan kita. Dah la tu marah pulak.... bukannya nak berterimakasih dah orang bagi jalan. Kenapa mama tak hon aje panjang-panjang. Dia ingat kereta dia Mercedes, kita kena bagi keutamaan ke? Nasib baik tak accident tadi" kata anak kedua saya.

"Alhamdulillah, Allah lindungi kita. Jadi nak buat apa marah-marah." kata saya.

"Kena ajar sikit pemandu tu mama supaya dia ubah sikap dia tu" kata anak saya yang ketiga pula.

"Mama amalkan Prinsip Lori Sampah" kata saya sambil tersenyum.

"Prinsip apa tu, mama? Tak pernah dengar pun sebelum ini" tanya anak saya yang pertama.

"The Law of Garbage Truck tapi mama terjemahkan ke dalam Bahasa Melayu menjadi Prinsip Lori Sampah. Mama pernah terbaca tentangnya dalam satu cerita motivasi" kata saya.

Anak-anak saya ketawa. Marah anak-anak saya pada pemandu berkenaan telah hilang. Fokus mereka sekarang ialah pada prinsip yang saya sebut tadi.

"Ala mama..tak payah terjemah ke BM..Bunyinya macam teruk aje" kata anak pertama saya.

"Cepat mama.. cerita tentang The Law of Garbage Truck (TLGT)." gesa anak saya yang kedua.

"Ramai orang yang menjadi lori sampah (garbage truck). Hari-hari mereka dipenuhi dengan sampah sarap seperti kekecewaan, kemarahan, putus asa dan lain-lain rasa yang tidak enak dan negatif. Bila sampah sarap ini mula menimbun di dalam diri, mereka perlu menghumbankan sampah sarap tersebut. Sekiranya kita benarkan, mereka akan humbankan ke atas kita. Apabila seseorang humbankan sampah sarapnya ke atas kita, jangan ambil hati. Berikan senyuman, ucapkan salam dan tunjukkan sikap positif kepada mereka."

"Cuba ingat semula, pernah tak ada orang yang menghumbankan sampah sarapnya kepada kita macam pemandu tadi sebelum ini? Dan kita pulak, ambil sampah sarap tersebut dan menghumbankannya kepada orang lain samada di rumah, di sekolah atau di mana-mana saja?"

Anak-anak saya terdiam. Agaknya mereka sedang menghitung sampah sarap yang mereka terima dan sampah sarap yang mereka telah humbankan pada seseorang sebelum ini. 

"Selepas ini, amalkan TLGT. Kita tak ada kuasa menghalang orang lain dari mencampakkan sampahnya kepada kita tapi kita ada kuasa untuk mengawal diri kita daripada mencampakkan sampah tersebut kepada orang lain pula. Bila orang lain mencampakkan sampah sarapnya kepada kita, berikan senyuman, ucapkan perkataan yang baik-baik kepadanya dan teruskan kehidupan kita seperti biasa. InsyaAllah kita akan berasa lega dengan apa yang kita lakukan" kata saya.


Ini kisah ketika anak-anak saya masih di bangku sekolah. Sekarang mereka telah besar panjang dan telah boleh memandu sendiri. Saya tidak pasti samada mereka masih ingat kisah ini atau tidak.